PETALING JAYA – Seorang gadis terpaksa menempuh episod menakutkan selama lebih dua tahun apabila dihendap, diugut dan diekori bekas teman lelakinya gara-gara cinta mereka terputus di tengah jalan.
Mangsa yang dikenali sebagai Farah, 28, berkata, sikap lelaki itu mula berubah selepas dia mahu memutuskan hubungan disebabkan bekas kekasihnya tidak mahu bekerja.
“Selepas kami putus, dia (bekas kekasih) bersumpah tidak akan membuatkan hidup saya tenteram. Pada awalnya, saya anggap itu cuma ugutan biasa sebab dia sedang kecewa.
“Namun, lama-kelamaan semakin menakutkan kerana dia mula mendapatkan maklumat saya daripada rakan-rakan dan keluarga. Dia mengikuti rakan-rakan di media sosial bagi mengetahui perkembangan terkini saya,” katanya.
Farah memberitahu, dia terpaksa meletakkan semua akaun media sosial dalam mod privasi kerana takut dihendap, malah dia diganggu jika menjalinkan hubungan dengan lelaki lain.
“Bekas teman lelaki pernah menghantar mesej kepada kekasih baharu untuk memburukkan saya termasuk digelar perempuan murahan, namun itu satu tohmahan,” ujarnya.
Tambahnya, bekas kekasihnya itu juga menghubungi keluarga dan mengugut akan menghantar gambar lucah jika tidak beritahu perkembangannya.
“Keadaan makin buruk apabila saya mahu bertunang dan dia bertindak seperti hilang akal dengan menghantar mesej merayu agar diberikan peluang kedua. Jika tidak, saya diugut akan disantau dan sebagainya.
“Dia pernah datang ke tempat kerja untuk bertemu dan ‘berbincang’ sehingga saya terpaksa menyembunyikan diri.
“Saya tanggung penderitaan ini untuk tempoh yang lama dan pernah suarakan hasrat kepada keluarga bahawa saya mahu ‘hilangkan diri’ kerana takut diekori dan diugut berkali-kali.
“Selepas dihubungi keluarga, dia sudah tidak mencari saya secara fizikal, tetapi mengganggu di media sosial hampir setiap hari. Sudah berbelas akaun media sosial dipercayai miliknya disekat.
“Disebabkan kasihan, saya tidak pernah melaporkan kejadian ini kepada polis,” katanya.
Sementara itu, seorang lagi mangsa yang juga jurugambar, Acacia Diana pula mendedahkan, dia tidak menyangka bermula dengan teguran di media sosial, dia kini berdepan detik menakutkan apabila dihendap lelaki fanatik sejak tahun 2017.
Tidak cukup ‘mengganggu’ di alam maya, lelaki itu sanggup terbang ke luar negara untuk mengekorinya. Lebih menggerunkan, lelaki itu membuka 36 akaun palsu semata-mata untuk menghantar gambar lucah dan mengekorinya.
“Lapan tahun dia ganggu saya di dua negara. Disebabkan terlalu lama tanggung, saya menularkan kejadian ini di media sosial atas faktor keselamatan diri,” katanya.
Acacia berkata, dia langsung tidak mengenali lelaki tersebut.
“Saya tidak tahu kenapa dia pilih untuk mengganggu saya. Selepas kejadian ini tular, dia masih mengganggu dan menghantar ayat-ayat cinta.
“Apa yang terjadi begitu mengganggu kesihatan mental dan emosi saya, rasa tidak selamat, sedih dan geram,” katanya.














