GEORGE TOWN – Pengeluaran buah durian Balik Pulau untuk musim kedua bermula hujung bulan ini dijangka meningkat sehingga 70 peratus, selain dikatakan berlaku lambakan raja buah itu pada minggu pertama Ogos depan.
Seorang pekebun durian yang mahu dikenali sebagai Tan, 36, berkata, dia menjangkakan berlaku pertambahan bilangan pengeluaran raja buah itu di kebunnya di Balik Pulau berikutan faktor cuaca, sumber air dan lokasi keberadaan pokok berbanding 60 peratus pada musim pertama Mei lalu.
Menurutnya, penghasilan buah kali ini lebih tertumpu kepada tanaman di bukit yang tinggi terutama durian jenis premium iaitu musang king dan duri hitam.
“Kami ketika ini hanya menunggu buah durian luruh dari pokok di kebun yang terletak di kawasan bukit yang tinggi. Musim pertama, kebanyakan buah luruh di tanaman yang terdapat aras bawah bukit.
“Kali ini buah dijangka menjadi lebih banyak. Mungkin akan berlaku lambakan durian pada minggu pertama Ogos depan dan kembali stabil pada September hingga Oktober,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.
Tan memberitahu, pelbagai varieti durian seperti musang king, duri hitam, udang merah, hor lor dan jenis kampung akan berada di pasaran sehingga penghujung musim Oktober depan.
“Penggemar tidak perlu bimbang kerana banyak varieti durian kegemaran dari dusun Balik Pulau akan kembali di pasaran.
“Saya beri jaminan yang harga buah di peringkat pekebun masih kekal sama. Kualiti buahnya juga adalah yang terbaik dan enak,” ujarnya.
Dalam pada itu, mengulas mengenai dakwaan kesukaran menikmati buah durian Balik Pulau di premis-premis di ibu kota, Kuala Lumpur, Tan berkata, kemungkinan raja buah itu dianggap sebagai eksklusif dan laris di pasaran negeri terbabit.
“Setiap hari, kira-kira empat buah lori akan membawa durian Balik Pulau ke Kuala Lumpur. Mana mungkin tidak ada atau tidak dijual di sana.
“Boleh jadi durian dari kebun Balik Pulau dikategorikan sebagai buah paling eksklusif atau produk edisi terhad sehingga jualan buah itu sukar ditemui di sana (Kuala Lumpur),” katanya.
Sementara itu, seorang lagi pemilik dusun, Kenny Soong Joon Sin, 48, pula memberitahu, musim durian pertama tahun ini berlaku lebih pantas, iaitu cuma dua bulan berbanding iaitu dua bulan setengah pada tahun lalu.
Katanya, buah durian di enam dusun milik seliaannya habis luruh seminggu sebelum berakhirnya bulan Jun lalu.
“Tahun ini durian luruh terlalu cepat, musim buah berlaku tidak panjang berbanding dua bulan setengah tahun lalu.
“Para peminat durian kena tunggu bulan April tahun depan pula untuk menikmati aneka durian premium dan kahwin seperti musang king, duri hitam, naga hijau, ang hae dan siaw hung,” katanya.














