PETALING JAYA – Dilabel sebagai ‘orang tua gatal’ kerana sanggup melukakan hati isteri pertama, sedikit pun tidak menjadi kudis buat seorang pekerja swasta apabila memilih untuk berkahwin dua pada usia 48 tahun.
Lelaki dikenali sebagai Azmi, 50, yang sudah memiliki tiga anak berkata, pendapatan bulanannya mencukupi bagi menanggung perbelanjaan dua isteri dan anak-anaknya, malah mampu menambah seorang lagi pasangan.
“Saya dah lama simpan niat untuk beristeri dua, tujuh tahun simpan duit untuk pastikan kewangan saya cukup, kedua-dua isteri saya sediakan rumah dan sebuah kereta untuk mereka.
“Saya tahu saya boleh adil untuk kedua-kedua mereka dan anak-anak, tambah seorang lagi pun cukup,” katanya.
Azmi yang menguruskan perniagaan kolam memancing mengakui, sikap kasih sayang yang dimiliki isteri keduanya berusia 52 tahun menjadi tarikan utama.
“Isteri kedua saya tua dua tahun daripada saya, dan isteri pertama saya lebih muda iaitu 47 tahun. Walaupun dia sudah berusia, tapi dia masih anak dara.
“Lagipun, isteri kedua mempunyai minat sama dengan saya iaitu memancing,” ujarnya.
Azmi menegaskan, perkahwinan keduanya ini telah mendapat keizinan isteri pertama dan anak-anak meskipun perlu membuat pelbagai cara bagi memujuk hati keluarga pertamanya itu.
Berkongsi kisah sama, pengurus syarikat lori, Helmi, 49, terbuka membawa dua isterinya, serta tujuh anak keluar berjalan bersama-sama walaupun kadangkala perlu berdepan dengan sindiran daripada orang sekeliling.
Katanya, hidup dalam sebuah keluarga yang ramai memberi satu kepuasan buat dirinya selain menganggap sebagai kejayaan besar buat seorang lelaki.
“Rasa satu kejayaan apabila kita mampu kahwin lebih daripada seorang, ada anak ramai, mampu tanggung semuanya, meriah kehidupan saya.
“Cara saya untuk adil, apa saya beli untuk isteri pertama, madunya juga akan dapat sama, kalau saya nak bawa keluar, dua-dua saya bawa jalan-jalan sama, tak ada nak dengki antara satu sama lain,” katanya.
Seorang lagi pekerja swasta yang dikenali sebagai John, 45, mengakui keinginan untuk memiliki anak yang ramai membuatkan dia tekad untuk berkahwin tiga.
John yang juga merupakan anak kelahiran Jerman, kini sudah mempunyai dua isteri dan perkahwinannya itu telah dikurniakan enam anak.
Bagaimanapun, dia dalam usaha memujuk kedua-dua pasangannya untuk memberi keizinan menikah seorang lagi.
“Saya cadang tahun depan untuk tambah seorang lagi isteri, tetapi masih sedang berusaha memujuk kedua-dua isteri saya.
“Saya mahukan anak ramai, kalau boleh lebih 10 orang. Tapi kalau untuk saya meminta isteri saya mengandung setiap tahun, kasihan mereka, badan mereka juga perlu rehat.
“Niat saya sama dari dulu, sewaktu nak kahwin yang kedua, saya mohon izin isteri pertama dengan alasan mahukan anak ramai, dan untuk perkahwinan ketiga ini, saya harap kedua-dua isteri saya memahami saya,” kongsinya.
Menariknya, John lebih memilih wanita Malaysia untuk dijadikan isteri kerana tertarik dengan budaya serta adab wanita Melayu yang penuh dengan kesopanan. -KOSMO! ONLINE














