fbpx

Jenazah Awang Askandar tiba di KLIA

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pegawai APM memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham Awang Askandar sejurus tiba di KLIA pagi tadi.

SEPANG – Jenazah pendaki Malaysia Everest 2023 (ME2023), Allahyarham Awang Askandar Ampuan Yaacub selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kira-kira pukul 7.30 pagi tadi.

Jenazah Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) Kedah itu berlepas dari Kathmandu, Nepal dengan menaiki pesawat Malaysia Airlines, MH115 pukul 11.30 malam (waktu Nepal).

Sejurus tiba, jenazah di bawa ke Sektor I – Secure, Kompleks Kargo KLIA sebelum diberi penghormatan terakhir oleh Angkatan Pertahanan Awam (APM).

Turut berlangsung majlis bacaan yasin, solat jenazah dan tahlil yang disertai kira-kira 30 anggota dan pegawai APM.

Hadir sama, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pengurusan) APM, Datuk Ismail Zawawi, Pengarah Bahagian Pengurusan APM, Ghazali Abd Rahman, Pengarah Bahagian Dasar dan Penyelarasan APM, Mohd Yusoff Samad, Pengarah Pertahanan Awam Negeri Selangor, Mulliadi Al-Hamdi Ladin dan Ketua Kelab Eksplorasi Altitud, Tan Sri Dr. Salleh Mohd Noor.

Mengikut jadual, jenazah Awang Askandar kemudian akan diterbangkan ke Kota Kinabalu, Sabah bagi majlis penghormatan terakhir sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Benon, Papar pada sebelah petang.

Allahyarham yang juga Pengarah APM Negeri Kedah disahkan maut 19 Mei lalu selepas berdepan masalah kesihatan ketika mahu menakluk puncak Everest.

Difahamkan, arwah ketika itu berada pada paras ketinggian 8,000 meter dan memerlukan sekitar 20 minit lagi untuk menawan puncak tertinggi dunia itu. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI