fbpx
ALIF SATAR & THE LOCOS

Karisma Alif & The Locos, seragam kacak gegarkan DFP

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

TENANG dan romantis. Demikian istilah tepat gambaran persembahan Alif Satar dan The Locos menerusi konsert Lochestra: Alif Satar & The Locos with the Malaysian Philharmonic Orchestra (MPO) yang menghimpunkan penonton dalam dan luar negara.

Dewan Filharmonik Petronas (DFP) menjadi saksi impian Alif untuk beraksi di pentas megah itu telah direalisasikan yang disambut suara peminat sebaik penghibur versatil itu menguasai pentas.

Lebih 17 tahun bergelar anak seni, Alif menyimpan impian untuk menawan DFP, apatah lagi sebelum ini hanya mampu menjejakkan kaki ke dewan gah itu sebagai hos bagi konsert Faizal Tahir.

Bagai bulan jatuh ke riba, peluang tersebut diguna sebaiknya dengan sajian hiburan berkualiti buat penonton menikmati mahakarya kumpulan terbabit.

Lebih menarik, kelihatan beberapa tempat duduk dipenuhi pelancong dari luar negara yang barangkali ingin turut sama menghayati malam istimewa tersebut.

Aura dendangan listrik vokal seksi penyanyi berusia 33 tahun itu membuat hampir 1,000 penonton khayal dibuai seleksi lagu yang pernah menjadi fenomena suatu ketika dahulu, bahkan masih menjadi siulan anak muda zaman sekarang.

Tepat pukul 8.30 malam, kemunculan Alif Satar atau nama lengkapnya Muhammad Alif Mohd. Satar bersama The Locos disambut tepukan gemuruh seiring sorakan penonton yang sudah lama menunggu momen itu berlaku.

Masing-masing tampil dengan sut lengkap, Alif seperti kebiasaan, kekal elegan dengan imej eksklusif lelaki budiman, mengenakan sut hitam pekat menaikkan lagi seri raut tampannya.

Malam tenang

Konsert berdurasi hampir dua jam itu dinikmati sebaiknya penonton yang boleh dikatakan tenang dan tidak berlebih-lebihan, barangkali menghormati kemegahan DFP, namun keterujaan pada wajah mereka itu jelas terpancar.

Menariknya, persembahan tersebut menyaksikan kolaborasi kumpulan itu diringi MPO di bawah pimpinan konduktor berpengalaman, Ahmad Muriz Che Rose.

Repertoire persembahan terisi dengan dendangan popular seperti Hey, Cukup Indah, I Want You To Love Me diikuti dengan lagu-lagu hitsnya yang pernah mencipta fenomena seperti Jangan Nakal dan Akan Tiba.

Khalayak sedar rantaian lagu hits kumpulan dibarisi lima lelaki itu bakal membawa mereka ke terowong masa, seiring imbasan semula kisah zaman remaja yang mungkin pernah tertawa dengan nuansa setiap lirik lagu.

Karisma Alif Satar sebagai seorang penghibur semakin hebat dengan kerjasama dengan kugiran bernama The Locos.

Alif melantunkan 15 dendangan termasuk lagu hits yang pernah menjadi fenomena termasuk alunan dua lagu baharu mereka berjudul Toxic dan Lelaki Tak Sempurna.
Penonton seperti dihipnosis dibuai seleksi ‘romantis’ bagai mengantuk disorongkan bantal dibuai mimpi indah sebaik vokalis terbabit mula menyanyi lagu baharu yang nyata membuat gelora jiwa menderas.

Berbekalkan kehandalan bermain muzik anggota kumpulan iaitu Tam Cobain (gitar), Efry Arwis (bass), Faliq Auri (saksofon) dan Rajwan Juni (dram) bersulam bunyian megah iringan orkestra profesional, malam tersebut bagai membawa penonton ke dimensi bunyi-bunyian sakti.

