PETALING JAYA – Seorang ibu tidak menyangka perubahan sikap anak perempuan berusia dua tahun yang menangis setiap kali dihantar ke taska membongkarkan kejadian dera yang menimpa kanak-kanak itu.
Mangsa yang dihantar ke taska di Cheras, Kuala Lumpur sejak Februari lalu itu mengalami trauma selepas pipinya dicubit, manakala kepalanya pula dihempuk ke lantai.
Perbuatan kejam pekerja taska itu dirakam menerusi televisyen litar tertutup (CCTV) di premis berkenaan.
Ibu mangsa dikenali sebagai Rin Azmin berkata, anaknya pernah mengadu dan menangis tidak mahu ke taska berkenaan kerana takut pada 3 Ogos lalu.
“Dia (anak) menangis ‘mama, Nia (nama panggilan mangsa) tak nak pergi school (sekolah), Nia takut.
“Saya membuat permohonan kepada pihak taska untuk melihat CCTV bagi mengetahui kejadian yang berlaku, tetapi gagal sehingga terpaksa menghubungi ibu pejabat bagi mendapatkan kebenaran.
“Saya lihat rakaman CCTV itu secara rawak. Sebagai ibu, saya berasa kecewa kerana mereka tidak melakukan siasatan secara menyeluruh selepas saya membuat laporan,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.
Ketakutan mangsa tidak berakhir di situ apabila seorang pekerja taska kemudian memaklumkan dia terlanggar mangsa ketika bermain dengan kanak-kanak lain sewaktu suaminya menjemput anak mereka pada pukul 6 petang, Rabu lalu.
Jelasnya, pemeriksaan lanjut dia dan suaminya mendapati ada kesan cubitan pada pipi kiri dan kanan anak mereka selain kanak-kanak itu mengadu sakit lengan.
“Saya minta kebenaran untuk melihat CCTV sekali lagi, namun tidak diendahkan. Saya dibenarkan melihat rakaman CCTV pada pagi Isnin (kelmarin),.
“Suami saya melihat sendiri rakaman itu dan mendapati salah seorang petugas taska mencubit dan menghempuk kepala anak saya ke lantai. Sebagai ibu, saya berasa terkilan kerana pekerja lain hanya melihat sahaja kejadian itu.
“Sekarang ini, anak saya masih berada di hospital untuk pemeriksaan lanjut. Mohon doakan anak kami,” katanya.
Susulan kejadian itu, Rin membuat laporan polis di Balai Polis Salak Selatan untuk tindakan selanjutnya.
“Saya juga sudah bertemu dengan Pegawai Penyiasat di Ibu Pejabat Kontinjen Kuala Lumpur semalam (kelmarin) untuk diambil keterangan,” katanya.
Rin turut menasihatkan orang ramai terutama ibu bapa supaya sentiasa peka dengan perubahan sikap anak masing-masing bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku.














