fbpx
MOHAMAD SYAFIQ sebagai pemandu pelancong menunjukkan salah satu bunga rafflesia.

Menjejak rafflesia Ulu Cheka

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KENDERAAN pacuan empat roda (4×4) yang membawa kumpulan pelancong itu berhenti di tengah jalan setelah setengah jam bertolak dari titik pusat (centre point) Persatuan Pemandu Pelancong Mukim Ulu Cheka (PAMUC) di Jerantut, Pahang.

Dari situ, ekspedisi ke Rafflesia Trail perlu diteruskan dengan berjalan kaki menelusuri jalan berbatu yang semakin mengecil sebelum masuk ke dalam hutan.

Semakin dalam Hutan Simpan Lembah Benum dijelajahi, semakin mencabar laluan perlu ditempuhi para pelancong demi melihat rafflesia dengan mata mereka sendiri.

Setelah lebih kurang 15 minit perjalanan, kumpulan pelancong itu perlu menuruni bukit untuk melintasi sungai.

Kemudian, kumpulan pelancong tersebut perlu kembali mendaki bukit seterusnya dan menempuhi jalan berliku selama 15 minit.

Segala kepayahan meredah hutan belantara itu akhirnya mendatangkan hasil apabila pelancong tiba di checkpoint pertama bunga rafflesia.

Pengembaraan menjejak rafflesia itu merupakan salah satu produk pelancongan yang dikendalikan oleh PAMUC. Kawasan itu diperkenalkan Tourism Malaysia Wilayah Timur sebagai salah satu produk pelancongan di mukim tersebut.

Menurut Pengerusi PAMUC, Shaiful Alias, 39, terdapat lapan checkpoint untuk melihat bunga rafflesia atau dikenali sebagai pakma oleh penduduk setempat.

“Setiap checkpoint ada bunga rafflesia. Cuma, tahap tumbesaran bunga itu bergantung pada proses kitaran semula jadinya.

“Sekiranya di checkpoint pertama sudah jumpa bunga rafflesia yang matang dan kembang, pengembaraan akan berhenti di situ.

“Sekiranya tidak, perjalanan akan diteruskan pada checkpoint seterusnya sehingga jumpa bunga rafflesia berkembang mekar,” katanya.

Tambahnya, jarak antara checkpoint memakan masa sebanyak 10 hingga 30 minit setiap satu.

Bagi memastikan tiada pelancong yang datang sia-sia, pihak PAMUC sering melakukan tinjauan terhadap tahap kematangan bunga rafflesia di setiap checkpoint.

Teknik memukul akar banir digunakan sebagai komunikasi sekiranya ada ahli kumpulan yang tersesat.

Setiap bunga atau kuntum yang dijumpai akan direkod masa kuntuman itu dijumpai, saiz dan keadaan bunga tersebut. Cara ini dilakukan supaya jangka masa sesuai dapat ditentukan sebelum pelancong dibawa masuk ke dalam hutan.

Tambah Shaiful, membawa pelancong ke dalam hutan tebal dengan pelbagai spesies flora dan fauna itu memiliki cabaran tersendiri.

Pelancong yang berjalan terlalu cepat atau terlalu lambat berbanding kumpulannya berkemungkinan boleh sesat.

Namun, pelancong yang sesat tidak digalakkan menjerit dan memanggil nama, sebaliknya mereka boleh menggunakan teknik memukul akar banir pokok.

“Ambil sebatang kayu berdekatan dan pukul bahagian akar banir pokok seberapa banyak kali sehingga lokasi anda ditemui.

“Pukulan pada akar kayu banir boleh menghasilkan bunyi yang kuat dan bergema di dalam hutan bergantung kepada keadaan bentuk muka bumi pokok tersebut.

“Semakin tinggi kawasan pokok, semakin kuat dan jauh bunyi itu boleh sampai,” jelasnya.

Untuk pengetahuan, spesies Rafflesia cantleyi merupakan spesies yang terdapat di Hutan Simpan Lembah Benum.

Spesies tersebut mengambil masa selama sembilan bulan untuk mekar, tetapi tempoh mekar sekejap sahaja, iaitu selama dua hingga lima hari. Setelah itu, bunga tersebut akan mereput dan mati.

Mengikut kepercayaan Orang Asli sekitar kawasan itu, kuntum rafflesia adalah simbolik bagi dewi kehidupan dan semangat alam yang akan lahir di belantara.

Roh nenek moyang mereka yang sudah meninggal dunia akan lahir semula sebagai semangat alam ketika kuntum rafflesia mula berkembang.

Oleh itu, mereka tidak akan memburu haiwan kecil seperti tikus, tupai atau landak di sekitar kawasan kuntum rafflesia yang dalam proses berkembang.

Bagaimanapun, setelah berkembang, bunga tersebut tetap dituai dan diekstrak untuk rawatan ibu berpantang, mencantikkan bentuk perut, awet muda dan mudahkan kelahiran.

Bagi menangani masalah itu, usaha pembangunan aktiviti pelancongan berasaskan konservasi hidupan liar dan tumbuh-tumbuhan dilakukan di kawasan tersebut.

Usaha konservasi itu dilakukan PAMUC dengan kerjasama Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), Rizab Hidupan Liar Tengku Hassanal, Jabatan Perhutanan Daerah Jerantut, Somset Wildlife dan masyarakat tempatan sendiri.

Hasilnya, masyarakat setempat secara umumnya tidak lagi mengambil hasil hutan di kawasan itu termasuk bunga rafflesia.

Menurut pemandu pelancong PAMUC, Mohamad Syafiq Sharipudin, 26, usaha itu memberikan impak yang cukup besar buat hutan tersebut.

“Dengan menganjurkan aktiviti ekopelancongan di sini, orang ramai mula melihat hasil hutan sebagai khazanah alam yang bernilai dan satu produk ekopelancongan.

“Kami juga berjaya menghalang percubaan pihak luar untuk membuka kawasan balak dan lombong bijih besi di sini,” jelasnya.

Mengulas lanjut, Mohamad Syafiq berkata, pelancong juga perlu peka bahawa mereka juga memiliki peranan penting dalam memastikan kelestarian rafflesia.

Mereka sama sekali tidak boleh menyentuh kuntum rafflesia dan pokok perumah iaitu tumbuhan jenis Tetrastigma ( sejenis tumbuhan menjalar di hutan). Ini kerana rafflesia merupakan tumbuhan parasit yang menyerap nutrisi daripada pokok perumahnya itu.

Kongsi Syafiq, tumbuhan Tetrastigma mempunyai akar rerambut yang kecil dan halus sekali gus menjadikannya sangat rapuh.

“Sekiranya pokok perumah rosak, ini akan menjejaskan jangka hayat rafflesia. Begitu juga dengan kuntum rafflesia itu sendiri.

“Untuk mengelak kerosakan, adalah lebih baik untuk tidak memegangnya. Lagipun, baunya juga tidak menyenangkan,” katan

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN