fbpx

Jumlah pembayar turun, kutipan zakat tetap meningkat 14 peratus

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MOHD. ALI (tiga dari kanan) menerima serahan zakat daripada wakil agensi korporat pada Majlis Penyampaian Zakat Perniagaan di Pejabat Yang Dipertua Negeri Melaka di Seri Negeri, Ayer Keroh, Melaka. - Foto oleh MUHAMMAD SHAHIZAM TAZALI

MELAKA – Kutipan zakat di negeri ini bagi tempoh 1 Januari hingga 15 Jun lalu meningkat hampir 14 peratus kepada RM70.33 juta berbanding RM61.95 juta bagi tempoh sama tahun lepas.

Ketua Pegawai Eksekutif Zakat Melaka, Datuk Ibrahim Fadzil berkata, zakat pendapatan merekodkan kutipan tertinggi iaitu RM37.44 juta diikuti zakat wang simpanan (RM13.37 juta); zakat perniagaan (RM12.22 juta) dan zakat emas serta perak (RM1.04 juta).

Katanya, kutipan zakat saham sebanyak RM446,706; zakat ternakan berjumlah RM25,120 dan zakat pertanian RM23,979 turut memyumbang kepada peningkatan tersebut.

“Kutipan zakat harta secara keseluruhan adalah RM64.57 juta, meningkat RM8.22 juta bagi tempoh sama 2022.

“Bagaimanapun bilangan pembayar zakat pula menurun 4.23 peratus kepada 43,947 orang berbanding 45,889 orang tahun sebelumnya,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Penyampaian Zakat Perniagaan di Pejabat Yang Dipertua Negeri Melaka di Seri Negeri, Ayer Keroh di sini, hari ini.

Hadir sama Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd. Ali Mohd. Rustam.

Terdahulu, Mohd. Ali menerima zakat koporat berjumlah RM7.64 juta daripada 14 agensi seperti Lembaga Tabung Haji, Perbadanan Melaka (MCorp), Etiqa Takaful dan Selia Selenggara Selatan Sdn. Bhd.

Tambah Ibrahim, melihat kepada kutipan yang memberangsangkan setakat ini, Zakat Melaka telah menyemak semula unjuran sasaran kutipan zakat tahun ini kepada RM123 juta berbanding RM118 juta.

“Tempoh membayar zakat adalah setahun, jadi ada yang bayar awal dan ada juga yang lewat. Biasanya kita lihat nilai kutipan dan bukannya jumlah pembayar.

“Kita di Melaka sepatutnya berasa bertuah kerana meskipun jumlah pembayar menurun tetapi nilai kutipan tetap meningkat,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI