BUTTERWORTH – Bukan mudah untuk membina kepercayaan pelanggan terhadap sesebuah perniagaan yang baru dibangunkan apatah lagi jika syarikat itu terlibat dalam perniagaan menjual barangan kemas yang penuh berisiko dan melibatkan modal yang besar.
Agak janggal juga jika ada pemain dalam bidang itu menjual barangan kemas yang melibatkan ribuan ringgit secara online, memperagakan produk dan lebih unik melakukan transaksi jual beli hanya melalui platform media sosial.
Berapa ramai yang mahu mengambil risiko, namun bersandarkan kepada mahu mencuba dan minat dalam bidang itu, Pengasas Syarikat Masdora Jewellery Sdn. Bhd. (Masdora), Poon Wai Kit, 37, memulakan perniagaan tersebut pada tahun 2020 semasa negara dilanda pandemik Covid-19.
Kelainan menjual barangan kemas di bawah jenama Masdora secara online yang bermula secara kecil-kecilan di platform e-dagang seperti Shopee mula mendapat sambutan baik daripada peminat barangan kemas dan beliau tidak menyangka promosi serta teknik pemasarannya semakin menjadi.

“Antara barangan yang kami tawarkan adalah cincin, gelang dan rantai yang mana kami menyediakan promosi secara gambar dan video, menyebarkan maklumat terperinci tentang produk selain disokong oleh perkhidmatan pelanggan untuk memenuhi keperluan pelanggan,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di sini baru-baru ini.
Hari demi hari, Wai Kit menyaksikan statistik jualan bertambah sehingga ada individu mula membuat tempahan membeli barangan kemas sehingga mencecah RM20,000 hingga RM30,000.
“Terdapat kepercayaan yang tinggi daripada pelanggan terhadap perniagaan dan jenama kami sehingga menyebabkan mereka berani menempah dan membayar sejumlah wang yang besar.
“Selain itu, ketelusan operasi syarikat dengan disokong oleh sistem pembayaran yang cekap serta penghantaran dibuat dalam tempoh singkat adalah antara faktor yang menarik minat pelanggan untuk terus sedia dengan jenama Masdora,” ujarnya.
Tambah beliau, selain menawarkan pelbagai rangkaian barangan kemas standard 916, pihaknya juga terbabit dalam pelbagai rangkaian pelaburan emas seperti jongkong emas dan dinar dalam beberapa saiz dan berat.

“Lebih menarik kami menyediakan pilihan beberapa keping emas Masdora yang ditawarkan seperti sekeping kad bank yang bertemakan pelbagai musim perayaan termasuk sambutan hari raya, hari jadi, kelahiran anak, perkahwinan, pertandingan bola sepak dunia atau tema mengikut negeri.
“Produk baharu ini telah dilancarkan pada September 2022 dan ia dijual dengan berat kepingan emas iaitu bermula daripada 0.25 gram (g), 0.5 g serta satu 1g.
“Kami juga menjual dinar emas yang seberat suku dinar, setengah dan juga satu dinar,” ujarnya sambil menambah kepingan emas itu direka melalui kumpulan di bawah syarikatnya yang berkemahiran selain kilang pengeluaran yang dimilikinya.
Wai Kit yang memiliki pengalaman 10 tahun dalam bidang pemasaran itu melihat perniagaan tersebut akan terus mencatat pertumbuhan jualan yang baik sebanyak 300 peratus pada tahun ini.

Tambah beliau, selain memperagakan barangan kemas di pasaran e-dagang dan media sosial, syarikat juga memiliki cawangannya bersesuaian untuk pelanggan yang suka membeli secara offline.
Terangnya, selain platform Shopee dan TikTok, syarikat juga menyertai pameran serta ekspo di seluruh negara sebagai usaha untuk meningkatkan kesedaran pelanggan.
Lebih menarik, Masdora juga mendapat perhatian ramai selepas menerima anugerah Top 3 Fashion Category bersempena 12.12 Year End Carnival.
Selain itu, Masdora turut dianugerahkan sebagai syarikat bumiputera dalam industri barangan kemas negara dan yang pertama menerima anugerah TikTok.
Penganugerahan tersebut sekali gus menyuntik semangatnya untuk menampilkan kelainan di pasaran pada masa depan. -KOSMO!ONLINE
















