AWALNYA nama Malaysia tidak menarik minat kedua-dua pemuda itu yang pada masa sama tidak pernah tahu apa-apa tentang negara di rantau Asia Tenggara tersebut.
Lahir dan membesar di Jepun, kehidupan mereka sebelum ini hanya berkisar tentang budaya di negara Matahari Terbit itu.
Bagaimanapun, perkongsian daripada rakan tentang sebuah negara yang aman dan makmur serta kaya dengan budaya masyarakat berbilang kaum telah menarik minat mereka.
Mahu melakukan sesuatu yang berbeza dalam kehidupan, dua orang pempengaruh dikenali sebagai Kazu 27, dan Nobu, 24, melawan arus daripada kehidupan konservatif di Jepun dan mencipta nama di Malaysia.
Menurut Kazu, kebanyakan penduduk di Jepun memenuhkan rutin harian mereka dengan bekerja hingga ada antara mereka tiada masa untuk diri sendiri.
“Sebelum menjadi seorang pempengaruh, saya pernah bekerja makan gaji dan memaksa diri untuk menjalani kehidupan yang sibuk dari pagi hingga malam.
“Meskipun ia gaya hidup tipikal penduduk bandar di Jepun, namun jiwa saya lebih sukakan kehidupan fleksibel dan melakukan perkara yang disukai,” katanya ketika ditemui K2 di Petaling Jaya, Selangor.
Tambah jejaka asal Hiroshima itu, kerana mahu mengubah gaya hidup, dia kemudian berhijrah ke Singapura dan bekerja di sana.
Kongsinya lagi, di kota Singa itu dia mula mengengetahui tentang Malaysia menerusi perkongsian rakan-rakan, lalu datang melancong beberapa kali.
Tertarik dengan suasana dan budaya di Malaysia, Kazu kemudian memutuskan untuk berpindah dan bekerja di Kuala Lumpur pada November 2020.
“Saya mula menjadi pempengaruh semasa pandemik Covid-19 masih menular yang mana ketika itu saya tidak boleh bekerja.
“Dalam kebosanan duduk di rumah, salah seorang rakan mencadangkan saya supaya membuat video YouTube tentang kehidupan seharian seorang rakyat asing di luar negara,” kata anak kedua daripada tiga beradik itu.
Mengambil perhatian dengan nasihat rakan, Kazu berjinak-jinak membuat video di YouTube dan kandungannya mendapat perhatian menerusi video-video dirinya tinggal di Kuala Lumpur.
Bermula di YouTube, Kazu kemudian menjadikan karier sebagai pempengaruh sepenuh masa dan meluaskan pengaruhnya di platform Instagram dan TikTok.
Bagi Nobu pula, dia mengetahui tentang Malaysia selepas mendengar cerita daripada rakan-rakan yang memuji keindahan negara Nusantara itu.
Menurutnya daripada perkongsian tersebut dia mula tertarik untuk mengetahui dengan lebih mendalam tentang negara yang menjadi pilihan kebanyakan penduduk Jepun untuk melancong itu.
“Ramai antara rakan saya memuji Malaysia dan mengatakan ia negara yang sangat berbeza dengan Jepun terutama dari segi tekanan gaya hidup.

“Mendengar perkara itu saja, saya sudah tertarik dan mahu mengenali Malaysia dan berpindah serta menetap di negara itu,” kongsi jejaka asal Kagoshima itu yang tertera kata-kata ‘Saya Kacak’ pada deskripsi akaun media sosialnya.
Tambahnya yang memulakan karier sebagai pempengaruh pada tahun 2021, kandungan awalnya di platform media sosial Instagram dan TikTok berkisar tentang pengaruh Malaysia di Jepun.
Kongsi anak bongsu daripada dua beradik itu, ketika itu, dia banyak berkongsi video tentang apa sahaja perkara berkaitan Malaysia antaranya mencuba makanan Malaysia di Jepun.
Kandungan yang dikongsi Nobu juga mendapat perhatian ramai pengguna media sosial dari Malaysia yang kemudian mengikutinya.
Melihat sambutan yang menggalakkan, Nobu kemudian kerap datang melancong sambil membuat kandungan media sosial di Kuala Lumpur.
“Saya datang ke Malaysia pada Februari 2022 dan seterusnya saya kerap datang ke sini untuk melancong sambil membuat kandungan media sosial.
“Memang sejak tahu tentang negara ini saya mahu ke sini dan apabila menjejakkan kaki dan mengenal Malaysia, saya sudah jatuh cinta dan mahu tinggal di sini,” katanya yang juga pernah menjalani latihan industri di Myanmar.
Di sebalik membina kerjaya sebagai pempengaruh, Kazu dan Nobu sama-sama mempunyai pandangan sama tentang Malaysia yang merupakan sebuah negara yang baik untuk orang Jepun.
Mereka sama-sama bersetuju bahawa budaya dan kehidupan di Malaysia lebih sesuai dengan jiwa mereka.
Kata Kazu, apa yang paling disukainya tentang Malaysia adalah keharmonian penduduk berbilang kaum dan cara mereka mengadaptasi kehidupan.
Jelasnya, rakyat Malaysia bukan saja ramah dan mengalu-alukan kedatangan mereka tetapi sentiasa mempamerkan sifat yang positif dalam menempuh kehidupan seharian.
“Saya pernah melancong di kira-kira 30 buah negara, namun Malaysia sangat berbeza dari segi persekitaran yang mana penduduk di sini sangat baik dengan pelancong asing.
“Mereka sentiasa tersenyum dan mesra apabila berkomunikasi, malah paling saya kagum adalah sifat murah hati penduduk yang kerap belanja makan,” kongsinya yang juga pernah ke beberapa negeri lain antaranya Pahang, Johor, Negeri Sembilan dan Pahang.
Bagi Nobu pula dia sukakan gaya hidup kampung di Malaysia yang padanya sangat mementingkan unsur kekeluargaan.
Menurutnya, setiap kali berkunjung ke negeri-negeri lain di Malaysia, dia tidak akan melepaskan peluang untuk merasai susasana kampung di sana.
“Saya sukakan kampung. Di sana suasananya aman dan damai serta semua penduduk sangat ramah meskipun ada kekangan bahasa.
“Saya pernah menghadiri majlis kenduri di kampung dan kagum melihat orang ramai bergotong-royong semasa majlis berkenaan,” ujarnya.
Selain suka suasana di Malaysia, Kazu dan Nobu juga sama-sama sukakan kepelbagaian kulinari dan tidak melepaskan peluang untuk mencubanya sepanjang berada di Malaysia.
Kongsi kedua-dua mereka, makanan di Malaysia mempunyai kepelbagian yang sesuai untuk pelbagai jenis selera dan perisa.
Kedua-dua mereka juga mengakui makanan yang paling menambat hati adalah nasi lemak kerana kena dengan selera mereka.














