PETANG itu, sama seperti petang-petang sebelumnya dalam pertengahan tahun 1980-an, Zailani Zainal Abidin akan duduk di tepi pantai untuk melihat keindahan Jambatan Pulau Pinang walaupun dari kejauhan.
Jika nasibnya baik, dia juga akan melihat feri yang berlabuh tidak jauh dari rumahnya yang ketika itu terletak di Bagan Dalam, Butterworth.
Sebenarnya minat Zailani terhadap feri khususnya, timbul selepas dia sering dibawa oleh arwah bapanya yang ketika itu bekerja sebagai pengayuh beca menaiki kenderaan air tersebut untuk berulang-alik dari Jelutong ke Bagan Dalam.
Dek kerana minat yang mendalam juga, Zailani yang tidak dapat mengikuti sesi persekolahan seperti kanak-kanak lain akibat masalah kesihatan itu turut menyimpan impian untuk memiliki sebuah feri buatan sendiri walaupun sekadar replika.
“Jadi, suatu hari, saya minta bapa belikan plywood (papan lapis) untuk saya. Walaupun hairan, dia tetap tunaikan permintaan saya pada masa itu.
“Kemudian, tanpa sebarang lakaran, saya menggunakan plywood tersebut serta beberapa barang terbuang lain termasuk lidi sate yang ketika itu boleh didapati dengan mudah untuk hasilkan sebuah replika Jambatan Pulau Pinang terlebih dahulu mengikut imaginasi saya.
“Selepas jambatan, saya mula hasilkan feri pula terutamanya selepas tragedi terminal feri runtuh (1988) dan sehingga kini, replika feri adalah keutamaan saya selain beberapa kraf lain misalnya rumah yang saya hasilkan daripada bahan utama iaitu lidi sate,” katanya kepada Panorama ketika ditemui di rumahnya di Butterworth.
Kini, pada usia yang telah mencecah 52 tahun, Zailani masih gigih menghasilkan seni diorama atau kraf unik itu walaupun seorang diri.
“Ini satu-satunya sumber pendapatan saya ketika ini. Maklumlah, pergerakan saya sekarang pun agak terbatas kerana bertongkat (kaki tempang akibat kemalangan) dan ada masalah jantung.
“Lagipun, apabila saya menyibukkan diri dengan kerja-kerja kraf ini, sekurang-kurangnya saya dapat melupakan kesedihan akibat kehilangan satu-satunya anak saya hampir tiga tahun lalu,” katanya yang kini tinggal bersama seorang rakan di tingkat 10 sebuah pangsapuri.
Walaupun jambatan dan pelbagai replika feri dan bot bersaiz miniatur menjadi minatnya, Zailani kebelakangan ini banyak menerima tempahan membuat replika rumah bonsai, rumah kampung dan bangsal.
Selain itu, dia turut membuat replika gerai burger, dangau dan beberapa binaan lain mengikut permintaan pelanggan.
Namun jelasnya, feri masih menjadi keutamaannya yang adakalanya dihasilkan atas dasar minat walaupun tidak ditempah orang.
Kata Zailani, ketika ini, dia mampu hasilkan antara lima hingga 10 buah feri pelbagai saiz dalam sehari, manakala untuk replika lain, ia bergantung kepada keadaan semasa.
Katanya, harga yang ditetapkan bagi replika feri adalah antara RM50 hingga RM80 bergantung saiz dan hiasan tambahan dengan replika feri termahal yang pernah dihasilkannya mencecah RM280. Harga untuk replika binaan lain pula bergantung kepada saiz.
“Sekarang ini, masalah utama saya adalah kesukaran untuk mendapatkan bahan mentah terutama lidi sate dalam kuantiti yang banyak sedangkan tempahan yang saya terima pula semakin meningkat.

“Pada masa yang sama, beberapa bahan lain termasuk plywood sebagai pelapik, gam lilin dan lain-lain juga semakin mahal dan menyebabkan saya terbeban,” katanya yang mampu memperoleh antara RM600 hingga RM700 sebulan atau lebih hasil jualan kraf tangan tersebut ketika ini.
Mengulas lanjut, Zailani berkata, dia juga menghadapi masalah untuk memasarkan produk krafnya terutama jika dia menerima tempahan dalam kuantiti banyak.
“Maka, sebab itulah saya berharap agar memiliki sebuah kedai sendiri bagi memudahkan saya untuk menghantar tempahan-tempahan ini kepada pelanggan mengikut masa yang ditetapkan atau sekurang-sekurangnya berpeluang untuk berpindah ke rumah yang lebih rendah kerana kesukaran saya untuk bergerak ketika ini,” jelasnya.
Zailani yang juga berkebolehan dalam bidang masakan berkata, ketika ini, dia sedang dalam perancangan menghasilkan beberapa produk kraf lagi terutama dengan menggunakan lidi sate seperti bangku untuk murid tabika, beca dan sebagainya.
“Kalau nak ikutkan, banyak perancangan saya sebenarnya. Tapi itulah, masalah kesihatan dan tak ada modal kadang-kadang menyukarkan saya termasuk untuk menerima tempahan yang banyak.
“Apapun, saya tetap menyimpan harapan dan angan-angan. Andai diberikan kesihatan dan kewangan yang baik, saya berhasrat hasilkan sebanyak mungkin replika feri ini dan menyedekahkan atau menjualnya dengan harga lebih murah agar orang tahu bahawa ini (feri) adalah antara kebanggaan kami sebagai orang Pulau Pinang,” katanya.
Tambah Zailani, dia juga mahu menurunkan ilmu seni dalam cabang diorama itu kepada mereka yang berminat terutama orang kelainan upaya (OKU) yang sedang tercari-cari sumber pendapatan untuk menampung kehidupan.















