KEBELAKANGAN ini, semakin ramai pesakit yang mengalami masalah sakit belakang atau sengal sendi memilih untuk mendapatkan khidmat kiropraktor. Rata-rata mereka percaya bahawa rawatan alternatif tersebut mampu memberikan kesembuhan segera terhadap sakit belakang dengan kos minimum. Hakikatnya, ramai tidak sedar bahawa sakit mereka boleh menjadi lebih serius sekiranya mendapatkan rawatan yang salah sehingga boleh mengalami lumpuh dan mati. Bagi mengupas permasalahan tersebut dan hal-hal berkaitan seperti amalan pusing ‘kepala’ di kedai-kedai gunting rambut yang juga satu bentuk manual terapi seperti kiropraktor, wartawan Kosmo! Ahad, MOHD. SHAZWAN YUSOP berkesempatan menemu bual Ketua Jabatan Ortopedik & Traumatologi Hospital Sungai Buloh, Dr. Amir Fariz Zakaria baru-baru ini.
Kosmo! Ahad: Baru-baru ini muka depan Kosmo! ada memaparkan berita berkisar kiropraktor. Sebagai seorang pakar, boleh Dr. ulas mengenai rawatan yang dikatakan mampu merawat pelbagai masalah termasuk meluruskan kembali tulang belakang itu?
DR. Amir Fariz: Pertama sekali, kita kena faham kiropraktor atau kiropraktik ini terlebih dahulu. Ia merupakan satu rawatan fizikal yang dikatakan mampu menyelesaikan pelbagai masalah sakit belakang yang disebabkan masalah seperti tulang belakang bengkok dan kaki tidak sama serta saraf tertekan.
Rawatan ini dilakukan secara manual menggunakan teknik tekanan dari bahagian leher hingga ke punggung.
Adakah rawatan ini berasas? Hakikatnya, tiada bukti jelas dan saintifik mengenai kaedah ini, yang ada hanya ‘claim’ daripada mereka yang terlibat dalam kiropraktor.
Saya tidak nafikan, rawatan ini akan memberi kelegaan kepada pesakit, namun ia hanya bersifat sementara dan bukannya kesembuhan mutlak.
Disebabkan populariti rawatan ini, wujud pengamal kiropraktor yang tidak bertauliah. Apakah implikasinya jika seseorang yang mempunyai masalah tulang belakang mendapat khidmat mereka yang tidak bertauliah ini?
Sejak belakangan ini, saya dapati kiropraktor semakin popular apabila muncul di media sosial dan orang yang mendapatkan rawatan itu terdiri dalam kalangan mereka berpengaruh.
Situasi ini telah mendorong kepada peningkatan permintaan terhadap rawatan berkenaan sehingga mewujudkan kiropraktor yang tidak bertauliah.
Apakah yang membezakan mereka bertauliah dan tidak bertauliah ini? Individu bertauliah ini mungkin tahu serba sedikit latar belakang anatomi dan fisiologi, itu pun masih ada kerisauan terhadap perkhidmatan mereka, manakala golongan tidak bertauliah pula mungkin tiada langsung kepakaran, jadi ia bertambah bahaya.
Difahamkan Dr. ada pengalaman merawat pesakit yang meninggal dunia tidak lama selepas mendapat rawatan kiropraktor. Boleh Dr. ulas mengenai peristiwa tersebut dan apa yang berlaku kepada pesakit?
Peristiwa berkenaan berlaku kira-kira sedekad lalu. Pesakit ini mengalami sakit leher selepas bermain bola sepak.
Disebabkan itu, dia memilih mendapatkan rawatan daripada kiropraktor. Sesuatu telah dilakukan pada bahagian leher pesakit ini sehingga menyebabkan tangan dan kakinya tidak boleh dikawal oleh minda. Rentetan itu, dia dibawa ke hospital.
Apabila kami periksa tulang belakang pada bahagian lehernya terkehel dan dia memerlukan pembedahan segera.
Malangnya, pesakit tidak sempat dibedah kerana keadaannya menjadi teruk dalam keadaan pantas apabila saraf mengawal pernafasan gagal berfungsi.
Sebenarnya, banyak lagi kes yang saya jumpa apabila pesakit mendapatkan rawatan kiropraktor, keadaan mereka bertambah buruk sehingga sukar dirawat oleh doktor di hospital.
Justeru, masayarakat kena sedar bahawa sekiranya berlaku sesuatu selepas mendapatkan khidmat kiropraktor, tidak ada akta yang melindungi mereka. Ia berbeza dengan doktor yang tertakluk kepada akta tertentu, di mana pesakit boleh saman doktor atau Kementerian Kesihatan Malaysia sekiranya berlaku kecuaian sehingga mendatangkan kesan buruk kepada pesakit.
Ada pesakit yang mengalami gejala sakit pinggang disebabkan duduk terlalu lama ketika bekerja. Adakah perkara ini boleh menjadi sesuatu yang serius jika pesakit mengambil mudah?
