fbpx
PELAKON Diana Daniella kekal menjaga hubungan dengan suami Farid Kamil walaupun bercerai nanti demi masa depan anak-anak.

[VIDEO] Hubungan dengan Farid kekal baik demi anak kalau cerai – Diana Danielle

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SHAH ALAM – “Saya akan lega jika semuanya betul-betul sudah berakhir.”

Demikian respons aktres Diana Danielle yang enggan meletakkan harapan terlalu tinggi berhubung kes perceraian dengan suaminya, Farid Kamil yang dijangka bakal berakhir pada Khamis ini.

Kata Diana atau nama penuhnya, Diana Danielle Danny Beeson, 32, dia bagaimanapun tetap berharap kemelut rumah tangga yang sudah berlarutan selama lima bulan sejak Mac lalu berakhir dengan baik tanpa sebarang persengketaan.

“Mestilah saya nak pengakhiran yang aman dan baik untuk kami kekalkan hubungan yang aman dan baik demi anak-anak termasuk silaturrahim kami.

“Saya doakan kami dapat mencapai pengakhiran yang baik. Itu sahaja yang boleh saya harapkan,” katanya kepada Kosmo! Online selepas prosiding sebutan tuntutan hadanah interim di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam di sini, hari ini.

Tambah bintang filem Magika itu, dia juga tidak mahu menarik nafas lega terlalu awal dan akan bersedia untuk sebarang kemungkinan yang berlaku.

“Saya perlu bersedia untuk setiap kemungkinan yang bakal berlaku (Khamis nanti).

“Sekarang ini, saya masih menanti keputusan dan insya-Allah, saya bersangka baik.

“Saya tidaklah berdebar, cuma sentimennya tinggi kerana perkara ini melibatkan keluarga, hati, perasaan, masa depan dan banyak perkara. Jadi kena pandang perkara ini secara serius,” tuturnya.

Dalam masa sama, dia juga memberitahu sesi lawatan antara dua anaknya iaitu Muhammad, 10, dan Nur Aurora, 8, berjalan dengan baik seperti yang ditetapkan oleh mahkamah sebelum ini.

“Proses perjumpaan Farid dengan anak-anak berjalan dengan baik dan tiada masalah, saya tak mahu merumitkan lagi keadaan.

“Saya juga tak mahu bercakap banyak sebab Farid juga tidak hadir hari ini untuk pertahankan diri atau berkata lebih bagi pihaknya,” jelasnya.

Hari ini, peguam mewakili Diana, Datuk Akberdin Abdul Kader memaklumkan anak guamnya dan pihak defendan iaitu Faid sudah mempunyai draf terma-terma persetujuan bersama termasuk berkaitan kes cerai, hadanah dan tuntutan nusyuz.

Keputusan penuh berhubung tuntutan hadanah bagaimanapun masih ditangguh susulan mahu menyelesaikan semua kes-kes berkaitan perceraian secara menyeluruh.

Farid, 42, selaku plaintif bagaimanapun tidak hadir ke mahkamah hari ini kerana masalah kesihatan.

Terdahulu, pergolakan rumah tangga pasangan terbabit mula tercetus selepas Diana memfailkan cerai pada 10 Mac di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari.

Dalam pemohonan cerai itu, Diana sebelum ini, mendakwa tiada persefahaman, berlaku shiqaq (perbalahan yang berpanjangan) selain tidak lagi dapat hidup bersama sebagai suami isteri antara alasannya untuk bercerai pelakon Diana dalam suaminya.

Rentetan daripada itu, pada 24 Mac lalu, Diana telah memperoleh hadanah interim dua anaknya.

Farid dan Diana mendirikan rumah tangga pada 3 November 2012. Pasangan itu dikurniakan dua cahaya mata iaitu Muhammad, 10, dan Nur Aurora kini berusia lapan tahun. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN