GEORGE TOWN – Ekoran permintaan tinggi terhadap durian premium, terutamanya musang king dalam kalangan penggemar raja buah itu, ramai pempengaruh media sosial termasuk TikToker mengambil peluang menjualnya bagi mendapatkan keuntungan berlipat ganda.
Mereka menggunakan pengaruh yang ada pada mereka di media sosial untuk mengaut laba, terutamanya dalam kalangan pengikut setia.
Pemilik kebun durian di Balik Pulau dekat sini yang mahu dikenali sebagai Bryan berkata, pada musim durian kali ini, dia didatangi oleh ramai TikToker untuk mendapatkan durian musang king gred C untuk pasaran di media sosial.
Berikutan itu katanya, dia terpaksa mengehadkan jualan durian premium jenis musang king gred C ekoran permintaan tinggi yang diperoleh daripada pempengaruh media sosial itu.
“Setiap hari, kira-kira sembilan peniaga dalam kalangan TikToker datang membeli lebih lima tan musang king dengan masing-masing membawa pulang 300 hingga 400 kilogram buah yang dijual pada harga bawah RM10 sekilogram.

“Durian itu dijual oleh peniaga terbabit antara RM20 hingga RM25 sekilogram.
“Mereka semua adalah peniaga baharu yang saya tidak pernah kenal sebelum ini dan mengatakan tujuan pembelian musang king gred C itu untuk pasaran di media sosial terutama TikTok,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Disebabkan itu, Bryan memberitahu, pihaknya kini terpaksa ‘berkira-kira’ untuk memasarkan hanya musang king gred C kepada pelanggan, sebaliknya pembelian haruslah dilakukan juga dengan durian jenis lain.
“Kami terpaksa hadkan pembelian durian ini (musang king gred C) dan pembeliannya perlu dilakukan bersama durian campur-campur termasuk juga yang gred A.
“Kaedah situasi menang menang perlu dilakukan dan jika tidak, hanya durian musang king gred C sahaja yang menjadi tumpuan peniaga.
“Memang ketika ini berlaku permintaan tinggi terhadap durian jenis itu,” jelasnya lagi.
Sementara itu, seorang lagi pemilik kebun yang juga penjual durian, Ah Mat, 48, pula memberitahu, durian jenis udang merah kini setanding dengan musang king apabila lebih 50 peratus penggemarnya memilih menikmati durian tersebut yang dijual pada harga RM25 sekilogram.
“Udang merah kini seakan durian premium lain dan berbaloi untuk dimakan selain enak, isinya juga manis, pahit serta tebal. Ini diikuti dengan durian jenis hor lor, dianggarkan 20 peratus peminat raja buah kini menginginkannya.
“Selain permintaan yang tinggi, pengeluaran durian ini sudah mula berkurangan di akhir musim pertama yang bakal berakhir hujung Jun ini. Peminat durian terpaksa menunggu awal Ogos depan sebagai permulaan musim kedua buah durian luruh,” tambahnya.