Secara realitinya, sakit otot pada bahagian belakang disebabkan duduk atau berdiri terlalu lama boleh baik dengan sendirinya selepas pesakit berehat dan mengambil ubat.
Sekiranya selepas rehat dan ubat diambil ia masih berlarutan, ketika itulah mereka perlu bimbang kerana ia mungkin sakit disebabkan masalah lain pada bahagian belakang.
Justeru, saya menyeru kepada para majikan supaya menyediakan kerusi dan meja agronomik kepada pekerja bagi mengurangkan sakit belakang apabila duduk terlalu lama.
Misalnya selepas pandemik Covid-19 lalu, pesakit saya meningkat hampir 100 peratus kerana sakit belakang disebabkan bekerja di rumah.
Ini kerana, mereka duduk di atas kerusi yang tidak menyokong tulang belakang dalam tempoh lama. Di Amerika Syarikat, para majikan di sana menyediakan kerusi dan meja boleh laras bagi membolehkah pekerja mereka melakukan kerja dengan lebih selesa iaitu duduk dan berdiri.
Ramai orang kita lebih suka mendapatkan rawatan daripada tukang urut atau bomoh patah berbanding mendapat khidmat di hospital. Mengapakah perkara ini masih berlaku dalam dunia serba moden ketika ini?
Saya rasa, khidmat tukang urut dan bomoh patah ini sudah menjadi satu budaya dalam masyarakat kita di kampung-kampung sejak sekian lama.
Sebagai seorang doktor, apa yang boleh saya katakan, rawatan mereka ini kurang berasas.
Saya tidak boleh bayangkan betapa sakitnya pesakit apabila bahu yang terkehel direntap oleh tukang urut atau bomoh patah untuk memperbetulkannya kembali.
Kalau di hospital atau klinik, pesakit akan dirawat secara moden bagi mengurangkan kesakitan.
Disebabkan itu, saya menyarankan kepada masyarakat supaya memilih mendapatkan rawatan di klinik atau hospital berbanding rawatan alternatif yang tidak tahu asasnya.
Ketika ini, banyak kedai gunting rambut melakukan ‘pusing’ kepala kepada pelanggan. Apakah perkara itu boleh dilakukan dan tiada sebarang kesan negatif kepada tulang belakang mereka?
Sebenarnya, ia salah satu bentuk manual terapi seperti kiropraktor. Saya tidak nafikan ia memberi rasa lega pada sendi, namun pada masa sama boleh mendatangkan bahaya. Ini kerana, ia melibatkan bahagian leher kita kerana di situ terletak banyak urat saraf. Saya boleh cakap, tindakan ‘pusing’ kepala ini sangat tidak selamat, sebaiknya elak daripada melakukannya. Saya rasa tidak berbaloi potong rambut RM10, kita dapat pakej lumpuh sekali.
Sebagai pakar yang berhadapan dengan pesakit, apakah masalah kesihatan tulang belakang yang sering dihadapi oleh masyarakat di Malaysia?
Masalah tulang belakang ini saya boleh bahagikan pada peringkat umur. Bagi golongan kanak-kanak, ramai yang kita jumpa mengalami masalah tulang belakang bengkok atau scoliosis. Secara umumnya, masalah ini berlaku secara semula jadi.
Bagi peringkat 20-an hingga 40-an, masalah yang selalu kami jumpa adalah sakit otot dan slipped disk. Permasalahan ini berlaku disebabkan aktiviti harian seperti bersukan dan sebagainya. Pada peringkat lebih tua, kami banyak jumpa pesakit yang mengalami masalah tulang menjadi lemah dan rapuh atau dikenali sebagai osteoporosis. Ia sering berlaku kepada gologan wanita sudah berumur dan mereka akan mula membongkok. Kalau yang meliputi semua umur, masalah yang selalui kami temui adalah patah tulang belakang.
Apakah usaha yang boleh dilakukan oleh orang ramai bagi mengekalkan sistem tulang dan sendi mereka? Perlukah ada amalan-amalan tertentu?
Pertama sekali adalah penjagaan diri. Kalau mahukan tulang belakang yang sihat, ia perlu ada pergerakan. Jadi, mereka perlu bersenam untuk tulang belakang bergerak. Elakkan baring terlalu lama atau tidur di atas lantai kerana ia akan menyebabkan tulang belakang menjadi keras. Kepada yang buat kerja angkat barang, mereka kena tahu postur yang betul untuk menampung beban. Nasihat saya yang seterusnya, segera berjumpa pakar sekiranya sakit tulang belakang dan bukannya mencuba rawatan alternatif. Akhir sekali, jangan terlalu mudah terpengaruh dengan rawatan atau ubat-ubatan yang ditawarkan di dalam media sosial.














