MELAKA – Mana-mana pekerja yang mencetuskan suasana tidak harmoni di tempat kerja termasuk berkaitan isu skandal dan gangguan seksual boleh dikenakan tindakan tatatertib dan seterusnya dipecat oleh majikan mengikut prosedur yang ditetapkan.
Pegawai Psikologi Kanan, Pejabat Pendaftar Universiti Putra Malaysia, Siti Fatimah Abdul Ghani berkata, pihak pengurusan jabatan juga bertanggungjawab melaksanakan siasatan dalaman sekiranya menerima sebarang aduan berkaitan masalah peribadi, sikap dan disiplin pekerja.
Bagaimanapun katanya, laporan itu perlulah disertai dengan bukti-bukti yang diperlukan, sama ada menerusi dokumentasi atau secara lisan.
“Tindakan peringkat awal yang boleh diambil adalah dengan pemberian surat amaran sehinggalah pemecatan jawatan.
“Tidak kisah sama ada berkaitan isu curang atau gangguan seksual. Tindakan memang boleh diambil ke atas kakitangan yang menyebabkan ketidakharmonian di tempat kerja.
“Namun, ia perlu ada laporan bertulis daripada mana-mana pihak berserta bukti, sama ada dokumentasi ataupun apa-apa yang boleh menyokong dakwaan ataupun aduan dibuat.
“Mereka juga kena tahu bahawa kita ada Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1997.
“Kalau misalannya mereka ini tiada bukti, buatlah catatan. Sebagai contoh, jika suami kata dia akan kerja luar, tapi semakan dengan pejabat perkara itu tidak berlaku, tidak tahu ke mana kakitangan ini pergi, itu boleh dijadikan bukti rekod pemantauan tingkah laku,” katanya.
Siti Fatimah bagaimanapun mengakui, kes-kes curang sehingga melibatkan perbuatan tidak senonoh di pejabat itu sebagai kes terpencil dan sangat sulit, namun selayaknya diperhalusi oleh jawatankuasa tatatertib untuk tindakan sewajarnya.














