fbpx
Gambar hiasan.

Sekolah khas golongan miskin, keperluan atau kehendak?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEKOLAH merupakan satu institusi yang penting dalam membolehkan pelajar mendapat pendidikan sebaiknya. Setiap pelajar berhak mendapat pendidikan tidak kira sama ada berasal daripada keluarga kaya mahupun miskin.

Bagi membolehkan semua pelajar tidak terlepas daripada arus perdana pendidikan, pihak kerajaan bakal melaksanakan projek rintis konsep sekolah khas untuk golongan paling miskin di negara ini.

Pengarah, Pusat Penyelidikan dan Pembangunan Keluarga Universiti Malaya (UMFRDC), Dr. Abd. Razak Zakaria berkata, matlamat dan hala tuju pendidikan jelas menunjukkan ke mana arah tujuan pendidikan di negara ini.

Menurutnya, kemiskinan dilihat sebagai satu faktor yang sedikit merencatkan pencapaian keseluruhan pelajar di negara kita, sekali gus memberi kesan kepada pendidikan negara dalam kedudukan Program Penilaian Pelajar Antarabangsa di dunia.

“Namun, apa yang menjadi persoalan, apakah sekolah-sekolah yang sedia ada sekarang tidak mesra golongan miskin dan atas dasar apa untuk ditubuhkan sekolah khas untuk golongan itu?

“Dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu, seharusnya kita memikirkan untuk menaik taraf sekolah atas keperluan pendidikan yang lebih baik berbanding menubuhkan sekolah baru yang memerlukan kos lebih besar,” katanya.

Tambahnya, dia amat menyokong dasar kerajaan yang cakna kepada golongan miskin tegar bagi mendapatkan pendidikan terbaik, namun matlamat untuk menyediakan sekolah khas untuk golongan itu dilihat tidak wajar.

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) seharusnya memberi fokus kepada bagaimana untuk membantu pelajar miskin untuk tidak tercicir daripada arus perdana dan bukannya menubuhkan sekolah khas untuk golongan terbabit.

Polemik yang timbul adalah ‘pendidikan atau sekolah’ yang perlu diutamakan bagi membantu mereka.

Dr. Abd. Razak berkata, mekanisme apa yang menjadi hala tuju untuk membantu mereka jika matlamat yang dicanang le­bih kepada menggunakan sejumlah kos lebih besar untuk pembinaan sekolah khas tersebut.

“Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 jelas menunjukkan, aspirasi sistem pendidikan kepada akses pendidikan, kualiti standard antarabangsa yang tinggi, ekuiti untuk semua murid, memupuk perpaduan dalam kalangan murid dan pelaksanaan berkecekapan tinggi.

“Sekolah yang sedia ada sudah cukup untuk melahirkan generasi cemerlang dan ia perlu dinaik taraf bagi memenuhi aspirasi negara,” jelasnya.

Tambahnya, keperluan membina sekolah khas bukan matlamat yang perlu diutamakan, tetapi bagaimana sistem pendi­dikan dan sekolah sekarang dibaik pulih dan dinaik taraf menjadi lebih baik.

Pada masa sama, tumpuan diberikan bagi membantu golo­ngan miskin mendapat pendidikan dengan sistem sokongan yang padu daripada KPM.

Sementara itu, Abd. Razak menjelaskan, KPM harus mempunyai pendirian lebih berfokus dalam melaksanakan program untuk meningkatkan kualiti pendidikan, bukannya secara drastik memutuskan sesuatu yang tidak perlu, malah keperluan membina sekolah khas yang baharu bukanlah satu keputusan bernas.

Jika benar KPM ingin membantu golongan miskin untuk mendapatkan pendidikan yang lebih berkualiti, golongan ber­kenaan perlu disantuni dari akar umbi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN