DERETAN mi siput mentah yang telah dicetak dan dijemur disusun pada bahagian tengah rak besi setinggi 1.8 meter itu.
Api di keempat-empat dapur gas dinyalakan sebelum kipas dipasang bagi membolehkan bahang panas sampai pada mi siput tadi.
Setelah itu, pintu ketuhar tersebut ditutup dan mi siput dibiar selama dua jam sebelum dipantau tahap kekeringannya.
Menariknya, ketuhar sebesar bilik stor kecil itu direka sendiri pengusaha Mee Siput Kak Chik, Md. Shahir Meskon, 53, bagi meningkatkan lagi produktiviti produknya.
Proses yang dilakukan di dalam ketuhar itu merupakan rahsia kepada kerangupan tekstur serta pengekalan rasa lemak-lemak masin pada mi siputnya.
Sesuai dengan statusnya sebagai pesara Kor Jurutera Letrik dan Jentera Diraja (KJLJD), Md. Shahir menggunakan kemahirannya untuk berjaya dalam bidang yang baru disertainya pada 2012.
Untuk pengetahuan, KJLJD memberi khidmat bantuan menyenggara, membaiki dan membaik pulih kenderaan dan kelengkapan Tentera Darat Malaysia.
Menurut Md. Shahir, terdapat pelbagai proses ‘trial and error’ yang dilakukannya bagi memastikan mi siputnya memiliki kelainan berbanding produk serupa di pasaran.
“Waktu mula dahulu, saya melakukan proses pengeringan secara semula jadi iaitu menerusi cahaya matahari. Tapi, ia memakan masa lama.
“Kami juga pernah cuba menggunakan ‘oven’ kuih biasa.
“Tetapi tidak sesuai kerana air mi siput akan kering, sekali gus menjadikan mi ini tawar.
“Anak buah saya juga pernah menggunakan lampu elektrik dengan kuasa 100 watt, tetapi tetap tidak berjaya,” katanya yang turut melakukan proses penyelidikan dan pembangunan (R&D) pada resepi mi siput.
Terdahulu, Tourism Malaysia memperkenalkan Mee Siput Kak Chik sebagai salah satu produk industri kecil dan sederhana (IKS) di Kampung Sawah Ring, Gerisek, Johor.
Berasaskan adunan tepung gandum, tepung ubi, garam, air dan cecair sodium, Mee Siput Kak Chik bebas rasa tengik kapur yang sering dikaitkan dengan mi siput.

Adunan tersebut kemudian dipotong menjadi bentuk mi, sebelum direbus dan dicetak menjadi bentuk siput. Selepas itu, ia perlu dijemur di bawah sinaran matahari .
Deretan cetakan mi siput yang telah dijemur akan dimasukkan ke dalam ketuhar buatan sendiri itu bagi meneruskan proses pengeringan.
Tempoh pengeringan dalam ketuhar tidak menentu kerana bergantung pada cuaca.
Kebiasaannya, proses pengeringan di dalam ketuhar akan siap sekitar pukul 1 atau 2 pagi.
Keesokan harinya, produk itu sudah boleh dibungkus atau digoreng.
Kongsi Md. Shahir lagi, inovasi yang dilakukan menerusi rekaan ketuharnya itu berjaya meningkatkan lagi produktiviti produknya tanpa menjejaskan rasa mi.
“Sewaktu bergantung pada cahaya matahari sahaja, saya hanya mampu menghasilkan mi siput mengunakan sekitar 10 hingga 15 kilogram (kg) tepung gandum sehari.
“Selepas saya mula guna ‘oven’ sebesar almari dengan satu kipas dan dua dapur ini, hasil produktiviti bertambah kepada 30 kg tepung gandum sehari.
“Setelah dinaik taraf lagi seperti sekarang iaitu dengan dua kipas dan empat dapur, saya mampu menghasilkan mi siput menggunakan 50 kg tepung gandum sehari.
“Ia bersamaan dengan 1,500 keping mi siput sehari,” ujarnya yang turut dibantu oleh tiga orang pekerja.
Selain daripada ketuhar rekaan sendiri, bapa kepada empat cahaya mata itu turut mereka mesin pengisi sambal tumis yang dibuat daripada paip plastik (PVC).
Tali getah kanan dan kiri mesin tersebut ditarik bagi mewujudkan tekanan supaya sambal mudah turun, sekali gus mempercepatkan proses pembungkusan.

Tambah Md. Shahir, sambal tumis dengan rasa pedas-pedas manis itu merupakan resipi isterinya, Azizah Ahmad, 52, yang mesra dipanggil Kak Chik oleh orang kampung.
“Selepas sambal tumis dimasak selama lebih 12 jam dengan api kecil, kami akan masukkan ke dalam mesin ini bagi memudahkan proses pembungkusan.
“Sebelum ini, kami menggunakan botol. Sehari, kami hanya sempat isi 20 paket.
“Kini, kami mampu mengisi 250 paket sambal dalam masa sehari,” jelasnya.
Secara keseluruhan, Md. Shahir telah mengeluarkan modal sekitar RM5,000 bagi kedua-dua rekaannya itu.
Kedua-dua inovasi yang dilakukan oleh Md. Shahir itu pernah dipertandingkan oleh Pejabat Pertanian Daerah Tangkak dalam Pertandingan Inovasi IKS peringkat Johor pada tahun lalu.
Produk Mee Siput Kak Chik mendapat sambutan hangat daripada pelanggan termasuk yang berada di luar Johor seperti Kedah, Perlis serta Kuala Lumpur.
Selain itu, tempat membuat mi siput berkenaan turut menjadi lokasi persinggahan pelancong luar yang datang ke daerah tersebut.
Menurut Md. Shahir, mi siput mentah seberat 400 gram dijual pada harga RM6 sepeket, manakala bagi satu 1 kg pula berharga RM14 tanpa sambal.
Bagi sambal pula, harga untuk 1 kg adalah sekitar RM25.
Sementara itu, mi siput yang sudah siap digoreng akan dijual dengan harga RM1.50 sekeping bersama sambal dipek dalam bungkusan kecil.














