ALOR SETAR – Ramai rakyat di negara ini terutama golongan muda mengalami gangguan tidur kerana masa rehat diperuntukkan untuk melayari media sosial selama berjam-jam seolah-olah menjadi budaya pada masa kini.
Presiden Persatuan Pengguna Siber Malaysia (MCCA), Siraj Jalil berkata, media sosial mempunyai algoritma tersendiri yang menyajikan konten-konten menarik mengikut minat dan carian pengguna.
“Jadi, ia akan memberi pengaruh seterusnya membuatkan seseorang itu menjadi leka sehingga menyebabkan mereka tidak cukup tidur.
“Ketagihan media sosial ini sangat berbahaya terutama kepada orang muda dan anak-anak kecil. Ibu bapa perlu mengawasi tempoh masa penggunaan gajet oleh anak-anak mereka bagi mengelak ketagihan,” ujarnya.

Menurutnya, ramai pengguna aktif di media sosial termasuk membuat live tengah malam dan awal pagi kerana sudah tiada urusan lain untuk dilakukan.
“Selain itu, jenis konten akan mempengaruhi psikologi pengguna. Sebagai contoh konten-konten negatif seperti perbincangan melibatkan kemarahan, perbalahan memberi kesan kepada pemikiran,” jelasnya.
Menurutnya, kerajaan perlu memberi perhatian serius kepada masalah ketagihan ini kerana ia akan melibatkan kerosakan kepada keseluruhan generasi.
Sementara itu, kata beliau, pihaknya mencadangkan agar kerajaan memasukkan silibus khas berkaitan kepenggunaan teknologi maklumat dan digital bermula dari peringkat sekolah rendah.
“Kita mahu anak-anak dididik dari awal tentang penggunaan internet termasuk media sosial ini bagi mengelak berlaku lebih banyak kesilapan yang mampu merosakkan generasi.
“Selain itu, kita juga berharap dapat diwujudkan Akta Keselamatan Siber bagi menangani semua isu berkaitan bidang itu secara lebih jelas dan berkesan,” katanya.
Tambahnya, kerajaan juga perlu melihat kepada penyelesaian masalah itu menggunakan teknologi dan sebagai contoh, aplikasi yang boleh mengehadkan waktu penggunaan gajet kepada pengguna.














