LARI daripada kebiasaan, pemilihan Megat Sharizal sebagai tunjang utama dalam filem Walid arahan Areel Abu Bakar membuka mata banyak pihak sekali gus melawan normalisasi karakter hero wajib dipegang aktor berbadan kekar mahupun kacak.
Seperti sudah ditanam dalam benak fikiran terutama penggiat seni di Asia, watak hero haruslah dipegang oleh pelakon berwajah kacak.
Perkara itu terus dipraktikkan sehingga hari ini dengan alasan sebagai daya penarik sesebuah naskhah. Sepertinya, pemikiran ‘kolot’ sebegitu sudah mula diketepikan oleh penggiat seni tanah air dan kian terbukti apabila kian ramai pengarah memilih pelakon yang fizikalnya melawan normalisasi watak hero klise.
Itu yang dipamerkan oleh pengarah Areel Abu Bakar apabila memilih Megat sebagai tunjang utama filem Walid yang baru sahaja ditayangkan di pawagam bermula 14 September lalu.
Pada awalnya, Megat mengakui tidak percaya diberi tanggungjawab untuk bergelar hero apatah lagi peluang sebegitu jarang diraih oleh individu berbadan gempal sepertinya.

Tak ‘sado’
“Saya anggap peluang memegang watak utama ini sebagai tanggungjawab besar sebagai pelakon.
“Jika hendak cakap tekanan, setiap watak akan beri rasa yang sama cumanya sebagai hero, tanggungjawab itu lebih berat,” katanya kepada HibGlam baru-baru ini.
Mahu membuktikan kemampuan diri, itu berulang kali terbit daripadanya yang pernah membintangi filem Geran sebelum ini.
Katanya, pemilihan pemegang watak hero dalam industri perfileman tanah air hari ini seharusnya sudah mula berubah seperti realiti yang banyak dipratikkan di negara-negara luar iaitu tidak bergantung kepada rupa paras semata-mata.
“Bukanlah hendak bermegah atau menjadi pelakon hidung tinggi tetapi ibarat mesej ringkas kepada pengarah dan penerbit.
“Saya nak cakap dengan semua pengarah filem aksi seperti Syamsul Yusof dan Adrian Teh, cukup-cukuplah dengan abang-abang berbadan kekar semua itu.
“Ini bukan kritikan tetapi sekadar perkongsian,” ujar pemilik nama penuh Megat Sharizal Mohamed Yusoff itu.
Jelasnya, pemilihan pelakon terutama watak hero perlulah dilihat lebih realistik bagi sesetengah naskhah.
Kepelbagaian dalam karakter perlu ada dan usah tersekat dengan satu konsep idea yang sama berulang kali.
“Para pengarah perlu memandang secara realiti dan individu yang berbadan besar seperti kami ini yang selalunya jadi hero dalam sesetengah situasi.
“Bawa kepelbagaian dalam setiap karakter. Tak bermakna sudah berusia dan gemuk tak boleh jadi pelakon aksi dan sudah ada yang membuktikan pun.
“Jadi, berilah peluang kepada mereka yang seangkatan dengan saya untuk tonjolkan potensi yang dimiliki,” katanya yang sebelum ini sering memegang peranan komedi.

Walid
Tidak menunggu lama, Megat yang teruja berkongsi tentang filem Walid memberitahu, dia diminta untuk tidak menurunkan berat badan bagi watak dipegangnya iaitu Walid.
Bagaimanapun, jelas Megat, pengarah tetap meminta para pelakon memantapkan stamina diri sebagai persediaan sebelum melakukan banyak babak aksi dalam filem ini.
“Saya banyak buat latihan untuk mantapkan stamina sendiri dan pihak produksi juga meminta hal sama kepada semua pelakon.
“Ada satu ketika, Areel (pengarah) maklumkan supaya jangan kurus sangat dan saya mula pelik dengan permintaan tersebut sebab pastinya mahu badan lebih ringan untuk beraksi.
“Tidak lama kemudian, terkejut apabila diumumkan pegang watak Walid dan memang tak fikir banyak sebab mahu sahut cabaran tersebut termasuk sanggup korbankan rambut untuk filem ini,” kongsinya.

Bersilat
Bercerita mengenai ketangkasan bersilat dalam filem tersebut, lelaki berusia 44 tahun itu sememangnya mempunyai asas seni mempertahankan diri.
“Bukan saya seorang, semua pelakon dalam filem ini memang ada asas silat sebab itu semua tangkas berlawan tanpa perlu melibatkan ramai ‘stuntman’.
“Saya memang belajar silat gayong sejak umur 14 tahun dan pernah menjadi wakil Wilayah Persekutuan pada tahun 1998 ketika zaman belajar.
“Namun, sayang juga sebab tidak diberi peluang pun untuk menggunakannya dalam mana-mana filem sebelum Geran,” ujarnya lagi.
Lebih 90 peratus babak aksi dilakukan sendiri, Megat bersyukur dia dan para pelakon lain tidak mengalami kecederaan serius.
“Paling sukar buat saya ialah dijangkiti Covid-19 ketika penggambaran dan beri kesan juga kepada pernafasan yang dirasakan cepat penat.
“Syukur saya tak menjangkiti orang lain atau jejaskan jadual penggambaran,” jelasnya.
Walid yang merupakan hasil terbitan Layar Pictures mengangkat kisah penculikan kanak-kanak membabitkan sindiket pemerdagangan manusia.
Selain Megat, Walid turut dibintangi Nam Ron, Fieyna Tajudin, Puteri Qaseh Izwandy, Shamputra, Yusran Hashim, Taiyuddin Bakar dan Jebar Zulfar.
Filem arahan Areel Abu Bakar tersebut mengetengahkan pasukan silat Malaysia yang melakukan semua aksi dalam filem ini. Walid ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula 14 September lalu.















