PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang di 10 buah negeri sehingga 5 petang ini.
MetMalaysia dalam kenyataan di Facebook berkata, ribut petir, hujan lebat dan angin kencang itu dijangka melibatkan Kedah, Pulau Pinang, Perak, Pahang, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Sarawak dan Sabah.
“Kedah di Kuala Muda, Kulim dan Bandar Baharu, Perak antaranya di Kerian, Larut dan Kinta, Pahang di Raub, Bentong, Temerloh dan Kuantan.
“Turut dijangka berlaku cuaca sama di negeri Selangor antaranya di Sabak Bernam, Gombak dan Sepang, Johor di Tangkak, Muar, Batu Pahat dan Kota Tinggi, Sarawak di Limbang manakala Sabah antaranya di Pedalaman, Tawau dan Sandakan.
MetMalaysia berkata, keseluruhan negeri Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Wilayah Persekutuan Putrajaya dan Wilayah Persekutuan Labuan dijangka turut mengalami cuaca buruk sama.
Menurut kenyataan tersebut, amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 milimeter per jam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.
“Amaran ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran,” katanya. – KOSMO! ONLINE














