SERDANG – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan kerajaan bersetuju meluluskan peruntukan awal kira-kira RM1 bilion setahun bagi tempoh 10 tahun untuk Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda).
Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, peruntukan tersebut adalah bagi meneruskan pembayaran sukuk Felda yang tertangguh oleh kerajaan sebelum ini demi kelangsungan institusi itu.
“Saya dengan dokongan Timbalan Perdana Menteri dan Jemaah Menteri menyatakan di sini iaitu saya luluskan dana hampir RM1 bilion setiap tahun untuk tempoh 10 tahun pada Felda.
“(Ini bagi) jamin kelangsungan institusi gergasi (Felda) negara kita,”katanya pada Sambutan Hari Peneroka Felda 2023 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) hari ini.
Majlis tersebut turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Pengerusi Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda), Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek dan Ketua Peneroka Felda Kebangsaan, Sulong Jamil Mohamed Shariff.
Anwar berkata, selain peruntukan tersebut, kerajaan turut bersetuju untuk menanggung perbelanjaan kos operasi bagi 37,012 lampu jalan di rancangan Felda seluruh negara melibatkan implikasi kewangan sebanyak RM7.7 juta setahun.
Tambahnya, Kerajaan juga akan membina 12 buah Pusat Hemodialisis dengan peruntukan RM21 juta di kesemua wilayah Felda dan sebuah lagi di premis Yayasan Felda di Kelana Jaya.
“Pembinaan pusat dialisis ini dijangka dapat memberi manfaat dan meringankan beban hampir 2,000 pesakit di kawasan rancangan Felda yang selama ini terpaksa menempuh perjalanan sehingga dua jam bagi mendapatkan rawatan dialisis.
“Kerajaan turut memperkenalkan insentif khas Sumbangan Kesihatan Rahmah (SKR) sebanyak RM300 bagi warga peneroka berumur 65 tahun.
“Saya mengumumkan subsidi diesel berjumlah RM36 juta setahun ditampung oleh Kerajaan bagi operasi penjanaan tenaga dan rawatan air yang akan memberi manfaat kepada hampir 43,000 ribu penduduk di Kompleks Sahabat, Umas dan Kalabakan, “ujarnya. – KOSMO! ONLINE














