BALING – Kebimbangan sekumpulan pengayuh Kelab Berbasikal Bayu Baling (BCC) mengenai rakan mereka yang tertinggal di belakang terjawab apabila lelaki itu maut selepas basikal ditunggang terbabas dalam semak.
Mayat mangsa, Azlin Yacob, 56, yang merupakan pesara guru ditemui di Kampung Dalam Wang di sini tengah hari kelmarin. Turut ditemui basikal mangsa yang berada di sisinya.
Pengerusi BCC, Mohamad Rizuan Musa, 58, berkata, menjadi rutin, setiap Jumaat bermula pada pukul 7.55 pagi mereka seramai 10 orang akan berkumpul di hadapan Kompleks Sukan Rakan Muda di sini sebelum membuat kayuhan santai.
Pada hari kejadian, mereka mengayuh basikal ke Kedai Pak Mat, Ulu Legong melalui jalan Kampung Sungai Limau-Kampung Dalam Wang-Kampung Bandar-Kampung Siong dan berakhir di Kampung Ulu Legong.
“Semalam (kelmarin), mangsa tertinggal di belakang pada jarak satu kilometer sewaktu melalui kawasan Kampung Dalam Wang.
“Kami sudah sampai Ulu Legong pukul 9.40 pagi dan tunggu Cikgu Azlin di sebuah warung roti canai di situ, namun dia (mangsa) masih belum sampai.

“Kami cuba menghubunginya menerusi telefon, tetapi tidak dijawab sebelum berpatah balik mencarinya, namun tidak menjumpainya. Kami hubungi Hospital Daerah Baling kerana beranggapan Cikgu Azlin mungkin ada hal kecemasan,” katanya.
Menurut Mohamad Rizuan, mereka kemudian berpakat pulang ke rumah masing-masing dan mengambil motosikal dan mencari semula Cikgu Azlin.
“Kami memberi tumpuan mencari Cikgu Azlin di bahagian kiri dan kanan jalan dari Kampung Dalam Wang hingga ke Kampung Bongor,” katanya.
Jelasnya, pada pukul 12 tengah hari, pencarian mereka berakhir apabila mangsa ditemui terbaring dalam keadaan tidak sedarkan diri di sisi basikalnya dalam semak tepi jalan di hujung Kampung Dalam Wang.
Lelaki itu kemudian menghubungi polis dan Hospital Daerah Baling bagi mendapatkan bantuan sebelum mangsa disahkan meninggal dunia.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Superintendan Shamsudin Mamat berkata, Cikgu Azlin yang merupakan pesara guru Sekolah Menengah Kebangsaan Siong ditemukan di hadapan sebuah inap desa di Jalan Bonggor Tiga.
“Siasatan mendapati setibanya di lokasi kejadian mangsa dipercayai hilang kawalan ketika melalui selekoh sebelum terbabas ke kiri jalan. Mangsa tercampak ke dalam longkang di kiri jalan dan disahkan meninggal dunia di lokasi berkenaan,” katanya.
Punca kematian mangsa adalah disebabkan serangan jantung. Kes diklasifikasi sebagai mati mengejut. Jenazah Azlin dikebumikan di Tanah Perkuburan Masjid Tok Kaya malam kelmarin.
















