fbpx
GAMBAR HIASAN

Muak dengan politik jangan sampai malas keluar mengundi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Ketika ini seramai 570 calon sedang sibuk berkempen bagi meraih sokongan 9.7 juta rakyat di Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Terengganu sempena Pilihan Raya Negeri (PRN).

Setiap satu undi rakyat amat bermakna kerana ia akan menjadi penentu pembentukan kerajaan negeri.

Bagaimanapun, perkara yang dibimbangi apabila peratusan keluar mengundi rendah seperti berlaku dalam tiga PRN sebelum ini.

Di PRN Melaka pada 20 November 2021, peratusan keluar mengundi hanya 65.8 peratus, Johor pada 12 Mac 2022 (54.92 peratus) dan Sarawak pada 18 Disember 2021 (60.67 peratus).

Antara punca masalah itu berlaku ketika ini ialah krisis politik, trend lompat parti dan ancaman kesihatan akibat Covid-19.

Penurunan minat rakyat untuk mengundi pada PRN kali ini juga tidak mustahil boleh berlaku ekoran landskap politik yang berubah-ubah terutama melibatkan kerjasama antara parti-parti politik.

Ada rakyat yang sudah tidak mahu lagi ambil tahu mengenai politik negara kerana pemimpin dikatakan tidak lagi boleh dipercayai, tidak menghormati mandat rakyat, memungkiri janji dan semuanya nak kuasa.

Selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) pada 9 Mei 2018, pentadbiran negara melalui perubahan besar apabila Barisan Nasional (BN) tumbang buat pertama kali setelah memerintah Malaysia selama 61 tahun.

Pakatan Harapan (PH) berjaya membentuk kerajaan Pusat hasil kerjasama PKR, DAP, Bersatu dan Amanah dengan Tun Dr. Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri (PM) buat kali kedua.

Tidak sampai dua tahun, Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan parti itu keluar PH dan Dr. Mahathir pula meletakkan jawatan sebagai PM susulan ‘Langkah Sheraton’.

Muhyiddin mengangkat sumpah sebagai PM kelapan pada 1 Mac 2020 dan membentuk kerajaan Perikatan Nasional (PN). Kemelut politik terus berlaku.

Muhyiddin melepaskan jawatan sebelum Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengangkat sumpah sebagai PM kesembilan pada 21 Ogos 2021. Tiga kali pertukaran PM dalam tempoh satu penggal, cipta sejarah tanah air.

Dalam PRU15 pula, PH berjaya membentuk Kerajaan Perpaduan hasil gabungan bersama seteru politik, BN.

Senario politik sejak PRU14 membuatkan ada pengundi hilang keyakinan kepada parti-parti politik. Ada juga pengundi pening kepala untuk memilih calon sesuai kerana bagi mereka, semua orang politik sama.

Bagaimanapun, tidak semua pemimpin sebegitu. Sebahagian mereka memang benar-benar mahu memperjuangkan serta membela nasib rakyat.

Jika kedua-dua calon atau parti yang diwakili mereka dirasakan kurang sempurna, carilah yang mana lebih baik sedikit antara kedua-dua itu. Jangan sampai ada pihak lain mengambil kesempatan di sebalik ‘kemalasan’ rakyat keluar mengundi.

Calon-calon PRN dan pemimpin parti perlu segera memperbetulkan naratif rakyat yang sudah muak dengan politik agar peratusan keluar mengundi kali ini adalah tinggi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN