fbpx
Bersatu bawah panji keramat Jalur Gemilang, biarpun terkadang teruji dek beza ideologi, warga tanah air ini kekal harmoni menggauli hidup saban tahun. Seperti itulah apa dirasai tiga nama popular tanah, Bell Ngasri, Tony Eusoff dan Adira Suhaimi. Di dada mereka, tiada ungkapan paling bertuah selain berstatus anak Malaysia.

Cerita anak Malaysia Bell, Tony, Adira

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SENGAJA HibGlam menyatukan Bell, Tony dan Adira dalam satu bingkai cerita bersempena Hari Malaysia hari ini, 16 September.

Selain impak yang ditinggalkan terhadap kerjaya seni masing-masing, ketiga-tiga figura ini ada garis halus wujudnya serangkai jiwa antara tanah Semenanjung dan kepulauan Borneo.

Bell dilahirkan di Petaling Jaya, Selangor, Tony (Kuching, Sarawak manakala jauh dari tanah dingin bernama Ranau, Sabah.

Ketiga-tiganya dari tiga kaum berbeza, Adira (Dusun), Tonny (Bidayuh) dan Bell (Melayu) berkongsi cerita menarik selain bercerita tentang perjalanan dan lonjakan kerjaya masing-masing pada sesi fotografi khas di Studio Media Mulia, Petaling Jaya, baru-baru ini.

Buat Bell yang baru sahaja diwartakan sebagai Bintang Paling Popular Anugerah Bintang Popular ke-35, tiada apa selain ungkapan syukur terbit dari bibirnya saat mendasari rasa bercerita tentang bumi keramat bernama Malaysia.

Seperti kata pepatah, di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung.

Itulah yang menjadi pegangan pemilik nama sebenar, Nasrizal Ngasri itu sepanjang 43 tahun tumbuh di bumi bertuah ini, seorang anak, suami dan warga seni sejak berusia enam tahun.

BUKANLAH individu yang menumpahkan darah sebagai tanda cintakan negara, Bell, Tonny dan Adira menyifatkan ketulusan mempertaruhkan bakat seni juga sebagai satu bentuk junjung setia mereka untuk sama-sama mengangkat semangat kebersamaan dan keharmonian hidup berbudi sebagai anak

Untungnya budak sekarang

“Bukan mahu cakap besar atau kita rakyat Malaysia, tetapi namakan negara di luar sana yang majmuk seperti negara kita dan terus kekal aman, ada? Saya rasa banyak negara cemburu dengan apa yang kita sudah raih selepas 60 tahun pembentukan Malaysia.

“Kita barangkali masih belum mencapai status negara maju (tunggu masa beberapa tahun sahaja lagi), namun semuanya ada di sini.

“Makanan yang lazat, rakyat yang bersatu padu walaupun berbilang bangsa, kaya dengan sumber asli, gunung-ganang, kecanggihan infrastruktur dan banyak perihal penting lain, itu semua kelebihan Malaysia yang tiada pada negara lain,” kata Bell memberi mukadimah perbualan.

Meneruskan bicara, Bell mengenang budi orang Malaysia yang telah menyantuni kerjaya seninya selepas 37 bergelumang dalam dunia seni tanah air. Paling berjasa, sudah pasti ibunya sendiri.

“Dahulu saya kecil sahaja dan sekarang pun masih kecil (saiz), tidak banyak yang berubah (tertawa).

DINAMAKAN sebagai manusia paling popular di Malaysia baru-baru ini, Bell menyifatkan rakyat negara ini sangat pemurah dan sedia membantu antara satu sama lain dalam apa jua keadaan.

“Emak saya yang nak sangat saya jadi pelakon, jadi saya turutkan sahaja kata hatinya. Atas keberkatan doa dan usaha seorang ibu, saya berada pada tahap sekarang.

“Emak saya yang ‘angkut’ kami enam beradik ke set penggambaran. Alhamdulillah, bila fikir apa yang kami ada sekarang, semuanya adalah sebab orang tua,” jelasnya.

Pelakon yang cukup dikenali menerusi drama Cili Padi itu sempat mengingatkan tentang keberuntungan generasi sekarang yang ada segala-galanya di depan mata.

“Ingat lagi dahulu, bukan senang nak jadi senang. Zaman dulu tiada teknologi canggih seperti sekarang. Nak pergi sesuatu tempat kena ikut kata hati sebab tiada Google Maps atau Waze. Nak berborak tiada WhatsApp atau platform media sosial seperti Instagram, TikTok dan sebagainya.

“Kiranya, nak buat apa sekali pun, kita berserah sahaja. Budak-budak zaman sekarang beruntung sebab semuanya di hujung jari sahaja. Cuma tinggal, mahu dan tidak mahu sahaja,” tutur Bell.

BELL berharap selepas  keraian penuh kejutan 37 tahun dalam industri seni, akan timbul kesedaran pihak produksi melihat dan menilai bahawa bakatnya tidak terhad di lantai komedi semata-mata.
TONY berbangga semakin banyak karya yang mengangkat kisah berkaitan kaum minoriti di Malaysia khususnya di Sabah dan Sarawak.

Minoriti ‘dipandang’ dunia

Beralih kepada lelaki yang pernah aktif di pentas peragaan, Tonny Eusoff pula tersenyum lega mengenangkan susur asal kehadirannya yang masih diterima baik sehingga hari ini.

Lahir dalam kaum minoriti dna boleh peluang besar dalam industri, semua itu membuka mata Tony betapa peluang melakat nama itu tiada istilah pilih kaum.

Tutur lelaki tinggi lampai itu, berjaya memahat populariti sedangkan hadir daripada sebuah kaum minoriti iaitu Bidayuh cukup membanggakan diri sendiri memandangkan tidak ramai mampu memiliki pencapaian tersebut.

“Di Sarawak, terlalu banyak kaum dan setiap daripadanya pula terdapat banyak pecahan. Ramai yang tidak tahu mengenai hal tersebut.

“Sebagai seorang yang lahir dari golongan minoriti, tiada rasa lain yang mampu diungkapkan selain bersyukur kerana meraih peluang membina nama sebagai anak seni sejak usia 19 tahun lalu,” katanya.

Bagi pelakon drama Liar itu, setiap individu yang lahir dalam sesebuah kaum minoriti pastinya mengimpikan bakat mahupun pencapaian mereka dijulang oleh masyarakat negara ini.

Tidak kira asal etnik mahupun negeri kelahiran, tiga bintang hati peminat ini, Adira, Bell dan Tony seronok menjalani susah senang hidup dalam acuan sendiri.

“Setiap kaum minoriti negara lain turut melalui hal sama sebenarnya terutama dalam dunia hiburan, memang sangat susah untuk ketengahkan nama sendiri.

“Kes saya memang rare juga sebab mampu menempa nama dalam bidang yang saya ceburi.

“Peluang yang saya raih ini sangat berharga, bukan hanya diberi platform tetapi diundang lagi bagi memenuhi watak-watak besar,” jelas anak kelahiran Kuching, Sarawak itu.

Bukan hanya bakat, Tony juga memiliki pandangan sama seperti orang lain yang berharap penggiat seni tempatan lebih berani memperbanyakkan karya berkaitan golongan minoriti di layar perak mahupun televisyen.

Jelasnya, sehingga hari ini, karya sebegitu masih dalam kuantiti yang kecil kerana dilihat kurang nilai apatah lagi untuk mendatangkan untung.

“Nampak remeh tetapi kalau dilakukan, ibarat satu penghormatan buat kami yang lahir daripada kaum minoriti.

“Harapnya, akan ada lebih banyak pengarah atau penerbit berani mengangkat kisah-kisah sebegitu,” tutur bintang filem Sumpahan Jerunei itu.

BERHIJRAH ke Kuala Lumpur sejak berusia 19 tahun kerana menyambung pengajian dalam bidang kejuruteraan di Universiti Malaya, Tony akhirnya mencipta nama dalam dunia seni.
TIDAK kira, tinggal di Sabah atau KL, Adira bekerja keras demi anak-anak dan keluarganya.

‘Tidak pernah terfikir tinggalkan Sabah’

Sejak kecil lagi, wanita bertubuh genit itu sudah menyimpan cita-cita untuk bergelar seorang penyanyi suatu hari nanti.

Seperti yang diidamkan sejak kecil, cita-citanya untuk bergelar penyanyi tercapai selepas muncul naib juara program realiti, Akademi Fantasia musim kelapan (AF8).

Dalam sekelip mata, anak kelahiran Ranau, Sabah itu menempa populariti sebagai artis, sekali gus menuntutnya untuk berhijrah jauh ke Kuala Lumpur, meninggalkan keluarga di kampung, di Borneo.

Demi kelangsungan kerjayanya sebagai artis, penyanyi dengan nama pentas Adira Suhaimi itu ‘terbang’ meninggalkan kampung kelahirannya untuk menjalani kehidupan baharu di Semenanjung (Kuala Lumpur).

Itu cerita 13 tahun lalu. Kata Adira, sebagai anak jati Sabah, dia sebenarnya tidak pernah terfikir untuk berhijrah dan menetap di Semenanjung, walaupun bercita-cita bergelar penyanyi.

“Sudah 13 tahun saya berada dalam industri. Kalau diingat semua, saya sebenarnya tidak pernah terfikir untuk tinggalkan Sabah, berhijrah mencari rezeki dan menetap di Semenanjung.

“Masa mula-mula datang Semenanjung, memang kekok. Daripada segi bahasa, suasana sehinggalah pada makanan.

KELUAR dari Sabah, mula-mula dahulu Adira memang kekok untuk hidup di Semenanjung, baik dari segi bahasa, suasana sehinggalah  makanan.

“Tapi sekarang, alhamdulillah saya dah biasa dengan kehidupan di sini. Keluarga pula rata-ratanya masih menetap di Sabah. Saya pun selalu juga balik sana,” ujarnya.

Bercerita tentang keluarganya di Sabah, Adira tidak boleh melupakan kejadian menggemparkan negara apabila berlaku pencerobohan pengganas bersenjata Sulu di Felda Sahabat, Lahad Datu, Sabah pada Februari 2013 sehingga mengorbankan 10 nyawa perwira negara.

Kata pelantun Ku Ada Kamu itu, walaupun kedudukan lokasi serangan di Lahad Datu dengan kampung keluarganya (Ranau) agak jauh, namun dia tidak dapat membuang kerisauan tentang keselamatan mereka.

“Saya masih ingat lagi semasa Lahad Datu diceroboh pengganas bersenjata Sulu. Memang ketika itu saya sangat risaukan keselamatan keluarga di Sabah.

“Walaupun kampung saya dengan lokasi serangan terletak jauh, tapi saya tetap bimbang dan trauma. Sampai saya ajak keluarga di Sabah untuk duduk dengan saya di Kuala Lumpur. Tapi mereka enggan kerana yakin suasana di kawasan lain selamat.

“Alhamdulillah, keadaan kembali terkawal walaupun ada pejuang kita yang ‘gugur’,” ujarnya menggulung perbualan.

Foto MUHAMAD IQBAL ROSLI Solekan EL MANDA ZUHAIRY (@elmandazuhairy)
Gaya DEAN ISHAK (@deanishak)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN