fbpx
Keadaan rumah didiami Anisah sekeluarga musnah dalam kebakaran di Kampung Baroh, Bachang, di sini, pagi tadi.

Terlupa ayam goreng di atas dapur, rumah hangus

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MELAKA – Gara-gara terlupa ayam yang sedang goreng di atas dapur, rumah didiami lima sekeluarga musnah dalam kebakaran di Kampung Baroh, Bachang di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 11.10 pagi itu, kesemua mangsa iaitu seorang ibu tunggal bersama-sama tiga anaknya masing-masing berusia 16, 12 dan 11 tahun serta ibunya 75 tahun bagaimanapun berjaya menyelamatkan diri.

Menurut mangsa, Anisah Mamat, 41, kejadian berlaku selepas anak perempuannya berusia 12 tahun terlupa ayam yang sedang digoreng di atas dapur dan hanya menyedari kejadian apabila api telah marak.

“Saya sendiri tidak tahu bila anak saya goreng ayam kerana tiba-tiba sahaja dia menerpa ke arah saya memberitahu bahagian dapur telah terbakar.

“Anak sulung lelaki berusia 16 cuba memadamkan api dengan menjirus air, namun api marak dengan cepat kerana bahagian dapur rumah ini diperbuat dari kayu,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Katanya, dia kemudian terus membawa ibunya yang sakit tua dan ketiga-tiga anaknya keluar dari rumah tersebut sebelum menghubungi pihak bomba.

Tambahnya, rumah tersebut merupakan rumah pusaka berusia lebih 50 tahun milik ibunya dan menganggarkan nilai kerugian melebihi RM100, 000.

“Saya cuma sempat selamatkan dokumen penting, selebihnya kami terpaksa biarkan termasuk duit simpanan dan kemungkinan terdapat barang kemas emak yang disimpan di biliknya,” katanya.

Sementara itu, Komander Operasi Kanan dari Balai Bomba dan Penyelamat Melaka Tengah, Timbalan Penguasa Bomba II, Jum’at Tariman berkata, panggilan kecemasan diterima pada pukul 11.19 pagi dan sepasukan 12 anggota bersama-sama dua jentera dan sebuah Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dikejarkan ke lokasi.

“Pasukan tiba di lokasi pada pukul 11.25 pagi dan mendapati sebuah rumah dengan keluasan 50 x 60 kali telah terbakar sepenuhnya.

“Kebakaran berjaya dikawal pada pukul 11.37 pagi,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN