fbpx
RAMAI pelanggan mengambil peluang untuk menikmati buah durian jenis premium sekalipun harga yang ditetapkan agak mahal.

Demam durian, sanggup berhabis ribuan ringgit

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

GEORGE TOWN – Permintaan terhadap buah durian pada musim ini dianggap luar biasa sehinggakan ramai pelanggan sanggup membelanjakan ribuan ringgit semata-mata untuk merasai sendiri keenakan raja buah itu.
Malah, ada penggemar durian menghabiskan RM23,000 untuk membeli pelbagai jenis buah premium seperti musang king, duri hitam, tekka, udang merah dan D24.

Seorang pengusaha dusun durian dikenali sebagai Brian, 36, berkata, musim durian pada tahun ini merupakan musim pa­ling menguntungkan bagi mereka berdasarkan permintaan luar biasa da­ripada pelanggan.

Lebih mengejutkan kata­nya apabila ramai pelanggan sanggup berbelanja besar sehingga puluhan ribu ringgit semata-mata untuk membawa keluarga dan rakan-rakan menikmati pelbagai jenis durian kampung dan premium di premisnya.

“Memang ramai pelanggan yang datang dengan keluarga atau rakan sekerja dan mereka sanggup bayar RM4,000 untuk makan durian di kedai saya.

“Kebiasaannya, mereka yang berkeluarga datang beramai-ramai iaitu kira-kira 15 hingga 17 orang terdiri daripada nenek, anak-anak, cicit dan cucu serta saudara-mara.

“Kebanyakannya mencari durian premium seperti musang king dan duri hitam dan sudah pasti harga bagi buah tersebut sangat mahal,” katanya ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.

Beliau menambah, premisnya juga baru-baru ini telah didatangi seorang pengurus muda berusia 27 tahun yang menempah seba­nyak 100 kotak durian premium pelbagai jenis dengan harga ke­seluruhan berjumlah RM23,000.

“Saya agak terkejut kerana jarang pelanggan berbelanja sebanyak itu.

“Namun, inilah namanya rezeki dan ‘durian runtuh’ buat kami,” tambahnya.

Katanya, majoriti penggemar durian juga seperti tidak sabar untuk menikmat buah itu terutama keluaran Balik Pulau.

“Ada yang datang sekadar untuk merasa, tetapi jumlahnya tidak ramai. Majoriti yang beli di sini akan habiskan belanja sekitar RM1,000,” ujarnya.

Bagi seorang lagi peniaga durian, Soong Peck Cheow, dia sangat teruja apabila ramai pelanggan dari luar Pulau Pinang memilih untuk datang sendiri ke kebunnya berbanding makan di kedai.

“Ramai bagi alasan makan di kebun durian lebih menyele­rakan berbanding di kedai dan buahnya juga pasti segar.

“Bagi pelanggan jenis ini, mereka lebih berminat menikmati durian kahwin berbanding durian premium, namun jumlah yang dibelanjakan tetap melebihi RM1,000,” katanya.

Di Kuala Lumpur, seorang peniaga durian, Shaharil Ara Alias, 38, berkata, demam durian ketika ini tidak hanya dirasai di beberapa negeri, tetapi turut menarik perhatian peminat buah itu dari Sabah dan Sarawak.

Katanya, sepanjang berniaga di Chow Kit di sini, dia kerap menerima pe­langgan dari jauh se­perti Terengganu, Sabah dan Sarawak yang datang ke premisnya semata-mata untuk menikmati durian.

“Chow Kit merupakan lokasi tumpuan setiap kali orang bercuti di ibu negara dan banyak juga hotel di sekitar sini.

“Jadi, ramai pelancong dari luar mengambil kesempatan untuk menikmati pelbagai jenis durian sehingga ada yang menghabiskan belanja sehingga RM2,000,” ujarnya.

Beliau turut mengakui, pelancong asing termasuk dari Korea dan China turut menjadi antara pelanggan utamanya sepanjang berniaga di kawasan tumpuan itu.

“Mereka (pelancong) memang tidak berkira tentang bayaran asalkan dapat menikmati buah yang berkualiti dan sedap,” tambahnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN