LIPIS – Sungai Rengai di sini dikatakan mempunyai banyak artifak berharga seperti keris, lembing, barang kemas dan syiling lama yang bernilai tinggi.
Difahamkan, pelbagai barangan berharga termasuk loket emas dan syiling lama dijumpai orang ramai termasuk pemancing di sungai berkenaan.
Penduduk Kampung Kemahang, Jamihan Ramli, 62, berkata, dia pernah menemui syiling lama dan mata lembing di dalam sungai itu sebelum ini.
“Sewaktu mencari ikan, saya terpijak besi. Rupa-rupanya ia mata lembing dan tidak berkarat walaupun sudah lama terbenam dalam lumpur. Setakat ini saya masih simpan dan mungkin akan ‘melepaskannya’ (menjual) jika ada tawaran,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Kelmarin Kosmo! melaporkan Sungai Rengai menyimpan khazanah berharga ekoran penemuan barangan ketika zaman pemerintahan British era Ratu Victoria baru-baru ini.
Antara penemuan itu ialahsubang emas, gelang emas, sebentuk loket, empat gigi emas palsu dan syiling lama.

Bercerita lanjut, Jamihan memberitahu, syiling termasuk bernilai suku sen yang ditemui di sungai itu bagaimanapun sudah dijual kepada beberapa individu yang mengumpul duit lama.
Sementara itu, Tokoh Warisan Orang Hidup Kebangsaan, Profesor Datuk Dr. Aripin Said berkata, Sungai Rengai yang bermula dari Kampung Masjid Tanjung Besar ke Sungai Jelai dan bersambung dengan Sungai Lipis menjadi laluan perdagangan utama dalam abad ke-18.
Berdasarkan kajian, kawasan itu mempunyai banyak khazanah terutama emas dan dipercayai masih banyak artifak yang tersembunyi.
“Hasil temu bual dengan Mat Kilau pada 1968, beliau beritahu sungai itu jadi tempat pahlawan dan orang ramai membuang senjata seperti keris dan lembing bagi mengelak dijejaki askar British.
“Jadi tidak hairanlah ada penduduk terjumpa senjata lama di dalam sungai itu,” katanya.
Bagi Ketua Kampung Rengai, Kamaruzaman Mohamad Din, sebelum ini Sungai Rengai adalah luas dan berdasarkan cerita ia menjadi laluan penduduk pada zaman penjajah. Sekarang sungai itu sudah menjadi kecil dan terdapat kawasan yang tidak boleh lagi dilalui bot.














