SETIAP jenayah yang dilakukan pasti membawa padah dan ada hukuman yang menanti.
Menonton satu per satu video dalam TikTok dimuat naik pempengaruh popular dengan hampir 500,000 pengikut yang juga bekas majistret wanita berusia 40 tahun ini mampu membuatkan sesiapa sahaja ‘terkesan’ akibat daripada perbuatan jenayah.
Berpeluang mencuri sedikit masa menemu bual pemilik nama Nur Aminahtul Mardiah Md. Nor ini, dia mengakui pengalaman selama lebih tujuh tahun berkhidmat sebagai majistret di Jabatan Kehakiman Negara bermula 2012 meninggalkannya pelbagai nostalgia yang tidak akan pernah dilupakan.
Pengalaman dan pelbagai ragam si pelaku jenayah dan keluarga tertuduh ketika mengadili sesuatu kes dalam kamar perbicaraan membuatkannya ingin berkongsi kepada masyarakat asbab perlakuan jenayah.
Bagi Nur Aminahtul, sebagai manusia biasa, meskipun berada di kerusi menjatuhkan sesuatu hukuman, namun jauh di sudut hatinya, kadangkala tidak dapat membendung emosi melihat pelbagai situasi sedih dalam kamar perbicaraan.
“Saya juga manusia biasa yang mempunyai emosi apabila lihat kes yang mungkin akan mengingatkan kepada keluarga khasnya.
“Namun, apabila berada atas kerusi majistret, saya perlu bersifat profesional dengan menilai pelbagai perkara membabitkan tertuduh antaranya dokumen, kelakuan dan kemampuannya,” kata Nur Aminahtul.
Jelasnya, apabila sudah tidak lagi memegang jawatan tersebut, dia berasa terpanggil untuk membuat perkongsian situasi dalam kamar perbicaraan kepada khalayak supaya masyarakat terutama orang muda sedar akan akibat sekiranya melakukan sesuatu jenayah.
“Kalau ikutkan, saya mula berkongsi di platform Tiktok pada tahun 2021 semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tetapi saya mula bergiat secara aktif pada awal 2022.
“Segalanya bermula apabila semasa PKP banyak tangkapan yang berlaku akibat pelanggaran kawalan pergerakan dan juga penggunaan pelitup muka.
“Menerusi komen-komen yang saya baca, saya dapati ramai orang masih tidak mengetahui hak-hak asas mereka apabila ditangkap dan terlibat dengan apa-apa isu berkaitan dengan pihak berkuasa.
“Saya terpanggil untuk berkongsi hak-hak asas yang patut diketahui dan kemudian ia berkembang menjadi perkongsian ilmu berkaitan undang-undang bagi membantu orang ramai lebih memahami undang-undang dengan bahasa yang mudah,” katanya.
Ujarnya, sejak detik itu, dia juga mula berkongsi pengalaman yang mana bertujuan menjentik hati orang ramai agar tidak terus menghakimi pesalah dan tidak terlibat jenayah.
Mengakui walaupun sering kali videonya menjadi rujukan dan pilihan warga maya, dia juga tidak terlepas daripada kecaman.
“Ketika awal saya memulakan perkongsian di TikTok, saya dikecam oleh komuniti guaman sendiri kerana ada yang beranggapan berada dalam platform itu adalah tidak profesional.
“Saya tetap juga meneruskan perkongsian kerana saya tidak melanggar apa-apa etika kepeguaman dan saya bersyukur dapat bantu ramai orang secara tidak langsung menerusi perkongsian yang dimuat naik.
“Saya juga dikecam teruk apabila membuat perkongsian bagi tujuan membanteras konten-konten berunsur lucah yang mana saya telah diserang melalui komen (DM) di semua platform sehinggakan saya pernah diugut rogol oleh netizen.
“Saya juga pernah diserang menggunakan gambar anak sehingga saya betul-betul patah hati kerana keluarga saya disentuh,” tuturnya.

iaitu hampir 500,000 orang di TikTok.
Pun begitu, kembali kepada niat kenapa memulakan perkongsian dan semuanya untuk membantu orang kerana Allah, dia cekalkan hati.
“Justeru, saya mulai belajar untuk ignore (abaikan) dan utamakan apa yang saya perlu baca.
“Saya juga mengambil pendekatan tidak layan atau hanya membaca komen yang ditapis dengan terdahulu memasukkan perkataan yang tidak baik yang sering digunakan ke atas saya di bahagian tapisan perkataan.
“Tindakan ini saya lakukan kerana saya percaya melayan komen dan kecaman yang tidak beradab tidak akan memberi apa-apa kebaikan kepada diri dan kerjaya,” katanya.
Menyorot mengenai kerjayanya, anak kelahiran Seremban, Negeri Sembilan ini merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang dari Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam.
Sebaik sahaja bergelar graduan, dia memulakan tugas sebagai Timbalan Pendakwa Raya di Jabatan Peguam Negara dari 2007 hingga 2011.
Kemudian, dia berkhidmat sebagai majistret dari 2012 hingga 2019 dan hasil daripada pengalaman dan jerit perih ditempuhi, dia kini mempunyai firma guamannya sendiri, Chambers of Aminahtul Mardiah.
“Jujur kalau ikutkan menjadi peguam, majistret atau Timbalan Pendakwa Raya tidak pernah ada dalam senarai cita-cita saya.
“Saya memulakan langkah dalam bidang perundangan semata-mata kerana Allahyarham ayah saya merupakan seorang peguam syarie.
“Ketika di sekolah menengah, saya pelajar jurusan elektrik dan bapalah yang mendorong untuk saya menyambung pengajian dalam jurusan undang-undang.
“Pada awalnya agak sukar kerana banyak perkara perlu dihafal dan difahami. Namun, lama-kelamaan saya menjadi minat hingga mampu miliki firma guaman sendiri serta pelbagai latar belakang kerjaya berkaitan undang-undang,” katanya.
Memegang kerjaya hebat dan profesional selaku peguam, selain ‘ibu’ pasti bukan mudah.
“Saya adalah seorang wanita yang belum bernikah tetapi mempunyai anak susuan yang saya susukan dan jaga selepas lima jam dilahirkan bernama Ariq Haiqal Eusoff Abdul Qadir yang kini berusia 10 tahun.
“Saya cuba sebaik mungkin untuk tidak membawa kerja pulang ke rumah dan sentiasa mencari masa agar saya ada bonding kuat bersamanya.
“Hujung minggu biasanya saya akan fokus keluarga melainkan ada kekangan kerja yang terlalu kritikal atau mendesak seperti perlu hadir bagi permohonan reman yang dilakukan ketika cuti,” katanya.