Intermission

Di bahagian pertengahan malam penuh memori itu, adrenalin konsert bagaikan berbolak-balik dengan permainan susunan lagu yang bersifat ‘sementara’ ingin turut sama menggoyangkan badan dan ada bahagian yang benar-benar menusuk jiwa.

Bayangkan, momentum konsert diteruskan dengan lagu tular dalam TikTok iaitu Lelaki Seperti Aku seakan-akan membuat penonton ingin bangun daripada kerusi untuk melompat meraikan lagu kegemaran mereka, namun terpaksa tenang menghormati tempat.

Keadaan reda seketika apabila Alif tanpa amaran mendendangkan lagu wajib dipasang pada setiap majlis perkahwinan sekian ramai orang berjudul Akhiri Penantianku yang berjaya membuat pasangan suami isteri berpelukan barangkali teringat momen penyatuan mereka sebagai teman sehidup semati.

Menambahkan lagi mood ‘healing’ dalam dewan, Alif membuai jiwa penonton dengan rasa cinta menerusi alunan lagu berjudul Isteri yang ditujukan wanita kesayangan, Shadila Halid yang turut duduk di bangku audiens.

Penutup konsert menyaksikan lagu yang pernah mendapat tempat ketiga dalam Anugerah Juara Lagu ke-37 (AJL37) berjudul Anugerah Terindah mengambil alih seluruh ruang dewan dengan suara penonton yang turut menyanyi bersama mereka.

Alunan merdu suaranya serta gerakan bersahaja membuat ramai wanita yang bergelar isteri mengukir senyuman indah sepanjang lagu tersebut didendangkan.

“I Love You isteriku,” tutur Alif kepada sang bidadari yang sudah sepuluh tahun bertakhta di hatinya.

Tidak dilupakan juga dendangan lagu sarat makna berjudul Sesungguhnya Aku yang membuatkan malam itu hampir tiada cacat celanya, suara Alif mengalir merdu, gabungan muzik pop The Locos diiringi orkestra sangat menjadi bahkan tidak canggung sama sekali.

Segmen tribute

Meneruskan aksi dengan stamina yang sama, penyanyi asal Kuala Lumpur itu tidak ketinggalan menghadiahkan segmen istimewa kepada dua idolanya, Allahyarham Tan Sri P. Ramlee dan Datuk Sheila Majid sebagai apresiasi tertinggi.

Katanya, dua figura tersebut sentiasa menjadi idolanya selain memberi semangat untuknya dan The Locos berjuang mewarnai industri muzik dengan karya yang segar dan berkualiti.

“Ketika saya dan The Locos mahu buat persembahan, kami selalu terfikir kalaulah Allahyarham Tan Sri P. Ramlee masih ada, adakah dia bangga dengan persembahan kami, agaknya dia minat Alif Satar atau tidak ya?” ujarnya sambil tertawa.

“Jadi malam ini saya paterikan memori indah ini dengan menyanyikan lagu daripada dua idola saya, sebagai tanda menghargai dan berterima kasih kerana tidak pernah jemu memperjuangkan industri muzik tanah air,” tutur Alif.

Konsert Lochestra: Alif Satar & The Locos with the Malaysian Philharmonic Orchestra (MPO) menyaksikan kolaborasi kumpulan itu diringi MPO di bawah pimpinan konduktor berpengalaman, Ahmad Muriz Che Rose (kanan). 

Alif mendendangkan dua buah lagu dalam segmen tersebut iaitu Getaran Jiwa dan Sinaran yang membuat penonton seisi dewan senyap seketika barangkali terlalu leka menghayati setiap baris lirik lagu yang sentiasa berbekas di jiwa.

Penutup konsert menyaksikan lagu yang pernah mendapat tempat ketiga dalam Anugerah Juara Lagu ke-37 (AJL37) berjudul Anugerah Terindah mengambil alih seluruh ruang dewan dengan suara penonton yang turut menyanyi bersama mereka.

Alif dan konco-konconya membuktikan, naratif kariernya bergulir matang dan terbukti sukses.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN