fbpx
FASHA SANDHA bertuah kerana memiliki seorang suami yang cukup memahami dan menjadi tulang belakang hidupnya.

Kalis sensasi, Fasha jaga perut suami

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

NAMA Fasha Sandha tidak pernah tenggelam dari radar industri hiburan. Datanglah seberapa ramai pelakon pelapis, reputasi dimiliki aktres berpengalaman itu tidak pernah terjejas.

Seiring relevansi mendepani evolusi, dari zaman anak dara sehingga beranak tiga, Fasha juga kental berdepan cabaran mahu pun kecaman.

Pemilik nama sebenar Nur Fasha Sandha Hassan ini semakin matang mengendalikan emosi, tidak lagi berlawan mahu menang sebaliknya tenang menjinakkan liar bada sensasi.

Pendekatan rasionalnya terserlah saat mendepani isu rendaman kasihnya dalam kolam senang bersama suami tercinta, heboh diperdebatkan ramai.

Kata Fasha, sebagai insan biasa dia tidak boleh menghalang orang lain menyuarakan pendapat.

Pada masa sama, dia teruja apabila dalam rancak netizen menebarkan benci, masih ada banyak orang memberikan sokongan.

Akui pelakon yang memanas dengan naskhah Rampas Cintaku itu, akaun Instagramnya yang dikatakan sedang diboikot menunjukkan situasi sebaliknya apabila mencatat 25,000 pengikut baharu selepas video yang juga sebahagian daripada promosi produk kelangsingan badan Beunita tular.

DIKECAM teruk terlalu terbuka sanggup beraksi terlajak mesra dengan suami untuk tontonan umum semata-mata demi promosi produk, Fasha ambil pendekatan bertenang dan terbuka dengan pandangan umum.

Orang ada hak bersuara

“Setiap orang boleh bagi sebarang pendapat, berhak bersuara, jadi nak terima okey, tak mahu terima pun okey. Kita tak boleh kawal apa yang orang fikir.

“Kalau orang berfikir keterlaluan, terpulang kepada mereka sebab setiap orang tak salah untuk berfikir perkara yang bukan senada dengan kita.

“Dalam hal membabitkan promosi produk baru-baru ini, individu yang ‘unfollow’ saya tak sebanyak angka pengikut baharu, sekali gus menunjukkan ramai memahami tujuan perkongsian tersebut,” katanya yang mempunyai 5.3 juta pengikut Instagram.

Terlihat ligat seolah-olah tiada rehat mencari rezeki, Fasha sebenarnya tidak pernah leka melupakan tanggungjawab menguruskan rumah tangga.

Seperkara wajib dalam praktiknya, dia tidak pernah meninggal kediaman tanpa menyediakan hidangan buat keluarga.

FASHA mengakui bertuah dianugerahkan seorang suami yang selalu menyuntik kata-kata semangat serta menjadi pendorong utama untuk berjaya, baik dalam soal rumah tangga mahupun karier.

Jaga perut suami, anak

Baginya, kesibukan bukan alasan untuk melupakan tugasan di dapur yang hakikatnya antara rahsia menambat hati suami.

“Keluarga nombor satu. Sesibuk mana pun saya, bab makan suami dan anak-anak tetap saya utamakan sejak dahulu.

“Walaupun saya wanita berkerjaya, saya tak pernah abaikan makan minum mereka. Perut suami kena jaga. Saya pastikan ada hidangan atas meja.

“Jika keadaan kurang mengizinkan, atau tak sempat memasak, saya akan tempah melalui pesanan penghantaran.

“Saya ini bukan wanita sempurna, cuma yang dirasakan terbaik saya akan kongsi untuk memberi inspirasi kepada semua,” akui isteri pelakon Aidil Aziz itu ceria.

Menyifatkan teman hidupnya itu sebagai insan paling memahami, Fasha mendedahkan Aidil juga bukan jenis meminta-minta, sebaliknya menjamah apa sahaja hidangan disediakan tanpa banyak soal.

Malah, Aidil juga ringan tulang membantu menguruskan rumah tangga sekiranya memerlukan.

“Dalam kehidupan suami isteri kita perlu saling melengkapi. Aidil suami penyayang dan pelengkap segala kekurangan saya.

FASHA Sandha bersama orang kuat di sebalik pelancaran produk Beunita.

Semangat

“Dia juga antara tulang belakang yang memperkukuhkan lagi semangat saya terutama dalam berhadapan kecaman,” ulasnya.

Selain usia yang semakin mematang, Fasha, 39, menganggap kegagalan perkahwinan pertama dengan Rizal Ashram atau Jejai yang hanya bertahan selama empat tahun memberinya banyak pengalaman berharga.

Menghargai setiap hal lalu, katanya dari situ juga dia berusaha menjadi seorang isteri terbaik buat Aidil, selain ibu yang lebih bertanggungjawab kepada tiga orang anak, Putera Rayfal Ramli, 10, dan Jemima, 8 dan Aisha Amaira, 2.

“Saya tidak pernah menyesal dengan perkahwinan terdahulu. Kisah lama menjadikan saya seperti mana sekarang ini kerana tanpa suami dahulu tak mungkin saya ada dua cahaya mata.

“Pengalaman lalu menjadikan saya lebih baik dan teruja untuk melalui pengembaraan yang seterusnya,” tutupnya.

FASHA kini semakin bersemangat dan lebih cergas setelah berjaya mencapai misi mendapatkan bentuk badan ideal menerusi amalan senaman dan diet seimbang.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN