PERNAH berdepan kenaikan berat badan melampau terutama ketika pandemik Covid-19 sekitar tahun 2020, banyak pihak tertanya-tanya bagaimana perubahan drastik sebegitu berlaku kepada pelakon terkenal, Shaheizy Sam.
Penulis yang pernah menghubungi Sam dua tahun lalu diberitahu, semua itu berlaku dek tabiat pemakanan tidak dikawal. Natijahnya, Sam perlu menanggung kenaikan berat badan sebanyak 20 kilogram (kg).
Sedar semuanya belum terlambat, Sam atau nama lengkapnya Shaheizy Sam Abdul Samad, 41, tidak sesekali membiarkan badannya terus ‘membulat’.
Tuntutan kerja sebagai pelakon juga memaksa dirinya sentiasa tampil segak di mata umum.
Pelik tapi benar, umpama sekelip mata sahaja, pelakon yang pernah menjulang trofi Bintang Paling Popular 2012 itu kembali mendapatkan bentuk tubuh kekar, apabila muncul dalam filem Polis Evo 3 sekitar Mei 2023.
Bantu kuruskan badan
Bagaimana semua itu dikembalikan tidak perlu dipersoalkan kerana semuanya hasil kerja keras dan kesungguhan dirinya.
Impaknya, suami kepada pelakon Syatilla Melvin itu menjadi inspirasi kepada ramai lelaki yang mengidamkan bentuk tubuh sepertinya.
Kata Sam, dia berhasrat untuk menganjurkan program kuruskan badan selepas kerap diajukan soalan mengenai cara-cara untuk menurunkan berat badan selain mahu memberi motivasi kepada masyarakat tentang pentingnya menjaga kesihatan.
“Ramai sebenarnya mahu kurus, cuma mereka tidak mendapat bimbingan atau tidak tahu cara yang betul.

“Sejak saya berlakon dalam filem Polis Evo yang pertama pada 2015 lagi, asyik individu sama sahaja yang tanya bagaimana saya kuruskan badan. Filem kedua (Polis Evo 2 pada 2018) tanya lagi sehingga Polis Evo 3. Saya terfikir mereka tidak kurus-kurus lagi ke?” ujarnya.
Atas dasar ingin membantu, Sam berhasrat untuk menganjurkan sebuah program dengan mengumpul kelompok individu yang mahu kurus untuk sama-sama mencapai impian mereka.
“Saya sedar mereka ini bukan tidak mahu kurus, cuma tidak tahu macam mana nak buat. Jadi saya gunakan kesempatan ini untuk anjurkan sebuah program.
“Saya mahu kumpulkan orang yang nak kurus tapi tidak tahu cara betul kuruskan badan. Saya akan ajar mereka apa yang saya lakukan setiap hari untuk dapatkan bentuk badan idaman,” jelasnya yang akan mengadakan acara tersebut secara ‘on ground’ dalam masa terdekat.
Tanggungjawab
Pada masa sama, Sam juga terpanggil untuk membantu golongan yang mengalami masalah berat badan kerana sedar bahawa Malaysia kini berada di kedudukan nombor satu di Asia Tenggara dengan kadar obesiti tertinggi.
“Saya memang kena bantu individu yang ada masalah berat badan. Sebab Malaysia merupakan negara tertinggi penduduknya mengalami obesiti di Asia Tenggara,” jelasnya yang masih perlu menurunkan berat badan sehingga 55kg untuk sebuah projek filem pada Oktober nanti.
Dalam perkembangan lain, bapa kepada tiga orang cahaya mata itu turut berkongsi rasa bangga dan teruja apabila filem terbaharu lakonannya, Malbatt: Misi Bakara bakal ditayangkan di pawagam pada 24 Ogos nanti.
Kata Sam, filem adaptasi daripada kisah sebenar tentang keberanian dan kehebatan anggota 19 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) Mekanis dari Batalion Malaysia (Malbatt) untuk mengangkat kehebatan para anggota tentera Malaysia itu turut menyuntik semangat patriotik dalam dirinya.

“Pada 1993, tentera kita telah terlibat dalam misi Black Hawk Down, menyelamatkan sekumpulan tentera AS yang terperangkap di pasar Bakara, Mogadishu, Somalia.
“Sebagai pelakon yang terlibat, saya rasa bertanggungjawab untuk pastikan filem ini sampai kepada penonton.
“Sekurang-kurangnya orang boleh nampak perjuangan dan pengorbanan tentera kita.
“Sebab ada cakap-cakap mengatakan askar kita tidak buat kerja. Tidak pergi berperang. Tapi dengan adanya filem mini yang diangkat daripada kisah sebenar, diharap dapat membuka mata masyarakat bahawa askar kita juga terlibat dalam menjaga keamanan dunia,” jelasnya.
Memegang watak sebagai Lans Kopral Ramlee, Sam berkata cabaran besar yang perlu dilaluinya adalah perlu menahan perut kerana kerap berasa lapar disebabkan cuaca sejuk semasa penggambaran di Turkiye selama lebih dua bulan.
“Banyak babak dilakukan pada waktu malam. Cuaca pula sejuk. Jadi perut sentiasa berasa lapar. Saya pula terpaksa jaga makan sebab perlu berdiet,” katanya.
Humor vs emosi
Biarpun tampil dalam sebuah filem bercorak ketenteraan, Sam akui perlu bijak menarik perhatian penonton apabila turut menampilkan sisi humor, yang memang sebati dalam setiap lakonannya.
Sebagai pelakon, dia perlu tahu untuk ‘mewarnai’ karakter yang diberikan supaya tidak membosankan.
“Kalau saya bawakan karakter serius sebagai anggota tentera, penonton akan jadi bosan. Jadi saya perlu ‘warnakan’ sedikit watak agar penonton terus ‘melekat’.
“Tapi pada akhir filem, babak beremosi dan air mata sudah tentu menjadi kemuncak kepada filem ini,” jelasnya.

Sam turut meletakkan harapan besar agar Malbatt: Misi Bakara menjadi platform menarik minat anak muda menyertai pasukan tentera.
“Sejujurnya saya tidak pandai untuk meletakkan harapan. Cuma saya harap, filem ini dapat menarik minat anak-anak muda untuk menyertai pasukan tentera.
“Selain itu, saya harap filem ini juga dapat memberi kesedaran kepada masyarakat untuk cintakan kedamaian, menghargai nyawa dan persahabatan,” ujarnya.














