fbpx
Mengakui dirinya seorang yang pelupa tahap tidak masuk akal dan sering tercicir barang, Divya sangat terkejut apabila masih mampu hafal surah-surah al-Quran walaupun sudah lebih 10 tahun meninggalkannya setelah tidak lagi tinggal dengan pengasuh beragama Islam.

‘Hidayah milik Tuhan, biar Dia tentukan’- Divya Darshini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

TULAR gara-gara hafal serta fasih membaca surah dalam al-Quran ketika sedang bersiaran langsung di TikTok membuatkan nama wanita berketurunan India ini tiba-tiba menjadi sebut-sebutan.

Tidak pernah menyangka hidupnya berubah kerana video tular itu, Divya Darshini Mathiselvan yang kini mengumpul ratusan ribu pengikut akur perkara tersebut berlaku secara tidak disengajakan.

Berpeluang menemu bual anak gadis kelahiran Kuala Lumpur berusia 27 tahun ini, dia yang mesra disapa Divya boleh disimpulkan sebagai seorang yang begitu peramah dan berfikiran terbuka.

Menurut anak sulung daripada tujuh beradik itu, insiden tersebut berlaku ketika dia kalah dalam pertembungan TikTok PK Match dengan seorang pengguna aplikasi sama.

“Jadi bila sudah kalah, pengguna akaun tersebut yang merupakan seorang wanita beragama Islam memberi saya cabaran untuk membaca apa-apa sahaja surah di dalam YouTube.

“Jadi tanpa segan silu, saya pun baca surah An-Nas secara spontan tanpa melihat YouTube atau apa-apa rujukan lain. Jadi wanita tersebut dan pengikut-pengikutnya termasuk pengikut saya di dalam TikTok terkejut serta terkesima kerana saya fasih membaca surah tersebut,” katanya membuka bicara.

Tambah Divya, tidak setakat membaca surah An-Nas, dia juga dicabar membaca surah lain yang mungkin diketahuinya lantas membaca ayat Kursi.

Katanya, sejak daripada itu, namanya mula dikenali dan akaun media sosial TikToknya mula bertambah dari segi tontonan dan pengikut.

Beritahunya, ekoran tular, ramai yang bertanya sejak bila dia pandai membaca surah-surah dan ayat suci tersebut.

“Kalau ikutkan, sejak dari usia enam tahun saya sudah mula terdedah dan biasa dengan perkara tersebut.

“Saya boleh hafal beberapa surah seperti Al-Fatihah, Al-Ikhlas, An-Nas, ayat Kursi dan Yasin selain boleh baca doa makan.

“Kalau Alif, Ba, Ta saya boleh ingat sikit-sikit. Tapi kalau saya tengok huruf Jawi, saya boleh kenal dan sebut satu per satu.

“Semuanya berlaku ketika saya tinggal bersama pengasuh beragama Islam yang sudah saya anggap sebagai ibu sendiri sampailah saya berusia 16 tahun,” katanya.

Kongsinya lagi, pengasuhnya sering mengajar anak-anak lain yang turut di bawah jagaannya membaca Iqra dan al-Quran ketika berada di rumahnya.

“Pada mulanya, saya hanya dengar mereka belajar. Lama-kelamaan saya tertarik dan ikut sama nak belajar.

“Pengasuh tak pernah paksa, saya sendiri yang sukarela nak belajar. Sejak dari situlah saya mula minat nak belajar dan mendalaminya,” ujarnya yang kini menetap di Rawang, Selangor bersama keluarga tercinta.

Menurutnya lagi, dia bagaimanapun tidak menyangka masih mengingati surah-surah tersebut kerana lebih sedekad tidak membacanya.

“Saya hanya belajar serta baca di rumah pengasuh dan kadang-kadang cuma berada di sana selama lapan hingga 10 jam. Kalau dikira-kira, sudah lebih 10 tahun saya tinggalkan dan tidak mempraktikkannya, tetapi tidak sangka masih boleh hafal sehingga ke hari ini,” katanya yang turut belajar berpuasa dan sering mendengar kisah nabi-nabi ketika dijaga pengasuhnya.

Meneruskan perkongsian, gadis berzodiak Scorpio ini memberitahu, selain membaca ayat al-Quran dan menghafal beberapa surah lain, dia turut mengikuti terjemahannya bagi mengetahui maksud bacaan.

Tambah Divya lagi, selain ramai yang teruja dengan video bacaan surahnya itu dan mendapat pelbagai reaksi positif, dia juga tidak terlepas daripada diserang netizen.

Akuinya, ada juga netizen dalam kalangan agama Islam dan Hindu yang turut memarahi dan memaki hamunnya kerana video tersebut.

“Ada yang kata saya ni Hindu dan haram baca al-Quran. Ada juga kaum saya sendiri yang kata saya tersasar dan jauh tersimpang dari agama sebenar.

“Perkara itu buatkan saya depresi pada awalnya dan terkejut kerana tidak pernah berhadapan dengan situasi sebegitu, tetapi sekarang saya dah okay dan lebih matang untuk kawal perasaan. Bagi saya, apa yang saya lakukan hanya kerana tertarik dan sifat saya yang suka belajar perkara baharu.

“Bagi saya, mana-mana agama ada Tuhan yang satu. Sebelum saya belajar al-Quran, saya kena belajar agama saya dahulu iaitu Hindu,” katanya.

Ujarnya lagi, apa yang paling penting, kita sebagai manusia kena saling menghormati agama dan kepercayaan masing-masing.

“Apabila kita hormat agama dan kepercayaan masing-masing, bukan bermaksud kita kena sembah dan anuti Tuhan lain.

“Banyak juga yang mesej (DM) dan komen dalam TikTok dan mendoakan saya diberikan hidayah dan terbuka hati untuk memeluk Islam kelak.

“Terima kasih kepada mereka yang mendoakan saya perkara yang baik-baik. Bagi saya, hidayah milik Tuhan dan biarlah Dia yang menentukannya,” katanya yang sebelum ini pernah bertugas sebagai pembantu perubatan selama beberapa tahun dan kini mengurus perniagaan kedai kecantikan wanita miliknya di Rawang.

Manis dengan senyuman tak lekang di bibir, siapa sangka Divya sebenarnya seorang yang bersifat pemarah.

Menurutnya, ramai orang tidak mengetahui perkara tersebut melainkan mereka yang betul-betul mengenali dirinya.

Katanya, sifat pemarah tersebut tidak pernah dibuat-buat dan memang ada dalam dirinya sejak kecil lagi.

“Pun begitu, bukanlah bermaksud saya ini marah tak bertempat. Maksud saya, jika saya tidak suka dengan sesuatu perkara itu, saya memang akan cakap direct (terus) tanpa segan silu.

“Tapi marah itu bukanlah berpanjangan. Senang kata macam short tempered (marah singkat) sahaja,” katanya sambil tertawa.

Tidak setakat itu, Divya juga mengakui dia merupakan seorang yang pelupa sejak dari kecil, tetapi tidak menyangka dia mampu menghafal surah sampai ke detik ini.

Katanya, sifat pelupanya itu kadang-kadang langsung tidak boleh dimaafkan dan tidak masuk akal.

“Kadang-kadang selalu tertinggal atau tercicir barang penting. Ibu atau adik-adiklah yang kena ingatkan,” katanya.

Tambah Divya lagi, dia juga sebenarnya suka dengan dunia lakonan dan pernah mengimpikan untuk menjadi pelakon drama atau filem.

Katanya, jika diberi peluang berlakon terutama dalam pasaran Melayu, dia mahu cabar diri untuk membawakan apa watak sekali pun.

“Lepas tular baru-baru ini, saya ada dapat juga tawaran sebagai ekstra untuk drama dan filem, namun saya tak dapat dedahkan banyak kerana masih belum siar dan dalam proses suntingan. Impian nak berlakon tu memang sudah lama. Jadi, jika ada peluang, saya memang nak jadi pelakon,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN