PUTRAJAYA – Khidmat Datuk Abdul Wahab Mat Yasin sebagai Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) kekal sehingga akhir tahun ini.
Abdul Wahab dilantik ke jawatan itu pada Februari lalu menggantikan Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid sebelum bersara wajib pada 28 Mei lalu.
Bagaimanapun, khidmatnya disambung sehingga 31 Disember tahun ini.
Abdul Wahab berkata, meskipun tempoh lanjutan jawatan diberikan tidak lama sehingga hujung tahun ini, namun beliau tetap bertekad memberi yang terbaik dan memantapkan lagi perkhidmatan JBPM kepada masyarakat serta negara.
Beliau berkata, fokus utamanya ketika ini adalah memperkasakan lagi bahagian keselamatan kebakaran dan unit udara jabatan itu.
“Saya akan terus berusaha memastikan proses kerja selari dengan misi dan visi JBPM selain mempercepatkan proses memulihkan negara bagi menarik keyakinan pelabur luar.
“Apabila kestabilan, kesejahteraan dan keselamatan negara dapat dipertingkatkan, maka ia akan meyakinkan kumpulan pelabur untuk datang ke Malaysia,” katanya ketika ditemui selepas menyempurnakan Majlis Nota Serah Tugas Pengarah Bomba Negeri, di sini hari ini.
Katanya, penstrukturan semula dan pemprosesan pelan JBPM akan dipertingkatkan termasuk menganalisa bebanan tugas anggota bomba. – KOSMO! ONLINE