BUENOS AIRES – Legenda Argentina, Diego Maradona terpaksa dirawat beberapa hari lagi di hospital untuk memulihkan ingatannya selepas menjalani pembedahan otak minggu ini.
Tiga hari lalu, Maradona menjalani pembedahan otak untuk mengeluarkan darah beku ekoran masalah subdural haematoma di sebuah hospital di bandar ini.
“Selepas menjalani pembedahan tersebut, ingatannya belum pulih sepenuhnya menyebabkan kami terpaksa terus merawatnya,” kata Leopoldo Luque yang merupakan doktor yang merawatnya.
Luque tidak mendedahkan punca masalah yang dihadapi bekas pemain Barcelona, Napoli dan Boca Juniors itu yang sebelum ini terkenal sebagai seorang ‘kaki botol’ dan terlibat dalam penyalahgunaan dadah.
“Apa yang kami cuba lakukan adalah untuk menjauhkan dirinya daripada perkara-perkara tersebut,” jelasnya.
Kenyataan Luque itu hadir beberapa jam selepas beliau mendedahkan bahawa Maradona yang merupakan jurulatih kelab Gimnasia y Esgrima ketika ini memberitahu bahawa tahap kesihatannya semakin baik dan mahu keluar dari hospital.
Maradona yang pernah merangkul Piala Dunia 1986 banyak menghabiskan masa di hospital sejak kebelakangan ini ekoran gaya hidupnya.
Dia hampir menemui ajal ekoran pengambilan kokain secara berlebihan pada tahun 2000 dan pernah menjalani proses rehabilitasi di Cuba sebelum ini.
Pemain yang dianggap terbaik sepanjang zaman itu juga pernah menjalani pembedahan pintasan gastrik pada 2005 untuk mengurangkan berat badannya selain dikejarkan ke hospital dua tahun
kemudian selepas pengambilan alkohol secara berlebihan menyebabkan dia diserang penyakit hepatitis. – AGENSI














