fbpx

Majlis Ekonomi Digital dan 4IR terajui usaha kekalkan kelestarian pembangunan negara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Muhyiddin

PUTRAJAYA – Majlis Ekonomi Digital dan Perindustrian Keempat (4IR) Negara akan menerajui usaha untuk mengekalkan kelestarian pembangunan negara dalam arus kemajuan global yang secara umumnya semakin menjurus kepada pendigitalan intensif merentasi segala aspek ekonomi dan kehidupan.

Pejabat Perdana Menteri (PMO) dalam satu kenyataan berkata, sebanyak enam kluster dikenal pasti sebagai komponen penggerak agenda ekonomi digital dan 4IR.

Kenyataan itu berkata, lima kluster akan dipengerusikan oleh menteri berkaitan iaitu Kluster Ekonomi dipengerusikan oleh Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan (Bakat Digital); Menteri Pembangunan, Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd. Harun (Masyarakat); Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah, (Infrastruktur Digital dan Data) dan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin Abu Bakar (Teknologi Baru Muncul).

Menurut kenyataan itu, Kluster Kerajaan di bawah Majlis Ekonomi Digital dan 4IR itu pula dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Zuki Ali selain turut dianggotai wakil sektor awam, sektor swasta, industri dan akademia.

“Sebuah Jawatankuasa Pemandu yang dipengerusikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed juga diwujudkan untuk memacu kolaborasi antara pelbagai kementerian dan agensi serta pihak swasta dalam merealisasikan agenda ekonomi digital dan 4IR yang berpandukan hala tuju pihak Majlis.

“Semua Ketua Setiausaha atau Ketua Pengarah yang terbabit dengan keenam-enam kluster dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa Pemandu mewakili Pengerusi Kluster masing-masing,” katanya di sini hari ini.

Terdahulu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mempengerusikan mesyuarat pertama Majlis Ekonomi Digital dan 4IR Negara menerusi sidang video.

Menerusi mesyuarat itu, beliau menekankan bahawa digitalisasi adalah satu budaya yang kini menjadi antara norma baharu yang perlu diarusperdanakan di semua peringkat termasuk dalam sektor kerajaan, swasta dan masyarakat.

Menurutnya, sehubungan itu, perancangan, penyelarasan dan pemantauan dasar di peringkat kebangsaan adalah amat penting serta perlu diberi perhatian.

“Pandemik Covid-19 menuntut kerajaan mempercepatkan pembangunan teknologi 4IR dan pelaksanaan ekonomi digital.

“Sehubungan itu, negara memerlukan suatu dasar yang jelas, usaha dan tindakan bersepadu serta kerjasama yang erat antara semua pihak atau whole-of-nation approach,” katanya.

Sementara itu, kenyataan PMO berkata, Majlis Ekonomi Digital dan 4IR Negara akan mengambil alih peranan hampir semua jawatankuasa berkaitan digital dan teknologi yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri sebelum ini.

Selain itu, katanya, semua majlis, jawatankuasa dan pasukan petugas digital dan teknologi yang dipengerusikan oleh menteri, pegawai kanan kementerian dan agensi akan diselaras atau digabungkan di bawah enam kluster baharu yang diwujudkan itu.

“Penubuhan Majlis ini dengan struktur tadbir urus yang bersepadu bakal meningkatkan keupayaan negara dalam mengoptimumkan perkembangan teknologi 4IR dan memastikan pertumbuhan ekonomi digital sejajar dengan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 dan Agenda Pembangunan Mampan 2030,” katanya.

Majlis Ekonomi Digital dan 4IR adalah tadbir urus tertinggi dalam menetapkan dasar, pelaksanaan serta pemantauan strategi dan inisiatif ekonomi digital dan 4IR di Malaysia.

Penubuhan Majlis itu sejajar dengan hasrat kerajaan untuk memastikan pembangunan ekonomi digital di negara ini adalah bersifat inklusif dengan memanfaatkan sepenuhnya potensi teknologi 4IR. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI