fbpx

KPM siasat, intervensi pelajar tidak duduki SPM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Fadhlina ketika ditemui pemberita selepas konvesyen tersebut hari ini. Foto oleh AFIQ RAZALI/KOSMO!

SHAH ALAM – Kementerian Pendidikan (KPM) akan menjalankan siasatan penuh dan tindakan intervesi bagi mengatasi masalah para pelajar yang tidak hadir dalam menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, terdapat pelbagai faktor menjadi penyebab ketidakhadiran itu dan adalah tidak wajar diistilahkan sebagai ‘ponteng’ apabila tidak menghadiri peperiksaan itu.

“Bukan ponteng sebaliknya tidak hadir dalam rekod. Jadi bila tidak hadir, apa yang KPM buat sekarang adalah proses siasatan penuh dan kajian penuh akan dikongsikan selepas ini selain mengambil tindakan intervensi bagaimana hendak memastikan kehadiran akan datang dapat diatasi.

“Ini masalah lama sebenarnya, cuma kali kita jadikan satu langkah dalam pastikan calon-calon ini hadir dan ambil peperiksaan itu,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan penutupan konvesyen Islam dan Melayu di Dewan Jubli Perak Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini.

Beliau turut menjelaskan akan bekerjasama dengan kementerian lain berhubung mereka yang tidak sambung belajar selepas tamat SPM.

Tambah Fadhlina, ini bagi memastikan kumpulan itu mempunyai hala tuju dalam pendidikan, Program Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta pekerjaan.

Mengulas mengenai perdebatan angka yang tepat berhubung mereka yang tidak menduduki SPM, Fadhlina menegaskan kementeriannya akan mengeluarkan dalam masa terdekat.

“Yang ini (tidak hadir SPM), sudah ada laporan penuh daripada mengenai angka itu. Cuma jumlah itu saya akan periksa bagi mengelakkan nombornya salah.

“Saya akan kongsikan nanti sebab tidak mahu nombor itu dimanipulasi. Ini juga (ketika ini) ada para pelajar dalam proses buat rayuan dan sedang meneliti isu tersebut,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI