Perancangan kerajaan untuk menubuhkan projek rintis sekolah khas pelajar bagi keluarga paling miskin di negara ini memberi satu persoalan kepada penulis adakah golongan tersebut bakal menerima bentuk pendidikan yang berbeza.
Langkah itu juga dilihat tidak praktikal meskipun usaha yang dibawa kerajaan dan Kementerian Pendidikan (KPM) adalah baik kerana mahu menyediakan akses pendidikan kepada golongan tidak berkemampuan.
Namun, penulis berpandangan kewujudan sekolah ini akan meletakkan jurang antara golongan miskin dan kaya, seolah-olah mereka ini tidak layak untuk duduk di bawah satu bumbung.
Selain itu, langkah mewujudkan sekolah ini sudap pasti berkait rapat dengan kewangan negara yang sebelum ini di katakan agak terhad kerana perlu menyelesaikan hutang yang sudah mencecah RM1.5 trilion.
Melihat kepada situasi ini, adakah kerajaan sememangnya mampu menubuhkan sekolah khas tersebut memandangkan lebih ratusan ribu murid dan pelajar daripada golongan miskin yang ada di Malaysia.
Terdahulu, Ketua Perangkawan, Datuk Seri Mohd. Uzir Mahidin berkata, insiden kemiskinan mutlak pada 2022 membabitkan anggaran 487,576 isi rumah.
“Insiden kemiskinan di bandar meningkat daripada 3.9 peratus pada 2019 kepada 4.5 peratus pada 2022, manakala bagi kawasan di luar bandar pula mencatatkan penurunan daripada 12.4 peratus kepada 12.0 peratus pada tempoh yang sama.
“Nilai Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) Malaysia meningkat kepada RM2,589 berbanding RM2,208 yang dicatatkan pada 2019,” katanya ketika mengumumkan laporan Survei Pendapatan dan Perbelanjaan Isi Rumah 2022, 28 Julai lalu.
Hal ini jelas memperlihatkan bahawa cadangan penubuhan sekolah berkeperluan khas itu perlu kajian dan semakan lebih mendalam, selain penulis merasakan ada perkara penting lain harus diutamakan kerajaan.
Pertamanya, sistem persekolahan sedia ada telah ada mekanisme dalam memastikan semua murid pelbagai latar belakang tidak tercicir daripada pendidikan.
Bahkan untuk murid dan pelajar daripada golongan miskin, sudah ada rekod mereka dalam simpanan sekolah yang membolehkan pelbagai bantuan disalurkan daripada pelbagai sudut.
Sepatutnya kerajaan menambah baik bantuan kepada pelajar dan sekolah bagi mengelakkan keciciran murid atau pelajar berbanding mewujudkan sekolah khas yang akan menelan kos lebih tinggi serta mewujudkan dasar kasta yang merugikan mereka.
Sementara itu, pakar pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Anuar Ahmad berkata, dua aspek perlu diambil kira antaranya kemampuan kewangan kerajaan di samping tempoh diperlukan untuk membina sekolah khas berkenaan.
“Mampukah kerajaan menyediakan sekolah ini? Bila bercakap golongan miskin tegar, terdapat ratusan ribu murid daripada kumpulan ini?
“Sedangkan belanjawan baru-baru ini kerajaan boleh bina tujuh sekolah baharu.
“Mungkin diperlukan banyak sekolah untuk menampung murid miskin di samping mengambil masa panjang, sekali gus sukar dilaksanakan, bimbang jadi slogan sahaja seperti Sekolah Sejahtera, akhirnya tidak berfungsi,” katanya.
Sebelum ini, media melaporkan, kerajaan sedang merintis sekolah khas untuk golongan paling miskin, berkonsepkan sekolah menengah sains dan sekolah menengah berasrama penuh.














