SELEPAS menghabiskan sebiji mangga yang dimakannya, seorang pengguna TikTok di China yang hanya dikenali sebagai Brianna kemudian dilihat membasuh biji mangga tersebut sehingga bersih.
Kemudian, dia menghidupkan pengering rambut dan mula mengeringkan biji mangga tersebut sehingga ia benar-benar kering.
Bulu-bulu yang ada pada biji mangga yang sudah kering itu kemudiannya digunting pendek lalu dikemaskan sebelum mula dihias menyerupai seekor haiwan peliharaan.
Brianna meletakkan mata pada biji mangga tersebut dan mula bermain dengannya.
Siapa sangka, trend tersebut menjadi kegilaan peminat haiwan di China yang menjadikan biji buah mangga seperti haiwan peliharaan.
Trend itu yang digelar fashion pets telah menjadi tajuk-tajuk utama media di China. Ia turut dilaporkan media lain seperti South China Morning Post.
Bagi seorang pelajar universiti berusia 19 tahun dari Tianjin, China yang hanya memperkenalkan dirinya sebagai Liu, dia sudah pun membela dua ‘haiwan peliharaan biji mangga’ sejak Mei lalu.
Malah, dia turut memuat naik diari kehidupan biji mangganya itu menerusi platform media sosial Xiaohongshu yang merupakan laman sosial bergambar di China yang menyerupai Instagram.

Menerusi diari tersebut, Liu akan memuat naik catatan berkenaan perkembangan dan juga tumbesaran biji mangga peliharaannya.
Sehingga kini, Liu sudah pun memuat naik 11 catatan diari berkenaan dua ‘haiwan’ peliharaannya itu yang dinamakan sebagai Er Mao dan Da Mao yang kedua-duanya berjantina perempuan.
“Perubahan daripada bulu-bulu tajam yang kemudiannya bertukar menjadi lembut menjadikan biji mangga ini amat selesa untuk diusap,” tulis Liu pada salah satu catatan diarinya.
Liu juga menyifatkan kedua-dua biji mangganya itu sebagai ‘anak perempuannya’ yang cukup mudah dijaga dan pengganti yang jauh lebih murah berbanding membela haiwan hamster.
Malah, Da Mao dan Er Mao turut mempunyai peminat di media sosial yang menawarkan diri untuk menjadi ‘ibu saudara’ kepada kedua-dua haiwan peliharaan Liu tersebut.
Malah, ada antara pengikutnya yang turut meninggalkan komen tentang karakter yang dimiliki haiwan buatan tersebut.
“Saya berpendapat bahawa Da Mao mempunyai karakter pendiam, manakala Er Mao pula nampak lebih bersemangat dan ceria,” komen seorang pengguna media sosial tentang biji mangga milik Liu.
Seorang lagi individu yang juga membela biji mangga sebagai haiwan peliharaan, Xiaomeng pula berkata bahawa pemilihan jenis mangga yang betul adalah amat penting.
“Membela biji mangga sebagai haiwan peliharaan sebenarnya memerlukan kesungguhan yang tinggi memandangkan biji tersebut bukan sahaja perlu dibasuh dengan bersih, tetapi juga perlu diberus dan dikeringkan untuk satu jangka masa panjang di bawah cahaya matahari bagi mengelakkan ia daripada menjadi berkulat,” ujarnya.

Tambah Xiaomeng, dia menggunakan pengering rambut sambil memberus bulu-bulu pada biji mangganya bagi memastikan ia kekal lembut dan gebu.
Biji mangga yang dipilih perlu dibasuh dengan bersih bagi membuang isi-isinya.
Selepas dikeringkan pula, ia perlu diberus menggunakan berus gigi atau apa-apa jenis berus yang sesuai bagi membuang warna kuning yang masih melekat pada helaian serat bulu pada biji mangga.
Selepas dikeringkan, biji mangga tersebut akan kelihatan seperti seekor hamster dan sedia untuk dihias mengikut kreativiti.
Biarpun ramai yang menganggap kegilaan tersebut sebagai sesuatu yang pelik, namun bagi mereka yang menjadikan biji mangga tersebut sebagai haiwan peliharaan, tindakan mengusap biji mangga itu umpama satu terapi.
Begitupun, beberapa pihak mula menyuarakan kekhuatiran terhadap kesihatan mental golongan belia di China yang dianggap membimbangkan.
Jun lalu, kadar pengangguran di China meningkat kepada 21.3 peratus, sekali gus mencetuskan seruan supaya kerajaan menyokong dasar yang lebih besar untuk graduan baharu yang sedang bergelut untuk mencari pekerjaan.
Ia juga bukanlah satu-satunya trend pelik dalam kalangan belia di China.
Trend membela biji mangga itu mengingatkan orang ramai terhadap satu lagi kegilaan pelajar universiti di China yang membela kadbod yang dibentuk menyerupai anjing dan kucing yang popular tahun lalu.
Ia dianggap sebagai satu bentuk terapi dalam kalangan golongan belia ketika dunia sedang berdepan perintah kawalan pergerakan akibat Covid-19.
Malah, salah seorang pelajar menyifatkan bahawa haiwan kadbod itu tidak akan menjadi tua atau jatuh sakit, selain akan sentiasa menunggu tuannya di pintu rumah.
Biarpun mendapat kritikan pengguna media sosial yang menyifatkan generasi muda di negara itu ‘membuang masa’ dengan mengikuti dan terpengaruh trend-trend aneh yang tidak bermanfaat, namun beberapa pengguna media sosial Weibo beranggapan selain unik, trend menjadikan biji mangga sebagai haiwan peliharaan itu adalah sesuatu yang tidak memudaratkan.
“Trend ini adalah lebih baik berbanding sekiranya golongan muda membela haiwan sebenar, namun mengabaikannya,” komen seorang pengguna Weibo.
“Ini merupakan sesuatu yang comel dan nampak menyeronokkan. Mengapa anda tidak membiarkan sahaja orang melakukan apa sahaja yang menggembirakan mereka?” komen seorang lagi pengguna.
Kewujudan trend-trend pelik yang menjadi ikutan anak muda di China itu disambut baik dan dianggap sebagai terapi yang membantu mereka untuk menghilangkan tekanan.














