KOTA BHARU – Gabungan Bas Malaysia Kelantan (GBMK) mendesak kerajaan agar campur tangan dalam masalah yang dihadapi oleh pengusaha bas di seluruh negara.
Pengusaha bas meminta kerajaan meneruskan moratorium sehingga Jun 2021 berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) telah berkuatkuasa di seluruh negeri kecuali Kelantan, Perlis dan Terenganu.
Wakil GBMK, Izani Zakaria berkata, kebanyakan pengusaha tidak berpuas hati dengan Belanjawan 2021 yang dibentangkan Jumaat lalu apabila langsung tidak menyentuh langsung kebajikan pengusaha bas di seluruh negara.
Katanya, semua pengusaha amat terkesan berikutan pandemik Covid-19 kerana tidak boleh meneruskan perjalanan dan pendapatan mereka cukup terjejas.
“Kami tidak sumber kewangan untuk membayar ansuran bas yang dibeli secara kredit sekiranya lama tidak beroperasi.
“Ada setengah pengusaha terpaksa menjual bas kerana tidak mampu membayar ansuran bulanan kepada pihak bank,” katanya ketika ditemui pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu di sini hari ini.
Dalam perjumpaan itu, seramai 20 orang individu yang terdiri daripada pengusaha bas sekolah, bas persiaran dan bas ekspress merayu kepada kerajaan agar campur tangan dan membantu melanjutkan moratorium sehingga tahun depan.
Mengulas lanjut, Izani berkata, pihaknya terpaksa membayar ansuran sebanyak RM5,000 hingga 18,000 sebulan.
Menurutnya, hampir 50 peratus pemandu bas terpaksa diberhentikan selepas syarikat tidak dalat membayar gaji mereka berikutan tiada perjalanan bas keluar negeri.
“Baru-baru ini, kami terpaksa membayar wang faedah pinjaman sebanyak RM1,800 hingga RM5,000 setiap bulan. Mana kita nak cari duit, kalau bas tidak boleh beroperasi.
“Jadi, kita mengharapkan kerajaan supaya campur tangan dalam hal agar syarikat kredit melanjutkan moratorium hingga Jun 2021,” katanya.
Tambahnya, susulan daripada masalah kewangan yang dihadapi syarikat, pemandu bas yang diberhentikan terpaksa mencari pekerjaan lain untuk menyara keluarga mereka. – K! ONLINE














