ISLAM telah menerangkan secara terperinci perihal mengenai rezeki.
Allah SWT telah menjanjikan rezeki kepada hamba-hamba-Nya melalui pelbagai cara.
Salah satu bentuk rezeki yang dikurniakan adalah melalui usaha.
Dalam surah An-Najm ayat 39, Allah berfirman; “Dan bahawa sesungguhnya tidak ada (balasan) bagi seseorang melainkan (balasan) apa yang diusahakannya.”
Oleh itu, setiap insan bernyawa perlu berusaha bersungguh-sungguh dalam pekerjaan yang dikerjakan kerana ada rezeki mengalir dari situ.
Muhammad Yusof Mohd. Nor, 28, antara anak muda yang berusaha keras untuk mencari rezeki dan dia yakin dengan janji Allah itu.
Punca rezekinya kini adalah di jalanan apabila dia mengasaskan perniagaan Minyak Hitam Jalanan yang menawarkan perkhidmatan menukar minyak enjin ataupun minyak hitam secara bergerak di jalanan.
Mengulas tentang usaha yang dijalankannya itu, Muhammad Yusof berkata, semuanya bermula secara tidak sengaja.
Menurutnya, sebelum ini, dia hanyalah ‘rider’ atau penunggang perkhidmatan p-hailing yang menghantar pesanan pelanggan.
“Ketika negara dilanda Covid-19 dan kerajaan terpaksa melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 2020, saya mengambil inisiatif membantu rakan-rakan ‘rider’ lain dengan melakukan servis menukar minyak hitam motosikal mereka.
“Pada ketika itu, banyak bengkel-bengkel motosikal ditutup. Jadi, mereka berdepan kesukaran untuk menukar minyak hitam.
“Dengan kemahiran yang ada, saya mengambil inisiatif menawarkan perkhidmatan berkenaan,” katanya.
Tambahnya, rakan-rakan banyak menyokong usahanya itu, sekali gus membuatkannya lebih semangat mengusahakan perkhidmatan menukar minyak hitam secara bergerak.
Ketika pertama kali menawarkan perkhidmatan tersebut, Muhammad Yusof hanya menggunakan beberapa botol minyak hitam.
Setelah lebih tiga tahun menyediakan perkhidmatan itu, jumlah pelanggannya semakin bertambah. Secara purata, dia menggunakan lebih 30 botol minyak enjin sehari.

Selain menawarkan perkhidmatan menukar minyak hitam, Muhammad Yusof juga menyediakan servis lain merangkumi penukaran atau mencuci rantai motosikal, membaiki tayar bocor, dan lain-lain lagi.
Dalam pada itu, Muhammad Yusof menjelaskan, melalui usaha dijalankannya, dia mampu memberi manfaat kepada orang lain.
“Saya telah mewujudkan satu kumpulan yang terdiri daripada 20 orang yang menyediakan perkhidmatan ini di kawasan- kawasan tertentu di sekitar Lembah Klang.
“Bukan itu sahaja, kami baru sahaja mempeluaskannya di sekitar Melaka dan Johor,” terangnya.
Dalam pada itu, Muhammad Yusof menjelaskan, dia dapat membantu ‘rider’ p-hailing atau penunggang motosikal yang lain menyelenggara kenderaan mereka dengan harga murah dan berpatutan.
Menurutnya, sebagai seorang yang pernah menjadi ‘rider’ p-hailing, dia mengetahui bahawa motosikal akan ‘dilenjan’ dengan teruk untuk mencari rezeki.
“Motosikal ini akan digunakan setiap hari dan ditunggang sehingga ratusan kilometer (km). Jadi, penyelenggaraannya akan menjadi semakin kerap.
“Kebiasaannya, ‘rider’ ini akan menukar minyak hitam motosikal mereka seminggu sekali bergantung kepada jarak perjalanan.
“Motosikal ini adalah punca rezeki kami. Oleh itu, ia perlu diselenggara dan ditukar minyak hitam mengikut jarak yang telah ditetapkan,” terangnya.
Maklumnya, dia menawarkan harga servis berpatutan dan boleh dikatakan lebih murah sehingga RM15 hingga RM20 berbanding di luar.
Bukan itu sahaja, dia juga menawarkan penapis minyak atau ‘oil fiter’ secara percuma kepada para pelanggannya.
Meskipun harga yang ditawarkan lebih murah, dia menggunakan minyak hitam asli dan berkualiti untuk para pelanggannya.
Muhammad Yusof juga gembira kerana rezekinya tidak putus-putus apabila dia berniat untuk membantu orang ramai di luar sana.
Ada beberapa pihak yang menjalinkan kerjasama dengannya bagi membolehkan penunggang-penunggang servis motosikal mereka pada harga lebih murah.
Malah, jenama besar seperti Petronas juga menjalinkan kerjasama dengannya.
“Selain itu, ada individu yang mewakaf minyak hitam dan meminta saya memberikannya secara percuma kepada ‘rider’,” jelasnya.
Untuk makluman, Muhammad Yusof membesar di Tanjung Karang, Selangor. Dia mendapatkan ilmu menyelenggara motosikal secara tidak formal.
Setelah berhenti sekolah, dia memilih untuk bekerja sebagai mekanik di bengkel motosikal untuk meraih pengalaman dengan bayaran upah antara RM5 hingga RM10 sehari.
Kemudian, dia memilih untuk berhijrah ke Lembah Klang dan menjadi ‘rider’ p-hailing.
“Ketika ini, saya masih lagi menjadi ‘rider’ pada sebelah pagi.
“Kemudian, pada pukul 2 petang sehingga 9 malam, saya akan menawarkan perkhidmatan servis minyak hitam. Pelanggan-pelanggan sudah tahu di mana tempat yang selalu saya duduk dan mereka akan datang untuk servis motosikal.
“Ada ketikanya, saya akan pergi ke rumah pelanggan untuk menawarkan servis ini,” terangnya.
Sementara itu, Muhammad Yusof berkata, sebelum ini, ada kawan-kawannya yang memandang rendah terhadap pekerjaan dilakukannya.
Biarpun begitu, ia langsung tidak melemahkan semangatnya.
Menurutnya, dia tidak bernasib baik dari segi pendidikan dan hanya bersekolah sehingga tingkatan tiga.
“Ketika saya mula-mula menyediakan perkhidmatan ini, ada kawan-kawan kata saya buat kerja bodoh, tidak ada masa depan dan banyak lagi.
“Saya percaya dengan rezeki Allah, selagi mana kita berusaha akan ada rezeki yang mengalir.
“Apa yang penting, sumber rezeki yang saya dapat ini adalah halal untuk menyara keluarga,” ujarnya.
Tambahnya, dia bersyukur kerana isterinya menyokong apa yang dilakukannya itu.
Menutup bicara, Muhammad Yusof berkata, dia mempunyai keinginan membangunkan satu aplikasi khas untuk servis motosikal.
Katanya, melalui aplikasi itu, pemilik motosikal boleh menempah mekanik untuk menyelenggara kenderaan mereka.















