KUALA LUMPUR – KWC Fashion Wholesale (KWC) yang terkenal sebagai pusat sehenti fesyen yang dijual secara borong dan juga runcit pertama di Malaysia, kini turut popular sebagai pencari bakat baharu dalam bidang fesyen dan peragaan.
Ini dilihat daripada inisiatif KWC yang menjadi penganjur bagi program Pencarian KWC Model kali keempat dan telah melibatkan ratusan wanita menyertai pertandingan tersebut sejak tahun 2018.
Pengurus Pengiklanan dan Pemasaran Perbadanan Pengurusan Kompleks Kenanga Wholesale City, Wendy Lam berkata, program itu bertujuan memberi peluang kepada wanita muda menonjolkan bakat masing-masing dalam bidang tersebut, sekali gus membina keyakinan dan keperibadian diri masing-masing.
“Ia juga dilihat sebagai platform untuk memperkasakan wanita bukan sahaja mereka yang tidak mendapat pendidikan tinggi atau mereka berkerjaya dalam bidang fesyen, kecantikan dan hiburan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis penyampaian hadiah kepada pemenang Program Pencarian KWC Model, di sini baru-baru ini.
Lam menjelaskan, untuk program pencarian kali keempat ini, penyertaan mula dibuka pada November tahun lalu dan syarikat menerima lebih daripada 300 penyertaan.
Pelbagai aktiviti dilaksanakan bagi memilih kumpulan peserta akhir seterusnya memilih empat peserta sahaja untuk acara kemuncak program sebelum menobatkan mereka dengan hadiah yang dimenangi.
Pertandingan tersebut menawarkan hadiah kira-kira RM10,000 kepada para pemenang.
Tambah beliau, untuk menyertai pertandingan tersebut, syarat kelayakannya adalah sangat mudah kerana ia terbuka kepada semua rakyat Malaysia yang berusia 18 tahun ke atas.
Pihaknya tidak menjadikan syarat pendidikan atau paras rupa yang cantik semata-mata sebagai garis panduan utama untuk menyertai program itu. -KOSMO!ONLINE














