fbpx
FESTIVAL Merakyatkan Seni Budaya Mah Meri Selangor 2023 dimeriahkan dengan pertandingan Ratu Gedek dan Pahlawan.

Sebar luas budaya Orang Asli suku Mah Meri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

LENGGOK jalan wanita Orang Asli suku kaum Mah Meri itu perlahan dan teratur persis seorang pengantin yang sedang berjalan ke arah pelamin.

Aksesori daripada anyaman daun nipah dan daun mengkuang yang menghiasi kepalanya menyerlahkan keanggunan wajah wanita bernama Noriza Kemi itu.

Menggayakan busana tradisional kayu terap Mah Meri, penampilan wanita berusia 27 tahun itu diserikan lagi dengan selempang, kain dan bunga jering yang diperbuat daripada daun nipah.

Juraian daun nipah di bahagian belakang kainnya pula seakan-akan ekor burung merak yang kuncup ketika berjalan.

Biarpun lagu tradisional yang memiliki irama rancak, Sidud dimainkan sebagai latar, namun tidak sekali pun rentak kaki wanita itu dilajukan ketika mengelilingi pentas.

Ekoran pesona dan karisma tersebut, Noriza berjaya menawan hati para juri, sekali gus dinobatkan sebagai pemenang pertandingan Ratu Gadek pertama bagi masyarakat Mah Meri.

Menurut wanita yang bekerja sebagai pembantu farmasi itu, ibu saudaranya, Maznah Unyan merupakan ‘tangan magis’ di sebalik penampilannya pada hari itu.

“Ibu saudara saya merupakan pemilik bengkel kraf Tompoq Topoh. Dia yang mendorong saya untuk menyertai pertandingan Ratu Gadek ini.

“Keseluruhan penampilan saya pada hari ini adalah hasil daripada sentuhannya.

“Set lengkap pakaian saya ini mengambil masa tiga hingga empat hari untuk disiapkan,” katanya kepada K2.

Untuk rekod, pertandingan Ratu Gadek dan Pahlawan merupakan acara baharu yang diperkenalkan di Festival Merakyatkan Seni Budaya Mah Meri Selangor 2023.

Festival yang diadakan di Perkarangan Pusat Kraf Orang Asli, Kampung Sungai Bumbun, Pulau Carey, Selangor, itu menampilkan keunikan seni lima kampung sekitar kawasan tersebut.

Antaranya adalah Kampung Orang Asli (KOA) Kepau Laut, KOA Sungai Rambai, KOA Sungai Kurau, KOA Sungai Bumbun dan KOA Sungai Judah.

Selain pertandingan Ratu Gadek dan Pahlawan, acara lain yang diadakan adalah Mah Meri Fun Run, pameran dan jualan produk kraf tangan, bengkel tari, Pertandingan Permainan Orang Asli dan sukan rakyat. Turut dianjurkan adalah Pertandingan Busana Kreatif Orang Asli dan persembahan mural gergasi.

Pemenang bagi kedua-dua kategori Ratu Gadek dan Pahlawan membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM200 setiap seorang.

Menurut Noriza, jika diikuti kepada istilah asal, Ratu Gadek sebenarnya merujuk kepada wanita cantik yang sudah berkahwin.

Mengikut amalan lama masyarakat Mah Meri, usia ideal perkahwinan bagi lelaki adalah pada usia 18 tahun, manakala 16 tahun bagi perempuan.

Noriza (dua dari kanan) dan Isnorrezam (tiga dari kiri) bergambar bersama pemenang pertandingan lain ketika Festival Merakyatkan Seni Budaya Mah Meri Selangor 2023 di Pulau Carey.

Namun, menurut graduan Sarjana Muda Pemulihan Cara Kerja Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu, kebanyakan generasi baharu sudah mula memilih untuk melanjutkan pelajaran dan bekerja terlebih dahulu.

“Amalan berkahwin awal itu masih ada. Tapi kebanyakannya memilih untuk melanjutkan pelajaran dan memiliki pekerjaan terlebih dahulu.

“Busana kayu terap yang saya pakai sekarang ini juga hanya dipakai ketika festival, tarian, perkahwinan serta majlis-majlis tradisional.

“Baju yang diperbuat daripada kayu terap ini boleh tahan lama sehingga setahun sekiranya tidak dibasuh dengan sabun,” katanya.

Kongsi Noriza, masyarakat Mah Meri tidak memiliki amalan kecantikan khusus, melainkan menggunakan produk daripada bahan-bahan semula jadi. Ini termasuk dari segi amalan pemakanan serta rutin kecantikan turun-temurun yang dikongsi oleh wanita Mah Meri.

“Untuk menjaga kebersihan muka, selalunya kami mencuci muka dengan menggunakan air basuhan beras dan memakai bedak beras.

“Bedak boleh disapu di muka, dijadikan ‘masker’ dan lulur badan. Kunyit pula digunakan bagi menghilangkan jerawat pada muka.

“Sekiranya ‘sunburn’ atau kulit kering, kami menggunakan lidah buaya untuk mengembalikan kelembapan pada kulit,” jelasnya.

Sementara itu, kategori Pahlawan dimenangi oleh Isnorrezam anak Jais yang menawan hati juri dengan lagak garang sepanjang persembahannya.

Guru tari berusia 23 tahun itu memakai perhiasan diperbuat daripada daun nipah termasuk hiasan di kepala, badan dan pinggang.

Tambah Isnorrezam, pakaian itu diolah sedikit daripada pakaian asal pahlawan yang hanya memakai cawat pada bahagian dalam.

“Jika ikut kisah orang tua-tua, ada banyak pahlawan wujud dalam masyarakat Mah Meri yang tidak dapat saya nyatakan satu per satu.

“Bagaimanapun, saya gembira dapat membawa ‘watak’ mereka di atas pentas agar dapat dipertontonkan kepada masyarakat umum,” jelasnya.

Untuk pengetahuan, pahlawan-pahlawan Mah Meri dahulu kebal dan menggunakan sumpit sebagai senjata utama mereka dalam mempertahankan komuniti daripada ancaman.

Bagaimanapun kini, peranan tersebut tidak lagi wujud ekoran peredaran zaman serta keamanan yang telah dikecapi negara ini secara keseluruhan.

Antara jawatan adat yang masih kekal sehingga kini adalah batin, jenang, penghulu, jukrah, penggawa dan laksamana.

Secara umumnya, kebanyakan lelaki masyarakat Mah Meri menjadi nelayan, bertani, memburu hasil hutan dan berkemahiran dalam menghasilkan ukiran patung etnik tersebut.

Menurut seorang lagi peserta yang juga pengukir dari etnik itu, Samri Abdul Rahman, 49, moyangnya dahulu seorang pahlawan Mah Meri.

“Atuk dan pak cik saya pernah cerita tentang moyang kami pada zaman perang dahulu. Moyang saya dahulu kebal dan boleh lawan musuh di darat dan laut.

“Tapi sekarang sudah tidak ada peranan pahlawan ini dalam masyarakat Mah Meri,” katanya.

Tambahnya, suku Mah Meri tidak seperti masyarakat umum yang memiliki rekod rasmi mengenai sejarah kepahlawanan mereka terdahulu. Justeru, kebanyakan cerita pada zaman sebelum merdeka hanya disampai dalam bentuk lisan yang dalam kalangan komuniti.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN