BARU-BARU ini, penulis menerima panggilan daripada seorang rakan yang bertugas sebagai pendidik merangkap guru disiplin sebuah sekolah.
Dalam nada keletihan, beliau memaklumkan baru sahaja pulang dari balai polis berikutan kes pelajar terlanjur. Ya, pelajar berusia 12 tahun sudah hilang dara gara-gara mabuk cinta dengan pasangan dewasa.
Kes sebegini bukan perkara baharu bahkan makin berleluasa di negara kita mutakhir ini. Sebagai ibu bekerjaya, sudah semestinya hati tercuit rasa risau. Betapa beraninya anak-anak zaman sekarang meneroka ‘dunia baharu’ yang pintunya belum patut dibuka.
Rabu lalu, Kosmo! mendedahkan dapatan Tinjauan Kesihatan dan Morbiliti Kebangsaan 2022 Kementerian Kesihatan yang mana seramai 115,984 remaja berusia antara 13 hingga 17 tahun mengakui telah melakukan hubungan seks bebas sebelum berkahwin.
Lebih menakutkan, seramai 17,011 daripada jumlah itu mengakui mempunyai lebih daripada satu pasangan. Angka itu diperolehi melalui kajian yang dilakukan ke atas 154,646 remaja di seluruh tanah air.
Seramai 51,033 responden daripada jumlah itu mula melakukan hubungan seks sebelum berusia 14 tahun.
Menerusi perkongsian beberapa teman pendidik, selain pengaruh kawan, kebanyakan kes bermula dengan bertukar nombor telefon.
Apabila dilambung ombang rindu, pelajar bertukar gambar dan video dengan sang kekasih yang kemudian melarat melakukan perkara-perkara tidak sepatutnya.
Kewujudan pelbagai aplikasi lucah di media sosial yang mudah diakses turut menjadi penyumbang utama permasalahan ini. Bermula dengan rasa ingin tahu ramai pelajar sekolah mula ketagih menonton pornografi sehingga cenderung mencuba.
Jangan terkejut budaya tidak sihat ini bermula dari sekolah rendah yang kemudian kian menggila di sekolah menengah. Tambah parah apabila kurang pemantauan oleh ibu bapa yang terpaksa meletakkan sepenuh kepercayaan terhadap anak berikutan terikat dengan tuntutan mencari rezeki demi kelangsungan hidup.
Melihat statistik di atas, sudah sampai masanya ibu bapa memantau anak masing-masing. Bertindak bijaklah dengan selalu memeriksa telefon, komputer atau tablet anak serta mengehadkan masa penggunaan.
Bukan tidak percayakan anak tetapi perlu ada sedikit ketegasan dalam soal ini demi memastikan mereka berada di landasan yang betul.
Jangan sampai anak sudah ‘rosak’ baru kelam-kabut mengkaji punca dan mencari solusi. Ada baiknya, kita bertindak sewajarnya sebagai ibu bapa. Bukankah tugas kita menjaga, membimbing dan melindungi anak?
Usah meletakkan segala tanggungjawab di bahu guru kerana anak itu sebenarnya amanah dan tanggungjawab kita. Peranan guru mendidik dan menyalurkan ilmu. Ini juga peringatan buat diri penulis.
Sebelum menoktahkan aksara, salam takziah buat keluarga mangsa tragedi pesawat Beechcraft Model 390 (Premier 1) yang terhempas di Elmina Central Park, Seksyen U16, Shah Alam, Khamis lalu.
















