SEBELUM ini, Muhammad Amir Arsad, 33, mempunyai kerjaya sebagai seorang peguam yang banyak menguruskan kes-kes berkaitan sivil.
Setelah lebih dua tahun bekerja, dia berhadapan dengan gejala ‘burnout’ di tempat kerja dan memerlukan cabaran baharu.
“Saya mengambil keputusan untuk berhenti kerja pada waktu itu dan memilih untuk mengembara buat seketika.
“Saya berbuat demikian kerana terinspirasi dengan ramai orang yang berhenti kerja dan keluar mengembara. Selepas pulang mereka menjadi orang berbeza,” katanya kepada K2.
Setelah nekad dengan keputusan itu, dia yang popular dengan panggilan Amir Arsad terus membeli tiket dan terbang ke London, Britain untuk memulakan pengembaraannya.
Berbekalkan simpanan hasil kerjaya sebagai peguam, dia berhasrat mengembara secara solo dari London pulang ke Malaysia dengan menggunakan jalan darat.
Ketika pengembaraannya itu, dia baru tahu bahawa ada dua pemuda lain sedang berbasikal dari London pulang ke Malaysia.
Amir Arsad menjelaskan, dia menghubungi mereka dan menyatakan hasrat untuk turut serta.
“Dengan bermodalkan €250 (RM1,200) saya membeli sebuah basikal di Jerman untuk bersama mereka pulang ke Malaysia.
“Saya memulakan perjalanan pulang ke Malaysia dengan berbasikal bersama mereka di Croatia,” jelasnya yang berasal dari Batu Pahat, Johor.

Tempoh yang diambil mereka untuk pulang ke Malaysia menggunakan jalan darat adalah selama 10 bulan.
Sejak itu, Amir Arsad mula jatuh cinta dengan pengembaraan menggunakan basikal.
Malah, sekitar Oktober 2019 iaitu sebelum pandemik Covid-19 melanda dunia, dia sempat mengembara secara solo dengan menggunakan basikal di Korea Selatan.
Dia mengelilingi Korea Selatan dengan basikal sejauh 1,100 kilometer (km) selama sebulan.
Baru-baru ini, Amir Arsad turut melakukan perkara sama dengan mengembara secara solo dengan basikal bermula di Istanbul, Turki hingga ke Sarajevo, Bosnia-Herzegovina selama enam bulan.
Kini, Amir Arsad masih meneruskan aktiviti pengembaraan berbasikal.
Pada masa sama, dia juga menjadi penyedia kandungan atau content creator untuk YouTube.
Dia kini memiliki lebih 160,000 pengikut di YouTube dengan jumlah tontonan kandungan melebihi 16 juta.
Amir Arsad menjelaskan, pada mulanya dia memuat naik video-video pengembaraan di YouTube sebagai kenangan peribadi dan bukannya untuk sesuatu yang serius.
“Saya simpan video-video ini di YouTube untuk kenangan serta tontonan keluarga dan kawan sahaja.
“Lama-kelamaan saya dapati orang ramai mula menonton video saya dan sambutan yang diterima amat baik,” ulasnya.
Tambahnya, hasil sambutan yang baik daripada penonton telah memberinya semangat untuk menghasilkan lebih banyak kandungan berkaitan pengembaraan menggunakan basikal.
Dalam pada itu, Amir Arsad menjelaskan, pada mulanya keluarga menentang keputusan untuk berhenti kerja sebagai peguam.
“Saya berasal dari kampung dan apabila memiliki kerjaya sebagai peguam ia merupakan satu kebanggaan buat ibu bapa saya.
“Apabila saya menyatakan hasrat untuk berhenti kerja dan mengembara buat seketika, keluarga menentang keputusan itu.
“Tetapi saya cuba yakinkan mereka,” jelasnya.

Kini, keluarga Amir Arsad sudah boleh menerima keputusannya untuk mengembara memandangkan dia mampu menjana pendapatan sebagai penyedia kandungan di YouTube.
Hasil pendapatan yang diterima oleh Amir Arsad membolehkannya terus mengembara dengan basikal dan menghasilkan lebih banyak kandungan.
Pada masa sama, dia memulakan perniagaan kafe secara kecil-kecilan.
Antara video yang dikongsi oleh Amir Arsad di YouTube adalah pengalaman mengembara menggunakan basikal di Uzbekistan, Kyrgyzstan, Kazakhstan dan Turkmenistan yang terletak di Asia Tengah.
Menurutnya, dia mengambil masa sekitar tiga bulan untuk menerokai negara-negara tersebut.
Terdapat banyak pengalaman menarik yang dilaluinya bersama dua lagi rakan sewaktu pengembaraan tersebut.
Salah satunya adalah merentasi Turkmenistan dalam tempoh lima hari.
“Turkmenistan merupakan sebuah negara yang tertutup dan kami hanya ada visa transit selama lima hari.
“Oleh itu, kami perlu mengayuh lebih 500 km dalam masa lima hari.
“Jadi, kami berkayuh dari awal pagi sehingga lewat tengah malam pada musim sejuk di kawasan yang 80 peratus adalah gurun,” terangnya.
Antara pengalaman menarik lain yang dilalui oleh Amir Arsad sepanjang pengembaraan tersebut adalah merasai daging dan susu kuda buat pertama kali di Kazakhstan.
Di negara tersebut, susu dan daging kuda amat popular dalam kalangan rakyat tempatan.
“Kazakhstan menjadi antara negara yang saya suka kerana rakyatnya sangat baik.
“Sepanjang berada di negara Asia Tengah itu, ramai rakyatnya yang memberi kami duit dan makanan.
“Saya boleh katakan mereka amat baik dengan golongan yang sedang bermusafir,” jelasnya.
Mengulas mengenai cabaran yang dilalui, Amir Arsad bersyukur sepanjang pengembaraan berbasikal dia tidak pernah berhadapan dengan pengalaman buruk.
“Mungkin salah satu pengalaman buruk yang saya lalui sepanjang pengembaraan ini adalah digigit anjing di Kazakhstan.
“Setelah digigit oleh anjing, saya perlu mengikuti prosedur tertentu termasuk mengambil ubat bagi mengelakkan daripada terkena jangkitan rabies,” jelasnya.
Sementara itu, Amir Arsad berkata, sebelum mengembara dengan basikal di negara orang, dia akan menilai terlebih dahulu sama ada laluan dilalui selamat atau tidak.
Ini penting bagi memastikan tiada perkara tidak diingini berlaku kepada dirinya.
Mengulas mengenai perancangan masa depan, Amir Arsad berhasrat untuk melakukan pengembaraan berbasikal di negara-negara lain pula.
“Ketika ini basikal saya masih berada di Bosnia-Herzegovina.
“Saya pulang ke Malaysia ini buat sementara waktu kerana di sana sedang musim sejuk.
“Saya tidak tahan berbasikal ketika musim sejuk.
“Selepas ini, saya akan kembali ke Bosnia-Herzegovina untuk meneruskan pengembaraan di sana sebelum ke negara-negara lain pula,” jelasnya.














