PETALING JAYA – Sime Darby Motors telah membuat perancangan teliti seiring dengan pengeluaran kenderaan elektrik (EV) inovatifnya iaitu BYD dan syarikat telah menaik taraf perkhidmatan selepas jualan dalam usaha untuk menambah baik pengalaman pelanggan.
Perkhidmatan selepas jualan serba lengkap yang menyeluruh itu termasuklah pusat servis terkini, perkhidmatan membaiki dan mengecat badan kenderaan dan pusat pengedaran alat ganti.
Pengarah Urusan Bahagian Peruncitan dan Pengedaran Sime Darby Motors Asia Tenggara, Hong Kong, dan Macau, Jeffrey Gan berkata, pihaknya sentiasa memastikan bahawa setiap aspek perkhidmatan selepas jualan memenuhi piawaian antarabangsa.
Menurut beliau, syarikat memiliki juruteknik yang terlatih dan mempunyai kemahiran khusus untuk menyediakan khidmat rundingan pakar dan penjagaan servis untuk memastikan para pemilik EV dapat menggunakan kenderaan mereka tanpa rasa bimbang.
“Dengan memanfaatkan sistem penjejakan digital, pusat pengedaran alat ganti ini memastikan ketersediaan bekalan stok dan penghantaran tepat pada masanya kepada lokasi BYD di seluruh negara, lantas mencerminkan komitmen BYD untuk menyediakan penyelesaian inovatif dan perkhidmatan pelanggan yang luar biasa,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini.

Buat masa ini, Sime Darby Motors mengendalikan tiga pusat membaiki dan mengecat badan Kenderaan berlesen yang terletak di Pulau Pinang, Bukit Jelutong, Selangor dan Johor Bahru.
Gan menjelaskan,syarikat kini melancarkan pakej servis baharu yang terdiri daripada Pakej Servis Standard dan Pakej Servis Tambahan.
Tambah beliau, Pakej Servis Standard disediakan untuk tempoh tiga, enam dan lapan tahun atau pada jarak 60,000 kilometer (KM), 120,000KM atau 160,000KM masing-masing, pada harga daripada RM1,688 hingga RM4,888.
Perkhidmatan yang disediakan termasuk servis minyak reducer, penggantian penapis penyaman udara, servis cecair brek, servis pendingin pemacu motor dan servis pendingin sistem penyaman udara.
Sementara itu, pakej servis tambahan disediakan pada tempoh enam tahun atau 120,00KM dan lapan tahun atau 160,000KM, pada harga daripada RM7,888 hingga RM12,888.
Perkhidmatan tambahan termasuk penggantian cecair pencuci cermin depan, penggantian bilah pengelap cermin (depan dan belakang), penggantian bateri alat kawalan jauh, penggantian bateri 12V, penggantian pad brek (depan dan belakang), penggantian cakera brek (depan dan belakang). -KOSMO!ONLINE














