fbpx
Ishak Bersama salah seorang mangsa ketukan di Kampung Relong di Lipis semalam.

Penduduk makin resah kes ketuk pintu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

LIPIS – Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Relong bercadang untuk memanggil pengamal perubatan Islam sebagai ikhtiar membantu kesan punca kejadian ketukan misteri yang menimbulkan ketakutan dalam kalangan penduduk di beberapa buah kampung di daerah ini.

Pengerusinya, Ishak Mohamed, 66, berkata, cadangan itu dibuat selepas perbincangan bersama ketua kampung lain yang terlibat bagi mencari jalan penyelesaian terhadap gangguan berkenaan.

“Langkah tersebut diambil sebagai usaha menenangkan penduduk selain tindakan keselamatan yang telah dilaksanakan sejak awal kejadian dilaporkan.

“Walaupun kebelakangan ini tiada aduan baharu diterima, kami ambil pendekatan berjaga-jaga termasuk mendapatkan pandangan perawat Islam sebagai ikhtiar,” katanya di sini, semalam.

Dalam pada itu, beliau berkata, masjid dan surau di beberapa kampung terlibat termasuk Kampung Relong, Kampung Ulu Teris, Kampung Bapong dan Kampung Berchang turut mengadakan solat hajat bagi memohon perlin­dungan dan keselamatan.

“Rondaan keselamatan di sekitar kampung masih dite­ruskan bagi memastikan tahap keselamatan penduduk berada pada tahap terbaik.

“Selain JPKK, rondaan itu turut disertai anggota polis, Kawasan Rukun Tetangga (KRT) serta golongan belia kampung sebagai langkah memperkukuh kerjasama antara komuniti dan pihak berkuasa,” tambahnya.

Terdahulu, penduduk di beberapa buah kampung sekitar Lipis dilaporkan resah susulan kejadian ketukan di pintu rumah yang berlaku pada waktu lewat malam dan awal pagi sejak 5 Januari lalu.

Ketukan tersebut dilaporkan berlaku di beberapa buah rumah tanpa kelibat individu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN