fbpx
AISHA RETNO

Aisha Retno lambat panas?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PADA usia yang sangat muda, tidak hairanlah jika seseorang artis terlibat dalam gosip percintaan mahu pun terjebak cinta lokasi.

Perkara sama juga berlaku kepada pucuk muda, Aisha Retno yang pernah melalui fasa tersebut. Mengakui ada yang berbekas di hati, si peminat kucing itu bagaimanapun enggan terlampau terbuka berbicara soal cinta demi fokus terhadap karier nyanyian.

Melihat segi penampilannya yang sedikit berbeza, terdetik pertanyaan di hati sama, adakah benar Aisha sedang lara hati putus kasih? Enggan berselindung, anak kepada penyanyi veteran Indonesia iaitu Jean Retno

Aryani itu mengakui perubahan gaya rambut yang dicantas pendek ada kaitan dengan kegagalan cinta.

“Berkaitan potong rambut memang ada kaitan sikit dengan isu perasaan serta hal sentimental. Saya jenis fokus karier, tetapi bila sendirian baru terfikir lara hati.

“Biasalah cinta monyet dalam lingkungan usia macam saya. Orang datang dan pergi.

SELAIN berambut pendek, Aisha juga turut memasang pendakap gigi dan mengamalkan berdiet bagi mendapatkan penampilan lebih menarik.

“Saya tidak mahu perkara tersebut mengaburi saya punya tujuan hidup yang ingin balas jasa ibu bapa,” katanya pucuk muda berusia 23 tahun itu ringkas.

Dalam masa sama, bekas finalis Big Stage musim keempat itu menganggap perubahan gaya rambut hanyalah 30 peratus berkait soal perasaan, selebihnya mengikuti trend semasa.

“Saya tidaklah sampai patah hati, cuma saya lalui rasa sakit dalam percintaan, itu sahaja.

“Bila tengok babak cinta dalam drama memang teringat. Kalau dikatakan saya potong rambut sebab putus cinta, itu ada dalam 30 peratus sahaja.

“Saya mahu mencuba penampilan baharu seperti beberapa artis iaitu Daiyan Trisha yang memberi inspirasi untuk buat benda sama,” selorohnya.

Menukar topik perbualan, walaupun momentun karier pelantun lagu W.H.U.T itu dilihat agak sukar, hakikatnya dia berjaya melakukan langkah berani apabila berusaha keras mengeluarkan sebuah mini album.

DILIHAT lambat panas, Aisha Retno membuktikan kesungguhannya dengan penghasilan sebuah mini album memuatkan lima buah lagu berjudul AR.

AR hadiah peminat

“Mini album yang bakal keluar pada November juga sangat sentimental kerana banyak ciptaan sendiri bersama kawan-kawan seperti Firdaus Rahmat, Iqie Hugh, Hanis dan Iqie Hues.

“Nama album adalah AR yang menceritakan kehidupan saya sepanjang berada dalam industri ini, selain mengenai kisah percintaan.

“Album saya mempunyai lebih kurang lima lagu dan saya ikut sasaran semua lagu muncul secara giliran mulai September sehingga November ini,” luahnya dalam nada teruja.

Satu hal yang menarik tentang Aisha, penyanyi itu juga kerap menjadi pilihan sebagai artis pembukaan konsert nama-nama besar walaupun populariti belum memeluknya secara total.

“Semua sebagai pengalaman. Sebenarnya jadi penyanyi untuk pembukaan persembahan bukan senang.

Foto FARIZ RUSADIO Tatarias NUR SABRINA ABU HASSAN Solekan ELMANDA ZUHAIRY

“Dari situ saya dapat buat persiapan sendiri sekali gus dapat menaikkan nama sebagai artis.

“Sekecil zarah pun peluang yang datang saya anggap sebagai perkara positif.

“Secara tidak langsung saya dapat belajar ilmu untuk melakukan persembahan baik,” ujar anak sulung daripada dua bersaudara itu.

Dedah pemilik nama lengkap Sharifah Aisha Retno Sayed Sipulijam, banyak perkara yang boleh dipelajari apabila menyahut cabaran menjadi penyanyi pembukaan.

Paling tidak dilupakan berkongsi pentas dengan penyanyi Indonesia, Andmesh Kamaleng dan Mahalini yang pernah menghiburkan rakyat Malaysia tahun ini.

TANPA menyebut secara terperinci, penyanyi berusia 23 tahun itu akui potong rambut sebagai simbolik mengubah angin akibat kegagalan cinta monyet.

Pengalaman baharu

“Setiap penyanyi ada ciri tersendiri tetapi yang saya tidak dapat lupakan adalah beraksi sepentas dengan Mahalini dan Andmesh.

“Andmesh ada titik-titik sentimental yang boleh buat kita tersentuh dengan persembahannya walaupun baru berumur 25 tahun.

“Mahalini pula sangat bersahaja selain tahu cara menambat hati peminat luar negaranya. Itu yang saya belajar dan boleh aplikasikan dalam persembahan kelak,” jelasnya.

Tidak mahu berpeluk tubuh dengan sekadar mengeluarkan mini album, penyanyi yang popular dengan lagu Sutera itu bercita-cita ingin membolosi acara anugerah dalam mahupun luar negara.

“Kalau rezeki saya mahu cuba ke anugerah besar seperti Anugerah Juara Lagu (AJL) atau Anugerah MeleTOP.

“Tahun ini dapat melakukan persembahan dalam pelbagai acara sudah memberikan banyak pendedahan yang memadai,” tutupnya.

AISHA bakal menjayakan sebuah persembahan bertemakan jazz dan R&B di Dewan Filharmonik Petronas (DFP) pada 9 September bersama Marques Young dan Syafiq Abdilah.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN