Gambar kenangan Muhammad Syahrul Darwish (dalam bulatan) bersama keluarganya baru-baru ini. – Media sosial

Hampir kena sawan dapat tahu anak lemas belakang rumah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

GUA MUSANG – Seorang wanita seperti terkena sawan dan hampir rebah apabila mengetahui anaknya berusia empat tahun meninggal dunia akibat lemas selepas terjatuh ke dalam parit di belakang rumahnya sebelum dihanyutkan arus deras di Felda Chiku 1, di sini kelmarin.

Muhammad Syahrul Darwish Mohd. Mazuan ditemui kira-kira pukul 6.50 petang.

Mohd. Mazuan Mohd., 34, berkata, dia mendapat tahu me­ngenai anaknya selepas penduduk kampung memaklumkan menjumpai Muhammad Syahrul Darwish di padang bola Felda Chiku 1 yang jaraknya kira-kira empat kilometer dari rumah.

Menurutnya, dia pada mula­nya merasa tidak sedap hati apabila anaknya tidak menyambut kepulangannya dari tempat kerja, namun menyangka Muhammad Syahrul Darwish sedang bermain bersama kakaknya yang berusia lapan tahun.

“Kebiasaannya setiap kali saya pulang dari tempat kerja di sebuah ladang di Felda ini kira-kira pukul 6.15 petang, dia pasti me­nunggu di pintu, namun semalam (kelmarin) dirinya tiada dan membuatkan saya hairan.

“Saya dan isteri Nur Fatin Syahira Ibrahim, 26, tidak nampak kelibat Muhammad Syahrul Darwish sebelum kami berdua mencarinya di kawasan rumah, namun tidak jumpa.

“Naluri saya kuat mengatakan dia (Muhammad Syahrul ­Darwish) pergi ke parit di belakang rumah yang dinaiki air kerana sebelum itu hujan lebat,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik, Hospital Gua Musang di sini kelmarin.

Mohd. Mazuan memberitahu, saat melihat Muhammad Syahrul Darwish sudah tidak bernyawa di padang bola itu, isterinya seperti orang terkena sawan dan hampir rebah.

“Dugaan ini memang berat buat kami sekeluarga, namun kami tetap reda dan menerima kejadian yang berlaku.

“Jenazah Muhammad Syahrul Darwish selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Felda Chiku 1 dan 2 di sini, kira-kira pukul 1.35 pagi tadi (semalam),” ujarnya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun ditemui lemas selepas terjatuh ke dalam parit di belakang rumahnya sebelum dihanyutkan air deras di Felda Chiku 1 di sini, petang kelmarin.

Menurutnya, mangsa, Muhammad Syahrul Darwish dijumpai pukul 6.50 petang oleh penduduk kampung kira-kira empat kilometer dari lokasi parit tersebut.

“Kanak-kanak itu ditemui dalam keadaan terbaring di padang bola Felda Chiku 1.

“Pembantu Kesihatan Klinik Kesihatan Chiku telah mengesahkan mangsa telah meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya.

Choon Foo memberitahu, ­hasil bedah siasat di Hospital Gua Musang di sini mendapati, punca kematian kanak-kanak itu disebabkan mangsa lemas di dalam parit tersebut.
Tambahnya, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN