PETALING JAYA – Kontraktor Kelas F bukan lagi menjadi bidang kerja lumayan apabila rata-rata ahlinya kini berdepan risiko gulung tikar selepas mendakwa tidak mampu bertahan ekoran tawaran projek yang terlalu sedikit dikeluarkan kerajaan ketika ini.
Ekoran itu, kira-kira 60 peratus daripada keseluruhan 50,000 kontraktor bumiputera berkenaan dilaporkan berada dalam status ‘sakit’ dengan sebahagiannya telah pun beralih ke bidang lain.
Kontraktor Kelas F atau G1 melaksanakan kerja di bawah RM200,000 dan lesen bagi kelas itu dikhususkan kepada kontraktor bumiputera.
Presiden Persatuan Kontraktor Bumiputera Kelas F Malaysia, Tukiman Radion berkata, sebahagian mereka terpaksa melupakan terus dunia kontraktor kerana tidak mampu lagi bertahan dan bersaing untuk mendapat giliran penganugerahan projek.
Katanya, ketika ini projek yang dikeluarkan kerajaan hanya 30 peratus berbanding sebelum ini yang mencecah 600 projek untuk diagihkan kepada setiap negeri pada setiap tahun.
“Sesiapa pun boleh fikir macam mana kita hendak teruskan kerja sebagai kontraktor G1 jika hanya 30 peratus projek sahaja yang diberikan untuk setiap negeri.
“Ini menjadikan projek yang dikeluarkan kerajaan ketika ini antara 150 hingga 180 sahaja bagi setiap negeri. Keadaan sekarang seolah-olah 100 kontraktor berebut satu projek menerusi cabutan undi dan sebut harga,” katanya kepada Kosmo!.

Menurut Tukiman, selain perlu bersaing untuk projek yang terlalu sedikit, mereka juga berdepan dengan jumlah kontraktor yang terlalu banyak di setiap negeri dan mengambil masa lama untuk menunggu giliran mendapat projek seterusnya.
Tambahnya, setiap tahun mereka yang mendaftar sebagai kontraktor G1 semakin bertambah dan peluang untuk mendapatkan projek juga semakin tipis jika keadaan tersebut berlarutan.
“Jika ada rezeki, adalah pendapatan kami. Jika tidak, perlu tunggu sampai bila pun tak tahu. Ada dalam kalangan ahli sudah hampir tiga tahun tidak mendapat sebarang projek hingga terpaksa mencuba bidang lain bagi menampung perbelanjaan isi rumah,” katanya.
Ujar Tukiman, ada ahlinya yang berniaga kecil-kecilan, menjadi usahawan, berniaga kedai runcit tetapi ramai juga yang terpaksa gulung tikar dan melupakan terus dunia kontraktor.
“Inilah realiti yang kami hadapi sekarang, jika keadaan ini berterusan saya yakin lebih ramai kontraktor bumiputera yang akan gulung tikar dan menganggur,” ujarnya.
Menurut Tukiman, kebanyakan ahlinya sudah berusia dan tidak dapat beralih kepada bidang lain dan hanya bergantung kepada pendapatan sebagai kontraktor.
“Nak cari kerja lain terutamamya makan gaji bila dah berusia ini agak sukar, jadi nak tak nak kena teruskan juga dalam bidang ini, ada rezeki dapatlah projek,” katanya yang 23 tahun dalam bidang itu.
Pada masa sama, beliau menjelaskan, pihaknya telah beberapa kali mengadakan pertemuan dengan beberapa agensi kerajaan sebelum ini bagi meluahkan perkara tersebut.
Bagaimanapun, katanya, sejak kerajaan beberapa kali bertukar tangan perkara itu sukar diatasi dan berharap agar Kerajaan Perpaduan dapat menyelesaikan isu ini dengan segera.
“Kami dah berjumpa dengan pelbagai agensi dan peringkat tertinggi kerajaan pun sudah kami luahkan perkara ini. Namun, apabila kerajaan kerap bertukar tangan perkara ini sukar untuk diselesaikan.
“Kami harap Kerajaan Perpaduan yang menerajui negara ketika ini dapat memberikan perhatian yang khusus buat kontraktor kecil seperti kami ini kerana kebanyakannya bergantung kepada kerja kontraktor, tiada projek tiadalah pendapatan kami,” rintihnya.














