fbpx
Tangkap layar kiriman WhatsApp daripada sindiket yang mendakwa anak mangsa diculik baru-baru ini.

‘Rafidah, anak kamu ada dengan aku’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Sindiket penipuan memainkan emosi ibu bapa sebagai ‘modal’ untuk menjerat mangsa kononnya anak mereka telah diculik dengan meminta sejumlah wang tebusan.

Mengikut modus operandi terbaharu itu, penjenayah menghubungi ibu bapa dengan memainkan audio budak menjerit dan dipukul bagi menggambarkan seolah-olah situasi penculikan itu benar-benar berlaku.

Menerusi panggilan itu, ibu bapa kemudian diminta supaya me­nyerahkan sejumlah wang jika mahu anak mereka selamat.

Selain panggilan telefon, ada waris yang menerima kiriman WhatsApp daripada scammer yang menghantar gambar keja­dian culik, namun muka mangsa tidak didedahkan bagi mengugut untuk mendapatkan wang.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, sindiket penipuan sentiasa mencari helah untuk memperdaya mangsa termasuk menggunakan drama penculikan.

Baru-baru ini, polis mene­rima empat laporan daripada waris yang mendakwa menerima panggilan memaklumkan anak mereka diculik selepas pergi ke sekolah di ibu negara.

“Scammer ini memang licik, mereka akan akan mewujudkan suasana seolah-olah kejadian culik itu betul-betul berlaku.

“Sebelum ini, ada scammer yang menggunakan efek bunyi seperti berada dalam balai polis seperti panggilan sarjan, over dan pelbagai lagi bagi meyakinkan mangsa-mangsa mereka.

“Mereka yang mempercayai drama tebusan itu akan ketakutan dan seterusnya mengikut segala arahan yang diberikan suspek,” katanya kepada Kos­mo! di sini baru-baru ini.

Sehubungan itu, Ramli menasihatkan ibu bapa supaya sentiasa mengambil tahu perge­rakan dengan memastikan anak-anak berada dalam pengawasan baik, sama ada sebelum, sewaktu dan selepas sesi persekolahan.

“Pengawasan ini bererti mereka tahu keberadaan anak. Sewaktu di sekolah tentulah pihak sekolah seperti guru, penga­was dan rakan mengetahui keberadaan murid itu, begitu juga selepas persekolahan,” katanya.

Jelas Ramli, selain itu, adalah menjadi peranan ibu bapa untuk mengenal pasti dan mengambil tahu guru kelas atau rakan anak ma­sing-masing yang boleh dibuat rujukan sekiranya berlaku kes kecemasan.

Beliau turut meminta mangsa supaya merakam panggilan sedemikian supaya masyarakat boleh mengetahui dan cakna dengan modus operandi scammer bagi mengelak mangsa kerugian.

“Pesan saya, apabila dapat panggilan sedemikian, terus rekod agar ia boleh dimainkan semula untuk peringatan kepada orang ramai,” katanya.

Baru-baru ini, tular beberapa hantaran di media sosial berhubung perkongsian orang ramai yang menerima panggilan daripada individu tidak dikenali dipercayai penjenayah yang meminta sejumlah wang sebagai tebusan kononnya anak mereka telah diculik.

Dengan menggunakan gambar profil lelaki berbaju Melayu, scammer itu memainkan suara orang menjerit kononnya dipukul bagi menggambarkan kejadian cemas itu betul-betul berlaku.

Sebelum ini, Polis Brickfileds memaklumkan pihaknya me­nerima empat laporan polis berhubung modus operandi sama.

Salah seorang mangsa iaitu wanita tempatan yang juga eksekutif akaun menerima panggilan daripada individu tidak dikenali yang mendakwa menahan anaknya dan mengarahkan dia menyerahkan wang.

Mangsa sebaliknya segera memeriksa keadaan anaknya sebelum mendapati kanak-kanak itu dalam keadaan selamat. Kes itu disiasat di bawah Seksyen 420/511 Kanun Keseksaan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN