GAMBAR HIASAN

Perit sungguh menunggu hari gaji

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Hari bersilih ganti seakan terlalu lambat untuk tiba hingga ke penghujung bulan Mei atau menunggu tibanya hari gaji.

Begitu parah menunggu hampir empat minggu dengan duit gaji berbaki hanya ratusan ringgit untuk meneruskan kelangsungan hidup sejak pulang dari kampung untuk mula bekerja.

Selepas beraya sakan, balik kampung berhari-hari, berbelanja besar untuk menyambut Syawal dan juga bergembira bertemu sanak saudara serta berkunjung ke kampung halaman pastinya ramai yang mengalami bajet yang semakin tipis.

Keterujaan menerima gaji awal dua, tiga hari sebelum 1 Syawal telah mengundang masalah besar kepada kebanyakan individu untuk menguruskan bajetnya dengan bijak.

Bagi mereka yang pandai merancang, gaji tersebut masih dapat diselamatkan dan berjaya dimanfaatkan untuk membayar komitmen bulanan dengan lancar.

Bagaimanapun, ada yang teruja dan terlebih pakai berbelanja raya sehingga melibatkan hampir 80 peratus daripada gaji awal, sehingga menyebabkan komitmen bulanan untuk pinjaman rumah dan peribadi, pembiayaan kereta serta membayar bil telefon, elektrik, yuran persekolahan anak terpaksa ditangguhkan.

Ini mengundang bahaya kepada para peminjam kerana pihak bank tidak akan bersimpati terhadap mereka yang culas dalam tanggungjawab membayar pinjaman bulanan.

Bermulalah di situ, individu yang lambat membayar hutang bank pastinya akan mengalami ‘mimpi ngeri’ menerima notifikasi, mesej atau panggilan telefon daripada bank setiap hari untuk mengingatkan bahawa pinjaman telah tertangguh dan pembayaran perlu disegerakan.

Bagi membantu melegakan keadaan untuk kelangsungan hari seterusnya, ramai ibu bapa terpaksa ‘meminjam’ daripada duit raya anak-anak, menggunakan semula duit raya bernilai RM1, RM5 dan RM10 yang belum diagihkan lagi atau berkunjung ke kaunter Tabung Haji atau Amanah Saham Nasional untuk mengeluarkan baki wang simpanan masing-masing,jika ada lagi.

Menyambut raya setahun sekali yang dianggap sebagai rutin tahunan yang telah kita lalui sejak kecil hinggalah sekarang sebenarnya tidak membebankan sesiapapun sehingga terpaksa mengorbankan wang gaji, tunai di tangan sehingga ada membuat pinjaman segera.

Persediaan awal dengan menabung hanya sekadar RM50 atau RM100 sebulan dari sekarang untuk perbelanjaan hari raya atau untuk hal-hal kecemasan lain perlu dilakukan segera.

Rancanglah perbelanjaan bulanan untuk raya tahun 2024 dengan cara yang mudah dan tidak membebankan tetapi penuh disiplin serta menyeronokkan.

Sebenarnya terdapat pelbagai ilmu, cara dan kaedah yang sering orang lain kongsikan di media sosial bagaimana mereka menabung sikit demi sedikit.

Masih belum terlambat untuk memulakan suatu perkara yang bermanfaat. Tiada yang mustahil jika kita berdisiplin dan bersungguh-sungguh kerana pengorbanan tersebut akan membolehkan kita beraya dengan penuh gaya tahun depan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN